"Lepaskan aku! Tolonglah, Mondu... jangan buat aku macam ni! Lepas!" Teriak Husna. Puas dia mengelak wajahnya daripada menjadi sasaran bibir Mondu.  Malah Mondu tetap gigih ingin menonyoh ke situ. Makin Husna terseksa, makin dia suka.

"Husna... " Lanun cuba bangkit perlahan-lahan.  Mengumpul semua tenaga yang masih tersisa.

"Tutup mata kau..."

Antara dengar tak dengar, suara garau Lanun menampar hujung telinga Husna.   Tanpa berfikir panjang, Husna langsung memejam mata serapat-rapatnya. Menyerahkan semua kepercayaan dia terhadap Lanun. Dan tiba-tiba...

"ARGHH!" Jeritan Mondu bergema kuat di dalam gua. Dalam masa yang sama terasa ada pasir yang jatuh mengena kulit wajah Husna. Semerta beban menindih tubuhnya hilang. Husna langsung buka mata. Panar dia apabila memandang Mondu yang terduduk di tepi, mengerang sakit bersama makian tak sudah-sudah sambil menyentuh matanya.

Pedih.

Apabila pasir masuk ke bebola matanya.

"Husna, kita kena lari cepat!" Suara Lanun kembali mengalihkan perhatian Husna. Tubuh terasa ditarik menjadi posisi duduk. Dengan tergesa-gesa, Lanun membuka ikatan pada pergelangan tangan dan kakinya.

Mereka kena pantas!

"Mari, aku bawa kau balik terus ke Ocean Resort!" Campak sahaja tali itu ke tepi, tangan Husna terus digenggam, ditarik atar berdiri sama-sama dengannya. Namun, lutut Lanun terasa longlai. Hampir sahaja dia jatuh terduduk kembali ke tanah, malah tangan Husna lebih pantas menahan bahu Lanun.

"Awak!"

"Jangan risaukan tentang aku. Kau pergi dulu, lari sekarang..." arah Lanun. Tangan Husna ditolak perlahan daripada menahan bahunya. Sekejap anak mata melirik ke arah senjata yang dibiarkan bersepah di sebelah kanan sana.

"Ambil senjata tu, kalau ada yang cuba kejar kau... tembak sahaja kaki diaorang..."

"Habis macam mana dengan awak?" Soal Husna, bergetar suaranya.

Dalam kesakitan, Lanun paksa bibir untuk tersenyum kelat. "Aku ikut belakang kau. Tapi kau kena lari dulu. Jangan pedulikan aku..."

Husna angguk kepala. Tanpa menunggu lama, dia terus berlari ke arah sudut terletaknya senjata. Tak tahu mana satu yang perlu diambil, tapi dia ambil yang berada paling dekat. Pistol. Menggigil tangan saat pertama kali memegang senjata bahaya.

Genggaman diperkemaskan. Kuat. Husna terus berlari ke arah cahaya yang mungkin membawanya ke jalan keluar. Sesekali dia menoleh ke belakang, hendak memastikan Lanun betul-betul mengekor langkahnya.

Dan ya, lelaki itu sedang mengikutnya dengan terjengket-jengket. Muka habis berkerut, menahan perit setiap kali kakinya dipaksa kuat mengijak tanah.
Husna tersenyum kecil, tak lama sebelum dia tersedar sesuatu.

Mata terbeliak luas. Langkah langsung terhenti disekerat jalan.

"LANUN!" Husna menjerit kuat, memberi isyarat kepada Lanun ada ancaman di belakangnya.

Lanun yang pantas menangkap maksud,  terus mengelak ke tepi. Sipi-sipi sahaja bahunya hendak ditikam oleh Mondu daripada belakang.

Mondu mendengus kasar. Bebola matanya yang merah menikam dengan tajam. Jelas sekali tidak puas hati apabila serangan dari belakangnya gagal.

"Nampaknya ko betul-betul mau mati ditangan aku!" Sekali lagi pisau rembo diangkat tinggi, dihayun ke arah Lanun. Bahkan, Lanun juga mengelak dengan pantas. Dengan sisa tenaga yang ada, penumbuk lama yang ditahan daripada tadi terus dilayang ke wajah Mondu. Tak cukup dengan itu, perut pulak yang disepak, terajang hingga tubuh Mondu terbongkok-bongkok. Satu ketika, Lanun merampas pisau daripada tangannya, dan menetak belakang bahu Mondu.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now