"Of course. Dia ada semua ciri Mr.Blue yang saya kenal. Handsome, berduit, kaya-ra..."

"Andai kata Mr.Blue yang kau cintakan sangat tu, tak ada semua yang kau nak. Kau akan tetap pilih dia juga?" Soal Lanun lagi.

Husna terdiam. Perlahan-lahan kepala menunduk ke bawah. Dia tidak pernah fikir tentang soal itu selama ini. Sanggupkah dia terima? Husna sendiri tidak punya jawapan yang kukuh. Kehidupannya sudah cukup lengkap, dikelilingi dengan kemewahan. Mana mungkin dia sanggup menolak semua itu semata-mata kerana hendak hidup bersama seorang lelaki miskin.

Lanun mara selangkah mendekat. Wajah Husna yang masih terdiam dipandang. 

"Itu maknanya kau tak cintakan dia betul-betul." Kata Lanun.

Terus wajah Husna terangkat kembali. Siapa Lanun hendak menentukan cintanya itu tulus atau tidak?

"Hati saya. Saya tahulah saya betul-betul suka dia atau tidak." Balas Husna, tidak puas hati.

Lanun angguk kepala. Dia tidak menafikan apa yang perasaan Husna rasa saat ini.

"Betul. Kau memang suka dia. Tapi suka atas sebab rupa dan kekayaan yang kau lihat daripada mata kasar kau. Dan semua yang kau lihat tu, cuma kekal untuk sementara. Suatu hari nanti, akan hilang juga. Daripada kaya, boleh jadi miskin. Daripada kacak juga boleh jadi hodoh bila-bila masa. Habis... lepas dia tak kacak, tak kaya, kau nak buat apa? Benci dia? Tinggalkan dia?"

Sekali lagi Husna terdiam. Setiap soalan yang diacukan kepadanya, satu pun tak terjawab.

"Kalau aku jadi Mr.Blue, aku akan cuba ubah perasaan cinta kau."

Kening Husna berkerut. Mengapa pula?

"Aku akan ubah, daripada perasaan kau cintakan aku kerana rupa kepada cintakan aku dengan seikhlasnya. Sebab aku tak nak, dihujung masa nanti... kau akan menyesal dengan pilihan sendiri dan minta untuk dilepaskan. Dan waktu tu, kau cuma perlu tahu satu perkara. Aku memang takkan lepaskan kau sampai bila-bila. Tak guna kalau kau menyesal lagi selepas itu."

Husna senyap meneliti wajah lelaki itu. Mendengar setiap patah-patah kata yang dilemparkan. Dia tidak nampak bahawa Lanun sedang bermain dengan kata-katanya sekarang. Apa yang dilontarkan seolah-olah keluar dari jiwanya, bukan sekadar bibir berbicara kosong. Dan tak tahu mengapa, jauh di dalam sudut hatinya rasa tersentuh.

Padahal, Lanun sendiri menggunakan perkataan 'kalau' dalam ayatnya. Bermakna, dia bukan Mr.Blue dan ayat yang baru dilemparkan bukanlah buat dirinya juga. Namun, kenapa hati ini terasa sedikit cemburu? Biarlah kalau bukan ditujukan buatnya sekalipun!

Kepala Husna terangguk-angguk. 

"Baguslah. Niat awak memang baik, mesti bakal isteri awak nanti akan reda je dengan apa yang jadi. Tapi saya yakin, Mr.Blue saya takkan sesekali nak tengok isterinya hidup susah macam ni.  Itu awak. Bukan dia."

"Aku tak nafikan apa yang kau cakap. Sememangnya dia takkan biarkan kau rasa susah sama-sama dengannya." Ucap Lanun, tepat merenung ke dalam mata bulat milik Husna.

"Tahu tak apa." Balas Husna, berlagak.  Sekilas pandangan beralih ke hadapan, terkejut dia apabila melihat Orkid muncul secara tiba-tiba. Siap tersengih-sengih menayang gigi putihnya melihat kearah mereka berdua dengan pandangan sesuatu.

Ah, sudah!

Pasti dia fikir yang bukan-bukan.

"Sejak bila awak muncul?" Soal Husna, pelik sungguh. Semalam pun dia muncul mengejut juga. Budak ni duduk atas pokok kelapa ke? Tahu-tahu sahaja sudah melompat muncul dekat depan mata.

"Ko dengan Lanun bercinta ka?" Soalnya dengan mimik muka nakal. Siap jongket kening berkali-kali lagi.

