"Dia lain... aku tahu dia lain. Kalo tidak, kenapa Lanun bersungguh-sungguh jaga dia? Tu, bot yang kita sudah rampas itu hari! Lanun langsung endak datang ke sini dan tuntut semula. Tak lain tak bukan, ada sesuatu yang dia cuba sorokkan tentang perempuan itu sampai sanggup hilang ratusan ribu ringgit." Ujar Mondu, walaupun dia telah dapat apa yang dimahukan. Tetap saja nafsu tamak ini mengawal dirinya.

Kalau boleh, dia mahu semua yang Lanun ada. Kerana, apa yang ada bersama lelaki itu seolah-olah sangat tinggi nilainya. Termasuklah wanita itu.

"Habis? Ko mau sa buat apa?" Soal Orlu, dia sedia menerima tugas.

Sekilas anak mata Mondu mengerling ke arah gua. "Lepaskan semua tahanan perempuan kita."

"Huh? Apa ko gila ka?!" Belum apa-apa lagi Orlu sudah mencelah. Terlalu terkejut dengan arahan yang baru keluar daripada bibir Mondu. Rugilah kalau lepaskan semua tawanan itu, sekurang-kurangnya kalau jual balik pun ada dapat keuntungan bagi mereka.

Mondu mendengus kecil.

"Ko fikir aku mau lepaskan mereka begitu sija ka huh? Aku belum palui  (bodoh)lagi bah macam ko! Bawa sija mereka keluar, jangan banyak cakap!"
Bentak Mondu. Geram pula apabila Orlu tidak mengikut sahaja setiap arahannya. Tahulah apa yang dia perlu buat nanti. Siapa yang bos sekarang ni?

Orlu terdiam. Sedar, dia tiada hak untuk persoalkan tindakan ketuanya. Lantas, Orlu melangkah masuk ke dalam gua. Tidak sampai beberapa minit, dia keluar semula bersama tahanan wanita-wanita yang masih terikat tangan mereka. Masing-masing kepala menekur ke bawah apabila kiri dan kanan diiringi senjata api yang bila-bila masa sahaja akan singgah ke kepala.

Sampai sahaja di hadapan Mondu, mereka berhenti. Tidak berani hendak bertentangan mata. Entah apalah nasib malang yang akan menanti mereka sekejap lagi.

Rokok disedut buat kali terakhir sebelum dibuang ke pasir. Seraya Mondu bangun daripada duduk di batu.

"Buka ikatan durang." (mereka/diaorang) arah Mondu.

Orlu dan beberapa lelaki berbaju lusuh itu langsung bergerak mendekati tahanan wanita itu, membuka ikatan tali pada tangan mereka. Buat pertama kali, mereka rasa sedikit bebas. Sengal badan hilang begitu sahaja.

Tapi, ia mungkin cuma sementara.

"Aku tahu kamurang terseksa duduk disini. Sebab itulah sa mau jadi seorang yang belas kasihan sedikit hari ini. Tapi, seperti yang orang tua-tua selalu bilang... kalo buat baik, harus dibalas baik juga. Jadi, ada sesuatu yang sa mau kamurang buat sebagai tanda balas budi." Ujar Mondu dengan senyuman sinis beraja di dibibibir.

"Ap... apa yang ko mau?" Tergagap-gagap suara wanita berada paling hujung itu menyoal. Takut. Tatkala kepala masih lagi menikus ke bawah. Hatinya rasa tak tenteram.  Dia pasti, tahanan yang lain juga rasakan perasaan yang sama.

"Endak susah bah permintaan sa ni. Satu sija." Dia menjeling ke arah Orlu memberi satu isyarat. Manakala Orlu yang pantas menangkap maksud, langsung saja mengeluarkan sekeping gambar Husna yang ditangkap semasa pengsan beberapa hari lepas kepada Mondu.

"Sa akan hantar kamurang ke satu jeti nanti. Dijeti tu, akan ada satu bot. Iaitu tempat lanun-lanun aku tunggu ko semua nanti. Sa mau... kamurang naik bot itu, dan turun ke darat. Tapi endak semualah. Ada yang sa akan hantar turun ke beberapa resort dan chalet berdekatan." Katanya.

Kemudian dia jeda seketika.  Memerhati satu demi satu wajah yang diharapkan menjadi kambing hitam buatnya.

"Cari tiga jawapan yang sa mau sija. Iaitu, siapa perempuan dalam gambar ini, cari apa status dia dan lagi satu..."

MR PIRATEWhere stories live. Discover now