Berderau darah Mak Cik Uda apabila cuba membayangi nasib-nasib malang itu. Terlalu ngeri!

"Ko juga sama Lanun, jaga sumandak ko tu baik-baik. Jangan biar Mondu nampak dia. Sejak beberapa hari ini, Cik Uda dengar Mondu kerap keliling pulau ni bersama lanun-lanunnya. Pasti mau cari mangsa baru. Hati-hati ya!" Pesan Cik Uda, jelas sekali risau.

Tatkala Lanun tersenyum kelat sambil kepala diangguk perlahan.

"Cik Uda jangan risau, sa akan jaga dia sama seperti nyawa sendiri." Ucap Lanun, serius. Sesaat kepala menunduk memandang bungkusan plastik di tangan. Ada baiknya jika dia pulang sekarang. Pasti Husna sedang menunggu dia di rumah.

"Kalo endak ada apa-apa lagi, sa minta diri dulu. Assalamualaikum." Pamit Lanun. Usai memberi salam, langsung dia menapak pergi daripada situ.  Namun disetiap langkahnya, kepala turut terngiang-ngiangkan kisah Cik Uda sebentar tadi. Bahkan, jantungnya juga tak henti berdegup kencang. Perasaan yang jarang dia rasai sebelum ini, tika ini menyelubungi diri.

Iaitu...

Ketakutan.















                  HARI berganti malam, deruan angin laut bertiupan dengan lembut. Tiada ombak besar, bahkan gigi air saling menolak-nolak ke pasir pantai. Bunyi yang terhasil juga perlahan menyusup ke telinga. Suasana yang sangat menenangkan sekali untuk malam ini, dengan berlatar belakangkan langit pekat yang dihiasi bintang-bintang.

Kawasan pantai yang sepatutnya gelap, tika ini diterangi dengan cahaya dari pelita. Kejiranan disini yang meminjamkan pelita daripada rumah mereka untuk membuat tempat makan malam yang paling romantik.  Sekelilingnya dipacakkan pelita.

Tak terlintas difikirkan Husna, makan malam mereka akan jadi secantik ini. Ingatkan cuma meja dan lilin. Malah lebih.

"Semuanya sudah siap. Kamurang makan sampai kenyang ya. Sa mau  balik dulu." Ujar Orkid setelah siap meletakkan hidangan terakhir di atas meja yang diduduki oleh Lanun dan Husna. Bermula malam ini, dia menjadi pelayan tanpa gaji.

"Awak tak nak makan sekali ke Orkid?" Tanya Husna, segan pula hendak makan berdua-duaan ditepi pantai bersama Lanun, biarpun sebelum ini mereka sudah terbiasa makan bersama-sama di beranda. Mungkin disebabkan vibe malam ini lain daripada yang lain. Itu yang gementar sedikit. 

"Gila! Kalo sa makan sekali endak jadilah romantik. Susah payah sa buat semua ni sama orang kampung tau!" Balas Orkid.

Tergelak kecil Husna dibuatnya. Kepala diangguk perlahan. Yalah, Orkid... pergilah. 

"Nanti sudah habis makan, jangan lupa cabut pelita ni balik ya? Kesian kami kena bermalam gelap dirumah. Tetapi demi ko berdua, kami endak kisah. Janji kamurang puas makan bersama. Apa-apa pun, sa minta diri dulu. Aramaiti! (Enjoy/ berseronoklah)"  ucap Orkid, siap bersorak penuh gembira sebelum berlalu ke belakang pokok kelapa.

Kelihatan disitu ada beberapa orang kampung yang sedang terjenguk-jenguk kearah mereka dengan bibir tersenyum. Adakala mereka berbisik, tidak pastilah tentang apa. Tetapi rasa malu pula apabila makan malam mereka menjadi tontonan.

"Hei, pergi! Pergi! Endak pernah lihat urang mau makan ka huh? Jangan ganggu durang bah! Syuh!" Halau Orkid, mereka mengeluh penuh kecewa apabila dipaksa pergi daripada situ. Baru sahaja nak tengok drama waktu malam, dah kena halau.

Sekejap Lanun pusing ke belakang, memastikan orang kampung sudah pun berlalu pergi lantas dia kembali memandang Husna yang duduk dihadapannya. Kemudian bibir meletuskan tawa kecil.

"Maaflah, orang kampung disini memang lain macam sedikit semangat kejiranannya. Aku pun tak sangka mereka akan buat semua ni untuk kita." Ujar Lanun, dia pula yang terpaksa menanggung malu. Dah serupa anak raja pula orang kampung disini melayaninya.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now