L1

1K 155 112
                                    

KOTAK terakhir dibawa masuk ke dalam rumah oleh Rayya. Manik-manik peluh di dahi Rayya lap dengan hujung baju. Sambil itu bibir ukir senyum kecil melihat Nek Nani membelek kotak-kotaknya di bahagian tengah ruang tamu.

Nek Nani dihampiri dan disapa mesra. "Nek Nani," 

Menoleh Nek Nani menerima sapaan itu. Bukan senyuman yang Rayya terima bahkan kerutan di dahi tua pula yang menyapa pandangan mata. Buat Rayya ikut sama berkerut kecil. 

"Kenapa berkerut sangat dahi nek tu?" Soal Rayya kehairanan. Jari telunjuk mula menekan kerutan di antara dua kening Nek Nani. Kurangkan sedikit kerutannya.

Menggeleng, kotak di hadapan diketuk perlahan. "Kenapa kotak yang sebuah ini lain pula dari kotak-kotak kamu yang lain? Siap bereben bagai." Soal Nek Nani penuh dengan rasa ingin tahu. Pasti sahaja dia ingin tahu jika kotak yang lain usang tetapi yang di hadapannya terlihat masih baharu bahkan bukan berwarna coklat.

Senyum, Rayya terus tarik kotak itu rapat dengannya. Reben hitam yang mengikat kotak itu dilepaskan penuh cermat sebelum penutup kotak dibuka. Mula lah Nek Nani menjengah laju ke dalam kotak mahu lihat isi dalamnya. 

"Mesin jahit?" Nek Nani bertanya. Mesin jahit mini yang terlihat usang itu ditatap. Seperti dia pernah lihat mesin jahit mini itu. Tapi di mana ya?

Rayya tersenyum. Tanpa kata, penuh cermat dia keluarkan mesin jahit mini itu dan elok dia letakkan ia di hadapan Nek Nani. Mahu bagi Nek Nani lihat dengan lebih jelas. Mana tahu, memori lama menjengah kotak fikiran. 

Diam Nek Nani menilik mesin jahit mini itu sebelum... ting! Mata bulat dan mulut ternganga kecil. Rayya sangat yakin Nek Nani sudah ingat sesuatu. Lebih-lebih lagi bila tangan tua itu menepuk bahunya satu kali. 

"Ini punya arwah ibu kamu kan? Milik Ratna!" 

Tepuk tangan, Rayya bersorak kecil buat Nek Nani. "Bingo! Pandai pun nek!"

Dabik dada sekejap Nek Nani dengan pujian cucu saudaranya itu.

"Ini arwah ibu punya. Sayang nak tinggalkan di kampung. Ini semangat Aya untuk teruskan cita-cita arwah ibu." Kata Rayya. Penuh perasaan mesin jahit mini kepunyaan arwah ibunya itu dipandang.

Lihat Rayya, Nek Nani jadi hiba. Penuh sayang kepala Rayya diusap.

"Nek doakan cita-cita murni kamu ini dipermudahkan tuhan. Doa nek sentiasa dengan kamu, Aya."

Senyum, Rayya peluk tubuh Nek Nani. Menumpang kasih sama. Syukur dia masih punya Nek Nani tika ini.

"Assalamualaikum!" Laungan salam dari muka pintu buat layanan perasaan masing-masing mati. Tegak tubuh menjengah ke pintu rumah yang masih luas terbuka.

Di depan pintu, ada wanita berusia yang elok berbaju kurung kedah dan berkain batik.

"Kamu ke, Loma oi?" Nek Nani bertanya.  Mata tuanya tidak dapat melihat dengan jelas wajah orang yang bertandang. Kaca mata entah sudah ke mana.

"Yalah, Nek Nani oi. Takde orang lain kalau waktu-waktu begini. Salamah masuk ya?" Pertanyaan Nek Nani dibalas laungan ramah sama.

Rayya terus berdiri dan menyalami wanita bernama Salamah itu. Senyum dia walau kekok dengan tatapan mata atas bawah daripada Salamah.

"Duduk, Ma. Maaf lah bersepah sikit." Kata Nek Nani. Mesin jahit mini ditolak ke tepi, beri ruang untuk Salamah labuhkan duduk.

Tak banyak bunyi, Salamah terus duduk. Namun, ekor mata masih menyoroti langkah kaki Rayya yang beredar ke dapur.

Nek Nani yang perasan hanya menggeleng. Perlahan dia tepuk peha Salamah, minta tumpuan. Macam nak terkeluar bola mata lihat cucu saudaranya itu.

"Kenapa sepah-sepah ni Nek Nani? Tu... yang kat dapur tu siapa?" Tak tunggu lama, Salamah terus bertanya. Buat apa lah bedolak-dalih. Jujur lagi senang.

LUCKY Where stories live. Discover now