Tatkala melihat Husna ingin pergi, lekas Lanun menaruhkan kotak itu ke bawah. Kaki pantas mengejar langkah wanita itu daripada belakang.

"Husna, tunggu dulu!"

PAP!

Pantas tangannya menolak pintu yang sudah ditarik separuh itu tertutup semula.

Husna tersentak, lantas memusing ke belakang. Air liur langsung ditelan. Kesat. Gugup pula apabila jarak mereka agak rapat. Manakala sebelah tangan Lanun masih tertekap kemas disisi kanan wajahnya. Seolah-olah mengunci dirinya daripada pergi.

Hendak pula suasana di dalam rumah ini agak suram apabila pintu dan tingkap dibiarkan tertutup. Lagilah Husna rasa tak keruan. Tatkala anak mata tak sengaja turun ke tubuh yang cuma mengena singlet hitam itu, buatkan jantungnya makin berdegup laju. Walaupun dia masih muda, tapi rasa macam nak kena serangan jantung!

Cepat-cepat Husna melarikan anak mata ke lain. Seluruh darahnya rasa berderau.

"Saya rasa... elok kalau buka sedikit pintu. Nanti orang kampung fikir yang bukan-bukan." Omel Husna, masih tidak berani bertentangan mata dengan lelaki itu.

Lanun yang baru menyedari suasana sekitar mereka agak gelap, langsung buka pintu itu semula. Dia menyengih dengan muka kekok. Belakang kepala digosok perlahan.

"Siou (maaf)."

Kepala Husna terus terdongak. Agak terkesima. Langsung jari terlunjuk naik menunding ke muka sendiri.

"Awak cakap saya sial?" Soal Husna, mata kembali menikam dengan tajam.

"Eh, tak!" Pantas Lanun menafikkannya. Siap geleng laju lagi. Gelabah dia hendak membetulkan tanggapan Husna.

"Maksud aku, maaf. Siou maksudnya maaf dalam bahasa dusun. Bukannya sial."

"Oh..." Husna termalu sendiri. Manalah dia tahu. Ingatkan Lanun marah apabila dia suruh buka pintu semula. Selalunya, Lelaki itu akan menggunakan bahasa dusun untuk menyakatnya. Mentang-mentanglah dia tidak faham. Buat masa sekarang, dia cuma belajar tiga perkataan sahaja iaitu Koupusan (sayang), hino ko po (selamat tinggal) dan pounsikou (terima kasih). Dan kini, tambah perkataan baru. Iaitu siou.

Tidak lama lagi,mungkin dia boleh faham loghat dusun tanpa kamus. Ada manfaat juga kena paksa duduk di kampung ini.

"Pasal baju kurung tu..." Lanun kembali bersuara, mengalihkan perhatian Husna memandangnya.

"Aku tak kesah. Lagipun, tak elok kalau dibiarkan baju tu tersimpan tanpa terusik. Lama-lama akan rosak juga. Jadi lebih baik aku beri kau pakai. Tak adalah membazir. Dan tentang kenangan aku dan arwah, kau tak perlu risau. Kadang, kita perlu selam kepahitan itu untuk cari dimana kemanisan dia juga. Dan bila difikirkan balik, kenangan bukan terletak pada suatu benda. Tapi disini..." Dia menunjuk pada dadanya, jelas menunjuk ke arah hati.

"Kenangan sentiasa ada disini. Dan baju-baju tu pula, cuma barang yang pernah dipakai sahaja. Jadi tiada kena mengena jika kau pakai akan buat aku rasa sedih. Malah, aku akan lebih suka. Jadi, ambillah." Ujar Lanun. Memujuk Husna mengambil pemberiannya semula.

Sedangkan Husna masih lagi diam. Mata hazel Lanun ditenung lama. Kenapa ya? Setiap kali lelaki ini berbicara dan memberikan kata-kata serupa nasihat, pasti fikirannya akan teringatkan Mr Blue.

Ya. Mr Blue juga, pernah memberi kata-kata seperti itu. Malah hati ini juga turut merasakan perasaan yang sama. Perasaan yang seolah-olah dia sudah lama mengenali lelaki yang berdiri dihadapannya sekarang.

Cuma dia tak pasti, sama ada benar atau tidak firasat yang dirasakan saat ini? Atau sekadar mainan perasaan.

"Betul ni awak tak kesah?" Soal Husna, sekadar mahu memastikan. Jangan nanti si Lanun ini menyesal dikemudian hari pula, memang dia akan siku mulut lelaki itu!

MR PIRATEDonde viven las historias. Descúbrelo ahora