Hendak ternganga Husna mendengar soalannya. Dia memandang sekilas kearah Lanun disebelah, lelaki itu langsung tak menunjukkan sebarang riak. Cuma melayan sahaja apa yang Orkid kata.  Tak mungkin Husna akan diam sepertinya, nanti lagilah meyakinkan Orkid bahawa mereka memang sedang bercinta.

Pantas Husna geleng kepala.

"Mana ada!"

"Aceceh... yalah tu. Habis kenapa baju kamurang berdua basah? Ha... mandi sama-samalah tu..."

"Eh, bukanlah. Kitaorang pergi memancing ketam aje. Bukan mandi!" Tekan Husna. Makin lama, makin ke lain pula yang Orkid fikir. Tak pasal-pasal orang-orang kampung yang berada berdekatan disitu berpaling memandang kearah mereka berdua dengan senyuman bermakna. Aish, rasa macam nak lari masuk ke dalam rumah terus. Malu tak terkata!

"Apa? Ko pigi pancing ketam? Uinaa... lain macam cara orang darat menipu. Mana ada urang pancing ketam pakai joran! Pakai bubu sepatutnya.  Ko pigi tangkap pakai joran memang sampai bila-bila ko endak dapat." Kata Orkid.

Terus membuatkan Husna tergamam. Bibir diketap. Geram. Dadanya naik turun menahan rasa sebal. Terasa dirinya diperbodohkan oleh Lanun.
Patutlah seekor ketam pun tak makan umpan selama berada diatas bot tadi! Terus pandangan dialihkan ke arah Lanun disisi. Oh, dan-dan juga dia berpaling ke lain saat ini.

"Ehem! Sa mau mandi dulu." Pamit Lanun. Hendak ketawa pula melihat muka Husna yang rasa tertipu dengannya. Heh, siapa suruh berlagak pandai sangat tadi? Lantas,  dia terus melangkah pergi menuju ke belakang rumah.

"Kurang masin betul..." omel Husna, perlahan. Nasib baik dia dah pergi, kalau tidak hendak sahaja aku libas joran ini ke belakang tubuhnya.

"Ui, Husna!" Terasa bahu kanan dicuit, Husna menoleh memandang Orkid yang sudah berdiri ditepinya. Masih lagi dengan pandangan gatal. Entah apa lagilah yang dia fikir tu...

"Ko cakap tadi pigi memancing, tetapi kenapa baju ko dengan dia basah?"

Haish, tak habis lagi Orkid dengan soalan itu...

Husna mengeluh perlahan.

"Saya terjatuh dari botlah. Bukan mandi. Sampai lemas tahu tak? Mujur Lanun ada. Dia tolong selamatkan." Ujar Husna. Terpaksa juga dia bercerita perkara yang sebenar. Namun, entah dimana menariknya sehingga Orkid menjerit suka sambil menekup wajahnya yang memerah.

Berkerut kening Husna memandang. Dia ada salah sampaikan cerita ke?

"Ko lemas kemudian Lanun selamatkan?" Orkid mengulangi soalan.

Husna anggukkan sahaja kepala. Ya, betullah. Kenapa?

"Mesti dia peluk ko, kan?"

Mata Husna membulat. Elok dia sudah lupa tentang hal itu, terus fikirannya teringatkan balik. Automatik wajah membahang merah. Terkulat-kulat Husna pandang sekeliling, risau pula jika ada orang lain yang mendengar.

"Ma...mana ada."

"Aceceh... muka sudah merah pun masih mau tembirang(menipu) bah..."

"Ish, betullah! Mana ada sampai ke situ!" Makin merah wajah Husna apabila Orkid mula menyakat. Sudahlah suaranya kuat, tak semena-mena mengalihkan perhatian orang kampung yang berada dekat disini. Mereka siap tersenyum-senyum mendengar usikan Orkid. Ada yang tergelak.

"Mesti dia nampak kacak betul waktu itu, kan?"

"Sudahlah. Malas saya nak layan awak punya merepek, Orkid. Lebih baik saya bersihkan diri dulu." Cepat-cepat Husna mencari alasan supaya boleh melarikan diri dari usikan wanita itu. Tak tunggu lama, terus Husna melajukan langkah menuju masuk ke dalam rumah. Pintu dihempas tutup dengan kuat. Dari jauh pun masih boleh dengar suara Orkid ketawa.

Haish, memang memalukan sungguh!






MR PIRATEWhere stories live. Discover now