"Tak payahlah. Kita dah lambat ni." Kata Lanun.

Husna cebik bibir. Yalah tu! Entah-entah dia memang sengaja nak orang kampung ingat mereka pasangan sejati. Tak jadi dia ingin menukar pakaian, akhirnya berdiri sahaja membelakangi Lanun.

"Sini, aku rasa kau lupa pakai sesuatu..."
Baju Husna ditarik perlahan, cukup untuk membuat wanita itu pusing ke belakang menghadapnya.

Husna pegun seketika. Tak bergerak. Kepala sedikit melangut memandang Lanun yang berdiri betul-betul di hadapannya. Agak rapat. Panas rasa wajah apabila anak mata sebelah lelaki itu melilau ke seluruh wajahnya seakan mencari sesuatu. Mulalah si jantung ini hendak bermain kompang di dalam.
Namun tetap saja Husna cuba berlagak tenang.

Dia lihat Lanun tarik nafas panjang-panjang sebelum topi jerami yang dipakai ditanggalkan lalu dipindahkan ke atas kepalanya yang berbalut tudung Khimar. Husna tergamam. Mata berkelip-kelip.

"Dekat sana nanti panas. Tak ada bumbung. Kena pakai topi..." Lanun bersuara, kepalanya sedikit tertunduk mengikat tali topi jerami dibawah dagu Husna agar tidak longgar dan terjatuh semasa ditiup angin nanti. Tanpa sedar, Husna pula sudah mengeras seperti patung. Hujung baju T shirt digenggam kuat-kuat. Manakala nafas terasa tersekat saat muka lelaki itu sangat hampir dengannya.

Lanun tolong jauh sikit, tak boleh bernafas! Jerit Husna, hanya mampu di dalam hati. Mukanya sudah memerah dek kerana tahan nafas daripada tadi. Ada juga yang tiba-tiba pengsan sekejap lagi.

"Kalau tak pakai nanti boleh terkena strok haba. Bahaya. Jadi jangan kau pandai-pandai buka pula? Faham?"

Perlahan Husna angguk kepala.

Selesai mengikat tali itu, Lanun kembali menjauhkan jarak. Sebelah tangan diseluk ke dalam poket seluar, sekali lagi pemakaian Husna diperhatikan dari bawah hingga ke atas. Dah macam anak nelayan. Comel. Bibirnya tersenyum.

"Sudah, jom kita naik bot!" Ajak Lanun, terus dia melangkah ke arah bot yang sudah dihidupkan enjin.

Sebaik sahaja lelaki itu membelakanginya, Husna hembus nafas kuat-kuat. Sebelah tangan naik mengurut dada.

Fuh!

Lega.

Tatkala melihat lelaki itu sudah naik ke atas bot, terhegeh-hegeh Husna berlari ke sana. Tidak mahu ketinggalan. Dia mengambil tempat duduk sementara menunggu Lanun menarik sauh.

"Awak suruh saya pakai topi, awak tu pula? Tak pakai ke?" Soal Husna saat dia menyedari lelaki itu tidak memakai apa-apa dikepala sebagai pelindung dari cahaya matahari. Karang kalau terkena strok haba, siapa yang nak hantar dia balik?

"Ada satu lagi dekat belakang. Kejap lagi aku pakai. Apa-apa pun, terima kasih sebab ambil berat."

Husna terkulat-kulat. Nada suaranya nampak sangatkah sedang ambil berat? Wajahnya membahang rasa malu.

"Mana ada saya ambil berat. Saya tanya aje!" Bidas Husna, ada dengusan dihujung kata. Dia terus memeluk tubuh lalu berpaling ke lain. Malas hendak tengok muka Lanun. Pasti lelaki itu sedang tersengih serupa kerang busuk.

Menyampah!

Usai mengangkat sauh dan meletakkan di tempatnya, kemudian Lanun melangkah ke arah enjin bot. Duduk disitu. Perjalanan mereka sudah hendak bermula. Moga-moga misi jual ikan hari ini berjaya.

"Bismillahirahmannirrahim..." dengan ucapan doa terlebih dahulu sebagai pelindung mereka sepanjang melalui laut nanti. Perlahan-lahan bot bergerak mengundur ke belakang sebelum ia memecut pergi menjauhi kampung itu.











MR PIRATEWhere stories live. Discover now