Dia tak nampak laluan terbuka lain selain jendela. Langsir yang mengibas-ngibas pabila ditiup angin, seakan-akan memanggilnya untuk ke situ. Ah, terjun tingkap pun terjunlah! Dia tak boleh berfikiran waras saat ini.
Lagipun bukannya tinggi mana pun. Satu tingkat sahaja. Paling tidak kaki terseliuh sahaja.

"Eh, Cik Husna!"

Hendak terjojol keluar biji mata Mak Timah saat melihat Husna bertindak memanjat jendela yang agak tinggi.  Terus terlepas dress merah jambu itu ke lantai, dengan pantas Mak Timah berlari mendapatkan Husna. Menarik lengan itu supaya menjauih jendela itu semula.

Tahulah nervous. Tapi takkan sampai nak terjun dari tingkat satu?

"Apa Cik Husna nak buat ni?"

"Saya nak larilah! Ini aje jalan yang ada." Selamba Husna berkata.

Mak Timah tepuk dahi. "Kot iya pun takkan sampai nak terjun tingkap? Malulah kalau orang perasan nanti!"

"Habis? Mak Timah nak saya hadap aje mereka huh? Lelaki yang ayah nak satukan dengan saya tu sebenarnya dah ada buah hati. Saya tak tergamak nak jadi orang ketiga!"

Berlapis dahi Mak Timah mendengar cerita Husna. Apa pula yang wanita ini sedang merepek? Sejak bila pulalah anak majikannya itu ada buah hati. Kalau ada pun, tak mungkinlah Tan Sri Raqib tak berperasaan mahu kahwinkan Husna dengan anaknya yang hatinya sudah dikunci orang.

"Sejak bila pula dia ada buah hati? Dia single lagi, Cik Husna. Mak Timah tahulah sebab Mak Timah kenal dia. Dahulu Mak Timah kerja dengan dia. Orangnya jarang bergaul dengan perempuan. Apatah lagi nak ada kekasih..."

Terjuih bibir Husna mendengarnya. Hendak tergelak pun ada. Noar Nathan dikatakan jarang bergaul dengan perempuan? Selama bekerja di Ocean Empire dia lihat Encik Nathan itu bukan main peramah lagi dengan semua orang.

"Ish, sedangkan cuaca pun berubah apatah lagi manusia! Saya tahulah dia dah ada buah hati sebab buah hati dia itu adalah kawan saya! Encik Nathan tu dah lama bercinta dengan dia semenjak saya tersesat di pulau semporna!"

"Apa kena mengena Encik Nathan dengan situasi sekarang?" Soal Mak Timah, tak berapa faham.

Husna mengeluh kecil. Adakala dahi dipicit-picit. Punyalah panjang lebar dia membebel, rupa-rupanya Mak Timah tak faham.

"Mak Timah tanya saya apa kena mengena? Tentulah ada kena mengena kalau dia yang akan kahwin dengan saya!"

"Siapa? Encik Nathan?"

Kepala diangguk. Namun ada kerutan di dahi Husna. Kenapa Mak Timah macam nak ketawa pula.

"Ya Allah, Cik Husna... siapa kata Encik Nathan tu yang nak masuk meminang? Dia tu nak teman rombongan meminang untuk abang dia aje. Semua adik beradik Nathan ada di bawah sana. Siapa aje tak seronok kalau si sulung dah nak kahwin?"

"Su... sulung?" Dan-dan wajah Raf terbayang di kepalanya. Siapa lagi anak sulung Tan Sri Raqib kalau bukan si dia? Terus perasaan resah tadi dicampak jauh-jauh.

Mak Timah angguk kepala tanda mengiyakannya. Dress labuh yang jatuh tadi diambil semula lalu diserahkan kepada Husna.

"Bersiap dulu, solek cantik-cantik, nanti terus turun ke ruang tamu. Kamu akan jumpa dia di sana."

Dress itu tidak terus diambil. Sejujurnya dia kurang berminat dengan pakaian yang dicadangkan oleh Mak Timah. Cantik itu memanglah cantik tapi... ia terlalu cantik untuk dipakai semata-mata kerana pinangan. Terlalu bergaya serupa pengantin.

Sekejap anak mata Husna mencerun ke bawah. Memandang baju kurung kedah yang dipakai oleh Mak Timah. Tak tahu kenapa, dia rasa pakaian Mak Timah lebih menarik. Mengingatkan dia pada kenangannya di pulau.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now