Husna tergamam sejenak. Berderau darahnya saat ini. Dia cam suara itu!

"Arghh!" Tanpa semena-mena seorang anggota maritim tumbang ke atas bot apabila peluru mengena tepat ke dadanya. Membuntang mata Husna melihat darah yang mengalir keluar dengan banyak. Ya Allah, selamatkanlah kami semua!

Tsuk!

Tsuk!

Tsuk!

Laju peluru kalis bunyi itu menembusi satu demi satu tubuh anggota maritim yang berjaga di bahagian tepi kiri dan kanan bot. Seorang demi seorang tumbang, mengerang kesakitan. Ada yang cuba bangkit ingin melawan semula, namun sekali lagi dia terkena tembakan dan akhirnya terbaring.

"Jangan biarkan mereka masuk ke dalam bot! Argh!" Suara ketua anggota maritim itu terjerit kecil. Bunyi dentuman kuat jatuh ke bot seakan tubuhnya rebah.

Tika ini, tiada kedengaran lagi peluru yang dilepaskan secara rambang. Bahkan, suara desahan menahan sakit yang menyapa telinga Husna. Perlahan-lahan Husna angkat kepala, seluruh tubuhnya menggigil ketakutan tatkala melihat semua anggota terbaring di atas bot. Ada yang menghempap sesama sendiri. Darah terpercik ke merata-rata tempat.

Dum!

Bunyi hentakan kaki seseorang yang melompat masuk ke dalam bot maritim. Dalam cahaya lampu biru yang samar-samar menyuluh wajah bengis itu, sedang tersenyum jahat pabila bertentangan mata dengannya.

Mondu.

"Huh?!" Husna terkejut. Langsung dia mengundur ke belakang. Begitu juga dengan Tan Sri Raqib dan Dato Idris. Tiada siapa lagi disini yang mereka boleh minta pertolongan. Semuanya sudah terbaring. Entah hidup atau pun sudah mati.

"Si... siapa kau?! Apa kau nak?!" Bentak Dato Idris, bergetar suaranya. Berderau darah tatkala melihat rifle M4 carbine ditangan lelaki jahat itu.

Sekonyong-konyong Mondu tersenyum senget. "Apa aku nak? Mungkin bunuh ko dulu."

Rifle itu dihala ke arah Dato Idris.

"Jangan!" Husna menjerit.

Klik! Klik!

Mondu ketawa. Rifle yang kehabisan peluru itu diangkat. Seronok betul dia melihat muka pucat orang tua itu saat ajalnya hampir dijemput. Takut.

Ah, dia memang suka bila buat orang takut. Terasa dialah yang paling berkuasa disini.

"Nasib baiklah peluru sudah habis. Kalo tidak, memang aku bunuh semua yang ada di dalam bot ini." Kata Mondu, kemudian anak matanya beralih ke arah Husna. Anak mata itu tampak berkaca. Mukanya pucat membiru.

"Koupusan Lanun, sudah lama kita endak berjumpa. Sa rindu bah sama ko."  Tegur Mondu. Siap melemparkan senyuman penuh makna buat Husna.

Setapak dia mendekat.

Dato Idris sudah menggeleng kepala. Tubuh Husna terus ditarik ke dalam pelukannya erat. Semerta, langkah Mondu terhenti disitu.

"Jangan ambil anak aku! Cakap sahaja apa yang kau nak, aku akan bagi! Tapi jangan apa-apakan dia..." rayu Dato Idris penuh pasrah.

Mondu menghembus satu nafas. "Lanun pun endak boleh halang apa yang aku mau ambil, siapa pula kau?"

DUSH!

"Ayah!" Jerit Husna, terkejut apabila kepala ayahnya ditetak dengan belakang rifle yang tajam hingga berdarah. Spontan pelukan mereka terlerai. Dato Idris rebah ke tepi. Ada erengan kesakitan menjengah ke telinga Mondu.

Kemudian, Mondu menoleh pula ke arah Tan Sri Raqib. Tanpa sebarang isyarat, kepalanya juga dihentak dengan hujung riflenya. Takkan sesekali biarkan sesiapa pun yang menjadi penghalangnya lagi.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now