"Kau diamkan sekejap mulut ayam kau tu boleh tak? Makin kau bercakap, makin otak aku tak berfungsi." Balas Lanun selamba tanpa memandang Husna, kemudian dia duduk bertinggung, menyelak kain plastik biru di lantai bot. Rasa-rasa ada dua pendayung dibawah ni.

Husna mengetap bibir. Kakinya dihentakkan ke atas bot tanda tidak berpuas hati dengan kata-kata Lanun. Terus dia duduk kembali ke tempat asal sambil memeluk tubuh. Berpaling ke lain. Bibir memuncung. Malas hendak pedulikan Lanun.

"Kalau mulut aku macam ayam, habis dia tu apa? Sama sahaja..." gumam Husna, geram. Rasa macam nak carik-carik sahaja wajah lelaki itu jika dia berdiri di hadapannya sekarang.

"Nah."

Tanpa semena-mena, muncul tangan yang menghulur pendayung kayu di hadapan matanya. Kening Husna berkerut, dia memandang pendayung itu dahulu sebelum kepala terdongak melihat Lanun. Sejak bilanya dia berdiri disebelah?

"Apa ni?" Soal Husna, huluran dayung itu ditepis perlahan menjauhi dia.

"Ada nampak macam paha ayam ke? Dayunglah. Kita boleh dayung bot ni sampai ke kampung. Tak jauh mana pun. Dalam dua jam sampailah." Ujar Lanun.

Jatuh rahang Husna mendengarnya. Langsung dia berdiri.

"Dua jam?! Awak ingat dua jam tu, dua minit ke huh? Jauh tu!"

"Habis kau nak duduk dekat sini sementara tunggu orang datang? Kau nak bermalam atas bot semalaman dengan aku?"

Husna terdiam. Matanya berkelip-kelip. Bunyinya macam romantik pula, bermalam di atas bot berdua-duaan. Ditemani pula dengan bulan dan bintang di langit.  Eh, mana boleh! Mereka belum kahwin, bila-bila masa sahaja syaitan akan mengambil kesempatan menghasut telinga umat manusia melakukan perkara larangan.

Entah-entah, waktu malam nanti... sedang dia nyenyak tidur, si Lanun tiba-tiba bertukar menjadi harimau jadian.

Tak boleh! Tak boleh!

Husna menggeleng laju.

"Tak nak!" Pantas saja Husna membantah.

"Tahu pun tak nak. Jadi jangan beri banyak alasan, ambil dayung ni!"

Tidak tunggu lama, huluran dayung itu terus dirampas Husna. Hampir sahaja dayung itu terlepas ke tangan, mujur dia  cepat tangkap. Tak sangka berat juga objek ini.

"Kau dayung belah kanan, aku dayung belah kiri." Lanun memberi arahan, tak ubah seperti kapten bot. Tegas. Dia terus berjalan, mengambil tempat duduk di sebelah kiri. Husna sekadar angguk kepala.

Alahai, macam mana pula nak mendayung? Macam kacau dodol ke? Masalahnya kacau dodol pun dia tak pernah buat.

"Sempat ke nak sampai kampung sebelum hujan kalau kita guna dayung sahaja?" Soal Husna, dia kembali duduk.  Apabila melihat Lanun mula meletakkan pendayung di luar bot, dia juga ikut buat cara yang sama.

"Mungkin sempat. Langit pun nampak tak gelap mana pun. Bermakna lambat lagi nak hujan." Ujar Lanun, pandai-pandai sahaja membuat spekulasi sendiri. Dia pun tidak mahir mana hendak menentukan keadaan cuaca. Macamlah dia pekerja dibawah berita cuaca harian?

Sedangkan Husna menjuih bibir. Anak mata dijulingkan ke atas.

"Yalah tu sempat. Entah-entah, tak sampai seminit kita dayung hujan akan turun." Kata Husna, sambil dia menolak dayung itu dari arah depan ke belakang agar bot mereka bergerak terus secara lurus. Sama seperti Lanun lakukan. Diulang-ulang dengan gaya yang sama tanpa henti.

Agak susah juga hendak menolak air dengan pendayung kayu yang berat ini. Baru sekejap, tangan Husna sudah berasa lenguh. Namun. Saat kepala tertoleh ke sebelah, dia lihat Lanun masih tenang menghayunkan kayu sampan itu. Jelas lelaki itu sudah terbiasa dengan kerja-kerja seperti ini.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now