Husna tersenyum lebar. Lanun patut rasa beruntung kerana disayangi orang ramai. Entah apalah kebaikan yang Lanun lakukan kepada orang kampung sampai begini sekali semangat mereka membalas budi.

"Itu maknanya mereka betul-betul sayangkan awak. Bukan senang nak buat semua orang sukakan kita dalam dunia ni. Awak patut rasa bertuah." Puji Husna. Turut menumpang rasa gembira buat Lanun. Jelas sekali, pilihannya tak salah.

Lanun mengangguk perlahan. Ya, dia juga rasa begitu.

"Makanlah. Nanti dah sejuk tak sedap pula." Pelawa Lanun sambil dia mencapai sudu dan garfu. Malah Husna turut melakukan perkara yang sama.

Hidangan diatas meja masih lagi berasap, makan pula di tepi pantai dalam suasana yang sejuk, memang terlebih seleralah nanti. Namun, Lanun tidak terus menyentuh hidangannya. Anak mata masih melekat pada Husna yang sedang menggaul nasi bersama kuah masak merah ikan itu. 

Husna nampak teragak-agak mahu menyuap ke dalam mulut. Mungkin memorinya masih terganggu dengan kepahitan yang dahulu. Sekonyong-konyong timbul rasa bersalah dihati Lanun melihat Husna yang tampak terpaksa.

Dia tidak tahu mengapa Husna meminta untuk makan ikan, jika sekadar mahu membuktikan kepadanya yang dia telah berubah. Sungguh, Lanun tak perlukan semua itu...

"Husna..." panggil Lanun, lembut. Menarik pandangan Husna melangut memandangnya.

"Ambillah lauk yang lain kalau kau tak suka. Jangan paksa diri." Tegurnya.

Husna tersenyum kelat. Kepala digeleng.

"Saya bencikan ikan sebab ikan tak pernah rasa sedap di lidah saya. Orang selalu kata, masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Tapi... masakan arwah mak selalu tawar. Tapi bila saya ada di kampung ni, saya tengok orang-orang kampung tak jemu makan makanan daripada laut. Jadi saya teringin nak cuba." Ujar Husna, kemudian menunduk memandang hidangan di hadapannya. 

Tidak membiarkan rasa ragu-ragu mengawal diri, Husna cuba melawan perasaan itu. Tak tunggu lama, selesai baca doa, langsung nasi yang digaul bersama isi ikan itu disuap ke dalam mulut. 

Buat beberapa minit dia cuba memproses rasa yang bermain di lidah. Kunyahan demi kunyahan sebelum ia menelannya. Kemudian, bibir mengukir senyuman. Kepala kembali diangkat memandang Lanun yang masih menanti sesuatu keluar daripada bibirnya.

"Sedap. Dah lama saya tak rasa sedap macam ni. Mungkin masakan arwah mak akan rasa seperti ini kalau ayah tak abaikan tanggungjawabnya dulu... Dan saya juga takkan jadi macam ini..." Suara Husna kedengaran bergetar. Tiba-tiba sebak mencengkam dada tatkala teringatkan kembali perangainya yang cerewet. Buatkan hampir kesemua yang mengenali dia membencinya.

"Semua orang dekat bandar benci bila tengok muka saya..."

Sedangkan Lanun sudah mula tak keruan apabila melihat mata Husna yang bergenang air mata. Detik yang sepatutnya menjadi romantik, bertukar hiba. Dia langsung bangkit daripada tempat duduk, mencapai kain bersih bersama mendekati Husna.

Bahu Husna yang berlapikkan baju kurung kedah itu ditarik memusing menghadapnya. Lanun melutut di pasir, mengadah muka menatap Husna yang menangis. Melihat air mata mengalir membasahi pipi wanitanya, lantas dia mengesat dengan lembut menggunakan kain tadi.

"Benci tak selamanya kekal di hati manusia. Sekelip mata Tuhan boleh tarik semula perasaan itu. Tetapi bergantung juga pada diri kita, sama ada nak terus dibenci atau disayangi. Semua itu boleh diubah dengan cara kita sendiri, Husna." Ujar Lanun, penuh mendalam sekali suaranya.

"Aku janji dengan kau, aku akan teman kau untuk berubah menjadi lebih baik. Kita harungi sama-sama, seperti mana yang kita cakap masa di pulau Muhang haritu. Aku takkan biarkan sesiapa pun bencikan kau. Aku nak mereka sayang kau, seperti mana aku sayangkan kau..."
Ucap Lanun, tulus daripada hatinya.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now