BAB 09

7 0 0
                                    

SUDAH jam 7.45 malam ketika Medina tiba di rumahnya. Sempat dia berselisih dan bertemu Affan ketika dia berada di muka pintu sedang memulas tombol besi rumahnya. Affan yang baru sahaja menutup pintu rumah turut menghadiah senyuman.

“Kau baru sampai rumah ke?” tegur Affan memandang Medina dengan wajah yang terbias kepenatan.

Medina mengangguk lesu.

Lelaki itu pasti ingin keluar untuk membuka gerai burger bersama sahabatnya Luth. Affan dengan pandangan memahami. Kepenatan Medina jelas kelihatan. Dia hanya pulang ke rumah sebentar untuk membersihkan diri. Ayahnya tiada di rumah. Entah ke mana lelaki tua itu pergi, Affan sendiri tidak tahu.

“Pak Cik Mad tak ada dekat rumah ke?”

“Tak ada.”

Medina hanya mengangguk. Patutlah senyap sahaja rumah Affan beberapa hari ini.

“Kau buka gerai malam ni?”

“Ya, buka. Kalau kau nak burger, telefon aje aku. Tak payah datang sana. Bahaya malam-malam ni.”

“Hm kau ni… Risau sangatlah Affan.”

“Tak adalah. Aku hanya nak kau hati-hati aje. Aku pergi dulu, Dina. Jaga diri kau.”

“Kau pun.”

Mata mereka bertemu untuk kali terakhir. Affan  berlalu pergi dan pintu rumahnya dia tolak dengan perlahan. Tiada orang di ruang tamu kecil mereka. Pasti adiknya Ammar sudah ke rumah Nek Masyitah untuk mengaji al-Quran malam ini.

Puan Shalma di mana? Segera Medina melangkahkan kaki ke dalam rumah dan menuju ke bilik ibunya. Lega nafasnya apabila melihat ibunya yang terbaring sambil menutup mata dengan telekung putih di tilam nipis itu.

Didekati ibunya perlahan.

Dia turut duduk bersimpuh memegang lembut tangan ibunya sambil suara mengejutkan perlahan ibunya yang tidur. Wajah itu kelihatan sedikit pucat.

“Ibu…” Suara Medina lembut memanggil.

“Ibu.”

Tangan itu diusap-usap membangunkan ibunya. Terpisat-pisat Puan Shalma membuka mata. Wajah yang kelihatan pucat dan tidak bermaya itu diperhati lama. Dia kerisauan.

“Kakak dah balik. Ibu terlelap sekejap lepas solat maghrib tadi.”

Puan Shalma cuba untuk bangun dari pembaringan. Kelihatan kesakitan dan wajah itu yang menyeringai seperti menahan sakit, Medina cuba membantu untuk membetulkan duduk ibunya.

“Ibu tak sihat ke? Kenapa pucat sangat muka ibu ni?” Sungguh, dia risau.

Puan Shalma yang sedang duduk sambil melunjur kaki itu hanya tersenyum kepada Medina. Belakang dirapatkan ke dinding menahan agar tubuh tidak jatuh. Tangan Medina naik menyentuh dahi ibunya. Sedikit panas. Ketika itulah, dia nampak dada Puan Shalma yang kelihatan bernafas deras.

“Ibu demam rasanya ni. Sikit je ni. Biasalah dengan keadaan cuaca panas sekarang.”

Sebenarnya, Medina tidak sedap hati. Betul ke ini hanya demam biasa? “Kakak pergi ambil panadol dengan air suam dekat dapur. Hm, esok ibu tak payah kerja ya, bu.” Dia berbunyi dalam nada kerisauan.

Kaki digerak ke dapur mengambil segelas air suam dan panadol yang terletak di dalam almari kecil di dapur mereka. Sampai di hadapan ibunya, gelas air dan panadol disuap lembut ke mulut wanita itu.

“Demam sikit aje, kakak. Janganlah runsing. Ibu baik-baik je ni. Kakak pergilah mandi dulu.”

“Ibu, kakak risaulah.”

“Ibu tak ada apa-apalah kakak.” Puan Shalma masih cuba untuk tidak mahu merisaukan Medina di sisinya itu. Selagi dia mampu bangun dan berdiri, akan digagahi jua dirinya. Demi anak-anak dia.

DI BAWAH LANGIT YANG SAMAWhere stories live. Discover now