Tangan Husna sudah mengepal penuh amarah. Berasap telinganya apabila Dato Idris mula menghina lelaki kampung itu di hadapannya.  Tiada masa depan? Heh, andai ayah tahu siapa Lanun itu... pasti dia akan tarik balik kata-katanya!

Dan tiba-tiba bibir Dato Idris menyenget. Sinis.

Husna terkedu sejenak. Kening berkerut.  Entah mengapa dia rasa berdebar.

"Jadi sebelum orang lain tahu Husna ada hubungan dengan lelaki itu, lebih baik ayah hebohkan dahulu yang Husna dah terikat dengan calon pilihan ayah sendiri." Ujar Dato Idris.  Dia tersenyum menang tatkala melihat perubahan riak wajah Husna yang jelas terkejut.

Spontan terbangun Husna daripada duduk di sofa. Mata terbeliak. Mulut ternganga. Sungguh, dia tak percaya Dato Idris akak bertindak sejauh itu!

Kepala Husna menggeleng berkali-kali.

Tidak!

Mungkin Dato Idris sengaja reka cerita untuk menakut-nakutkan dia? Husna buat-buat ketawa. Namun, ketawanya masih terselit rasa gelisah.

"Tak mungkin. Ayah sengaja cakap macam itu, kan?" Seboleh-bolehnya Husna cuba menyedapkan hati sendiri, namun...

"Esok rombongan meminang daripada pihak lelaki itu akan sampai! Sebab itulah ayah nak kamu balik. Ayah nak kamu jumpa dia. Berkenalan dengan dia dan lupakan pasal lelaki di Sabah tu! Ayah nak kehidupan kita yang dahulu..." Tutur Dato Idris, serius. Jelas menunjukkan dia tidak cuba permainkan Husna dengan kata-katanya. Dia telah pun buat keputusan.  Dan ia muktamad.

Bahu Husna turun dan naik saat menarik dan menghembuskan nafas. Adakala tangan naik memicit kepala yang tiba-tiba terasa berdenyut kerana menahan amarah. Sungguh, dia tak suka dipaksa! Apatah lagi jika melibatkan perkahwinan. 

Apa kesalahan yang dia lakukan sehingga Dato Idris hendak menghukum dia sampai begini sekali? Jika jatuh cinta kepada Lanun itu salah, perlukah seberat ini hukuman yang dia harus terima?

Husna geleng kepala dengan bibir terketap.

"Tidak! Husna takkan terima lelaki itu! Ayah tiada hak untuk kahwinkan Husna dengan lelaki yang Husna tak suka!"Keras Husna.

Langsung Dato Idris bangun dari tempat duduknya. Turut sama berdiri membalas renungan tajam anak perempuannya. 

"Ada ayah beri kamu pilihan ke sama ada harus terima atau tak? Tidak, kan? Suka ataupun terpaksa, ayah dah pun buat keputusan. Dan Tan Sri Raqib juga setuju untuk terima kamu sebagai menantu dia!"

Tatkala mendengar nama Tan Sri Raqib disebut, Husna terus terdiam. Mata berkelip-kelip. Sekejap amarah yang menggunung tadi runtuh dengan sendirinya. Kini, muka Husna berkerut dengan penuh tanda tanya. Nyatanya dia benar-benar bingung saat ini.

Sekilas Husna menoleh memandang Mia yang masih lagi menjadi penonton setia. Wanita itu seakan memberi isyarat mata untuk mengikut sahaja setiap arahannya yang keluar daripada mulut Dato Idris. 

"Huh?" Husna makin tak faham. Mia seperti tahu sesuatu. Tetapi apa?

"Ehem! Ehem!" Mia buat-buat berdehem sekali lagi. Menarik perhatian Dato Idris memandangnya. Ada senyuman yang cuba disembunyikan. 

"Dato janganlah marah-marah. Biar saya yang tolong kemaskan pakaian Husna. Ada betulnya cakap Dato, sampai bila dia nak menumpang di sini, kan? Padahal dia juga ada rumah sendiri." Sampuk Mia.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now