"Alaaa... takkan tak ada telefon kut? Tipulah."

"Betul, saya memang tak ada telefon. Saya tak tipu."

"Ya ke? Ke... awak sengaja tak nak beri saya nombor telefon?" Soal lelaki itu. Seakan mendesak. Buatkan Husna makin rasa tak selesa. Belakang kepala digaru. Apalah yang susah sangat nak faham ni?

Baru sahaja Husna hendak buka mulut, lengannya yang berlapikkan baju T shirt   terasa ditarik. Husna menoleh. Terkebil-kebil menatap Lanun yang tiba-tiba sahaja berdiri dekat, sambil mengadah muka ketat ke arah lelaki yang masih tercegat di titi itu.

"Ada mau apa-apa lagi ka selain air kelapa? Kalo endak ada rasanya encik bulih pigi sana, kami mau pulang sudah.
Isteri sa dah penat seharian bantu suaminya hari ini."

Isteri?

Suami?

Kening Husna berkerut. Terus pandangannya beralih ke arah Lanun dengan muka tak percaya.

"Oh, Isteri ke? Saya minta maaf. Ingatkan abang dia." Rayunya, jelas serba-salah. 

"Abang?" Lanun menjuih bibir, jari terlunjuk menunding ke muka sendiri. Sekejap dia ketawa. Pastinya penuh sinis sekali.  Tiba-tiba rasa tak puas hati pula walaupun ia sekadar pendapat daripada pandangan mata lelaki itu. Panas. Sungguh panas.

Lanun mara setapak.

"Muka macam ni..."

"Abang..." panggil Husna dengan nada meleret. Cepat-cepat dia mencelah apabila melihat Lanun ingin bersuara. Dengan harapan, panggilannya akan menarik perhatian Lanun. 

Dan ya,

Ia menjadi.

Pandangan Lanun terus terhala ke arahnya. Dia terkesima. Tatkala menatap senyuman manis yang Husna lemparkan buatkan dia hanyut buat seketika. Hatinya yang panas tiba-tiba terasa sejuk serupa dikutub utara.

Haih, tadi rasanya tak suka digelar abang?

Hidungnya mula merah.

"Ap... apa?" Lanun masih tak percaya.

Husna menghela nafas sedikit. Dengan senyuman yang masih kekal dibibir, dia membalas renungan mata Lanun.

"Tadikan kata nak balik? Jomlah."  Rungut Husna dengan nada suara manja.

"Oh, ya tak ya. Kita nak balik." Lanun kembali ke realiti. Hilang amarahnya kini digantikan dengan perasaan suka. Dia tersengih. Namun, tak lama sebelum dia kembali memandang lelaki yang masih tercegat dititi. Muka kembali tegang.

Satu jelingan dihadiahkan tepat ke arah lelaki itu. Tajam. Cukup memberi isyarat menghalaunya pergi. Sebaik sahaja memastikan susuk lelaki itu menjauh, terus Lanun berpaling menghadap Husna semula. Kepalanya sedikit tertunduk menatap Husna yang lebih pendek daripadanya. 

"Kau panggil aku apa tadi?" Soalnya dengan sengihan. Hati di dalam rasa berbunga-bunga.

Husna berdecik kecil. Kepala tergeleng-geleng. "Sudahlah, Lanun. Awak cakap nak balik tadi."

Riak wajahnya terus berubah tatkala panggilan berubah. "Kenapa tukar?"

"Tukar apa?" Husna buat-buat tidak faham. Dalam diam, dia menahan bibir daripada tersenyum. 

"Tadikan kau panggil aku abang. Kenapa tak terus aje guna panggilan tu?" Soalnya, agak tidak puas hati.

Husna menghela nafas kecil. Topi jerami yang senget dikepala Lanun diperbetulkan dengan tangannya. Lanun tidak menghalang, malah membiarkan sahaja. Matanya tetap pegun pada laman wajah Husna yang indah. Sinaran terik matahari tak terasa hinggap ke tubuh. Segalanya nyaman.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now