Bibirnya menyenget. 

"Apa hubungan dia dan Lanun." Sambung Mondu. Lantas, gambar itu pun dihulur ke arah wanita yang berada paling dekat dengannya. Namun, tidak pula wanita itu mengambil. Bibirnya tampak mengetap.

"Apa yang kami akan dapat kalo buat semua itu?" Soalnya.

Mondu berdecik kecil. Kemudian dia ketawa. Oh, dia memang menantikan soalan itu. Bagus, sebab tolong tanya!

"Sudah tentulah sa akan bebaskan ko semua. Endak mau bebas ka?" Jawab Mondu. Terbeliak biji mata Orlu mendengar. Sungguh, macam tak percaya.  Sesenang itu sahajakah?

"Cari semua jawapan tu, dan kamurang akan bebas." Ulangnya, seakan menanam ayat itu dikepala tahanan wanita-wanita itu. Biar lebih bersungguh-sungguh mencari setiap jawapan yang dia mahukan, semata-mata untuk bebas.

Tapi, benarkah mereka akan bebas?

Mondu tersenyum senget. Tak lama, sebelum ia kembali mati. Dan tika ini, riak wajahnya berubah serius pula. Malah pandangan matanya berubah lebih tajam, menikam ke arah satu demi satu wajah yang jelas akan cuba mengambil kesempatan untuk melarikan diri.

"Tapi..." Mondu berjalan secara perlahan mengelilingi mereka.

"Jangan ko cuba-cuba mau lari. Pulau Semporna ni mungkin luas, tapi endak cukup luas untuk ko semua mau menyorok daripada sa. Kalo endak mau mati, jadi buat sija apa yang disuruh. Faham?"

Mereka mengangguk. Demi nyawa, terpaksa untuk terima.












                    
              LAMPU Petromax yang terpadam secara tiba-tiba itu dinyatakan semula oleh Lanun. Angin pada malam ini boleh tahan kuat dan sejuk juga. Barangkali mahu hujan, tetapi mungkin tak lebat mana. Alamatnya, kesejukanlah dia tidur di beranda malam ini.

Kemudian, dia duduk melutut ke lantai. Menepis habuk kecil di atas tikar mengkuang itu agar bersih sebelum dia hendak tidur nanti. Sejujurnya, tidur disini memang tak selesa. Setiap kali bangun tidur, pasti belakang pinggangnya akan terasa sengal. Bahkan leher juga akan terasa lenguh kerana tidak berbantal.

Boleh sahaja dia tidur menumpang di rumah adik beradiknya. Tapi jika dia ke sana, risau pula Husna sunyi. Jadi biarlah rasa tak selesa pun, asalkan dia dapat lihat Husna setiap masa.

"Ehem! Ehem!" Terdengar suara berdehem, menarik perhatian Lanun untuk menoleh ke belakang. Keningnya sedikit terjongket. Tatkala baru menyedari Husna berdiri tercegat di muka pintu, langsung Lanun bangun.

"Kau tak tidur lagi?" Soal Lanun, tidak terkejut cuma tertanya. Ingatkan dah tidur, sebab senyap sahaja di dalam rumah tadi. Lantas, dia menapak menghampiri Husna sambil menepuk-nepuk tangan yang melekat habuk.

Husna menggeleng. "Belum. Tapi nak tidur dah." Jawab Husna. Buatkan kening Lanun berkerut sesaat.

"Kalau macam tu kenapa tak tidur aje terus?" Soal Lanun lagi. Pelik. Namun, tak sampai berapa saat bibirnya menguntum senyuman.

"Ke... kau nak tengok muka aku dulu sebelum tidur? Supaya dapat mimpi indah? Kalau ya, tengoklah puas-puas. Aku akan berdiri dekat sini selama mana kau nak tatap." Katanya, siap sebelah tangan menopang pada pintu, bersedia untuk berdiri lama-lama sampai kaki rasa kebas. Dia tak kesah. Lagi suka adalah.

Husna mengecilkan mata, merenung mata hazel dan biru itu dengan kepala tergeleng-geleng. Inikah perangai Lanun yang sebenar?

"Mana penutup mata awak? Kenapa dah tak pakai?" Giliran Husna pula untuk menyoal, tubuh dipeluk. Sejak terima lamaran Lanun petang tadi, terus hilang penutup mata lelaki itu. Dan mulalah gadis-gadis kampung disini terpanar seketika melihat mata biru Lanun apabila keluar ke beranda tadi.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now