"Tak tahu ya..."

Tanpa semena-mena, tangan berbalut kain merah itu melayang tepat ke muka Zaim. Kuat sehingga tubuhnya melayang ke katil bersaiz King itu. Tak sempat dia hendak memaling muka memandang Raf, satu lagi penumbuk hinggap ke pipinya. Darah yang mengalir dari bibir menitis mengena pada comforter putih itu. Rahang terasa kebas. Bibir berdenyut-denyut pedih.

"Kau ingat aku bodoh ke huh?!" Jerit Raf sekuat-kuatnya, kolar lelaki itu dicengkam kasar ditarik menghadap wajahnya yang tegang.

"Aku nampak apa yang jadi malam itu! Aku nampak yang perempuan tua tu tolak dia jatuh daripada bot dan aku nampak yang kau buat-buat tak endah sewaktu anak dia minta tolong kau selamatkan dia! Kau fikir aku buta, huh? Apa yang kau fikir waktu tu sampai otak kau sanggup jadi bengap macam ni? Sebab duit? Huh?" Gigi Raf mengancing, garang. Seluruh tubuhnya menggeletar marah.

"Ma...maafkan saya, Tuan..."

"Maaf?" Tak sedar bibir Raf menyenget sinis. Mahu tergelak pun ada apabila lelaki itu baru sedar salahnya sekarang.

"Senang sungguh kau minta maaf dengan aku ya? Kalau perempuan itu mati macam mana?! Siapa yang bak bertanggungjawab? Kau rasa maaf kau berguna lagi ke waktu itu huh? Duit yang kau dapat itu pun bukannya boleh teman kau sampai ke mati!"

"Sa... Saya tahu, Tuan. Saya cuma terdesak..."

"Terdesak? Kau ni memang..."

Kepala Raf berdenyut kuat. Seperti mahu meletop tengkoraknya kerana menahan amarah yang membuak-membuak. Mendengar alasan kolot yang diberikan lagilah dia rasa berang. Penumbuk yang sejak tadi tersedia, sekali lagi berdesup keras ke dagu Zaim. Terngadah lelaki itu bersama erengan penuh kesakitan.

"Banyak lagi cara untuk kau dapatkan duit, kenapa dengan cara ini juga yang kau pilih?! Alasan kau tu cuma manusia bodoh sahaja yang akan guna. Jenis nak cepat banyak duit tapi langsung tiada usaha. Baik kau ni tak payah hiduplah dekat muka bumi ni!" Terus tubuh Zaim dihempas kasar ke katil.

Jika diikutkan nafsu amarahnya, hendak sahaja dia memukul lelaki itu sehingga lumat. Namun apabila mengingatkan Zaim itu juga manusia, punya keluarga maka terpaksalah dia menenangkan diri sendiri. Memupuk sabar agar tidak bertindak keterlaluan. Berkali-Kali Raf menarik dan menghembus nafas agar jiwanya tenang.

Sesekali dia meraup rambut putihnya ke belakang. Bibir tak berhenti beristighfar, menghalau segala hasutan syaitan yang berbisik jahat ditelinganya.

Ya Tuhan, maafkan aku kerana ikutkan nafsu kali ini...

Mata dipejam. Meminta keampunan.

"Kau dengar sini..." Raf menoleh semula memandang Zaim setelah amarah di dadanya sedikit reda. Sepasang mata itu masih menikam dengan tajam.

"Aku bagi kau tempoh, kau fikir balik apa yang kau buat ini betul atau salah. Kalau kau manusia, ada akal dan fikiran... aku nak kau pulangkan balik duit perempuan tua tu dan mengaku kesalahan kau kepada Tan Sri Raqib." Arah Raf dengan nada tegas.

Zaim hanya diam tak bersuara. Bibirnya masih lagi sakit. Kepala menekur ke bawah. Tak berani hendak bertentangan mata dengan lelaki itu.

"Tapi kalau kau degil juga. Kau lebih sayangkan duit itu daripada nyawa kau sendiri, kau tunggulah... aku balik sahaja di Ocean Resort ni, dan aku akan cari muka kau dahulu. Waktu itu aku takkan peduli apa sekalipun alasan kau, aku takkan fikir pun kau ada keluarga atau tidak... aku akan campakkan sahaja tubuh kau ke laut sama seperti mana kau tengok perempuan itu tercampak di Red Zone. Kau faham?!"

"Faham, Tuan..." Zaim bersuara lemah. Tak berdaya hendak melawan kata-kata lelaki itu.

Satu nafas dihembus kasar. Lilitan kain merah ditangan dibuka semula. Biarpun berlapik, kesan lebam biru masih terkesan pada buku lima belakang tangan Raf. Jelas tumbukan yang dihadiahkan tadi bukannya perlahan. Dia juga merasakan sakitnya. Apatah lagi si Zaim yang menjadi mangsa penumbuk itu, mungkin dua kali ganda perit yang ditanggung.

MR PIRATETahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon