"Baguslah. Nanti Odu masak sedap-sedap. Dirumah Odu pun ada ketam lebihan."

Mendengar perkataan ketam, terus kepala Husna pusing memandang Odu kembali. Ya Tuhan, dia tidak salah dengarkah? Atau dia terlalu mengidam hendakkan ketam sehingga tersalah dengar? Eh, sejak bila pula dia mengandung sehingga nak mengidam? Rasanya Odu betul-betul sebut ada ketam lebihan dirumah tadi.

Mata Husna bersinar. Otak terus melupakan tentang niatnya yang hendak menolak pelawaan Odu tadi.  Dimana ada ketam, disitu dia akan pergi. Tiba-tiba rasa tak sabar hendak tunggu malam menjelma. Siaplah, aku akan sebat sampai dua pinggan nasi!

"Kalo begitu Odu pergi ke pasar dulu. Nanti pukul lapan, datang ke rumah Odu." Pesannya.

Laju sahaja Husna mengangguk kepala. Penuh bersemangat. Belum sempat Lanun hendak buka mulut, Husna terlebih dahulu memotong. 

"Jangan kata pukul lapan, pukul tujuh setengah lagi kami akan muncul depan pintu." Kata Husna, dengan muka tidak tahu malunya. Demi seekor ketam, dia terpaksa tebalkan muka. Tak peduli tentang Lanun yang memandangnya dengan muka tak percaya.

"Nanti Odu masak yang sedap-sedap untuk kamu berdua. Odu minta diri dulu." Pamitnya, sebelum berlalu pergi meninggalkan mereka berdua. Husna angguk kepala, siap melambai tangan lagi. Entah Odu perasan atau tidak. 

Lanun disisi sudah memeluk tubuh. Sebelah kening terjongket sedikit ke atas. Menunduk memandang Husna yang cuma tinggi sampai ke paras dadanya sahaja.

"Sejak bila kau jadi semangat nak makan dekat rumah orang?"

"Sejak Odu kata ada ketam." Balas Husna, selamba.

Lanun berdecik kecil. "Sebab itu aje? Memang muka tak malu betul..."

"Nak buat macam mana? Ini sahaja peluang yang saya ada untuk makan ketam. Nak harapkan awak bawa balik ketam untuk saya, sampai ke tua saya tak dapat makan. Yalah, awak tukan Ke...De...Kut." Sindir Husna, siap menekan perkataan kedekut itu dengan kuat dihadapan muka Lanun.

Namun, tidak pula terpapar pada riak wajah kacak lelaki itu seolah-olah terasa dengan sindirannya. Malahan bibir Lanun menyenget penuh makna sebelum tubuh ditundukkan sedikit menyamakan ketinggian mereka. Mata Husna membulat, jarak lelaki itu terlalu dekat sehingga nafasnya terasa tersekat.  Lagi membuatkan jantung berdebar tatkala sebelah anak mata hazelnya merenung dia dengan pandangan yang menggoda. 

Astaghfirullah hal azim, Husna. Jangan tergoda! Ini semua syaitan!

Husna cuba berlagak tenang. Membalas renungan lelaki itu dengan yakin. Tanpa sedar tangan yang berada dibawah sudah menggigil.

"Kenapa awak pandang saya macam itu?"

"Kau cakap sampai ke tua takkan dapat makan ketam kalau ikut cakap aku. Jadi, kau nak duduk dengan aku dekat sini sampai bila-bila ke?"

Husna diam. Cuba memproses kembali ayat yang dia lemparkan tadi. Kenapa aku cakap sampai ke tua ya? Mata Husna berkelip-kelip buat beberapa saat.

Ehem!

Dia berdehem membetulkan suara. Selangkah diundur ke belakang. Tak boleh nak bernafas jika jaraknya terlalu dekat. Baik dia ambil ruang sedikit.

"Tolong jangan nak perasan. Siapa aje yang nak duduk dengan lelaki miskin macam awak? Semua benda tak dapat.  Baik saya bercinta dengan Mr.Blue saya yang ada dekat Ocean Resort sana, dia ada semuanya. Kereta, rumah, dan makanan yang sedap-sedap."

Lanun kembali tegakkan tubuh.  Sekali lagi bibirnya menyenget. Akan tetapi kali ini lebih sinis.

"Heh, kau yakin ke dia Mr.Blue yang kau tunggu selama ni?"

MR PIRATEWhere stories live. Discover now