"Buka helmet dulu. Tak baca ke larangan bawa masuk helmet dekat depan pintu tadi?" Soal Mia, geram. Tak suka betul dengan orang tak faham bahasa ni.

"Dah lambat. Card, please." Balasnya acuh tak acuh. Kepala berpaling ke lain. Tangan tetap dihulur menanti kad.

"Maaf. Tapi hanya orang yang dah buat temu janji aje boleh dapatkan kad untuk masuk ke dalam. Kalau Tan Sri Raqib ada pesan makanan, sila letak dekat kaunter. Sekejap lagi saya suruh pekerja hantarkan."

"Aku bukan penghantar makanan. Aku kena jumpa Tan Sri Raqib. Dia cakap, kalau dah sampai terus minta kad. Jadi bagi aku kad." Ulangnya.

"Seriously?" Mia buat muka tak percaya. Sesekali anak matanya bergerak turun dan naik. Memerhati pakaian lelaki itu dari atas hingga ke bawah. Hanya pakai T shirt berwarna putih yang dikenakan bersama jacket kulit berwarna coklat, berseluar jeans. Mukanya pula tak jelas kerana ditutupi dengan kaca helmet berwarna hitam. Namun, keseluruhan pemakaiannya nampak biasa.

Tak mungkin Tan Sri Raqib ada temu janji dengan orang seperti ini.

"Takkan Tan Sri Raqib ada temu janji dengan mamat delivery?" Soal Mia. Pandangannya nampak sinis.

"Kenapa kau ni banyak sangat bunyi? Kau bagi sahaja aku kad, Tan Sri kenal aku!" Suara lelaki itu mula meninggi. Geram mungkin kerana Mia masih lagi berdegil tidak memberinya kad untuk masuk ke dalam.

"Tak boleh masuk kalau..."

"Raf?"  Tegur suara Tan Sri Raqib, langsung mengalihkan pandangan Mia ke arahnya. Lelaki bermata biru tadi turut mengekor dari belakang. Pasti mereka hendak ke cafe. Namun, langkah mereka berubah ke arah kaunter yang diduduki Mia.

Buat seketika Tan Sri Raqib memandang ke lelaki memakai helmet itu. Walaupun wajahnya tidak jelas, tetapi dia kenal pemakaian itu.

"Tan Sri kenal ke lelaki ni?" Soal Mia, mulai curiga.

Dan kemudian Tan Sri Raqib mengangguk kepala. Terus jatuh rahang Mia melihatnya. Alamak, dia dah salah pandang orang ke?

"Tentulah. Anak saya, takkan saya tak kenal?" Pengakuan Tan Sri Raqib makin membuatkan hati Mia rasa tercucuk. Semerta teringatkan kembali panggilan yang baru sahaja digelar kepada lelaki itu tadi. Mamat delivery? Memang memalukan sungguh.

Harap-harap lelaki itu tidak mengadu tentang hal tadi kepada Tan Sri Raqib. Kalau tidak, pasti dia bakal dibuang kerja. Paling kurang pun, diturunkan pangkat.

"Oh, anak rupanya..." Mia tersengih kekok. Kepala menunduk ke bawah. Menahan rasa malu. Patutlah kurang ajar semacam tadi.

"Bila kamu sampai, Raf?"  Soal Tan Sri Raqib, memandang lelaki memakai helmet itu.

"Baru aje. Tadi ada orang accident dekat jalan, jadi Raf tolong sekejap. Itu yang lama sedikit." Ujarnya.

Kepala Tan Sri Raqib mengangguk tanda faham. Sejenak dia menunduk melihat jam mahal dipergelangan tangannya. Alang-alang sudah turun ke tingkat lobi, ada baiknya mereka meneruskan niat ke cafe. Lagipun, waktu makan tengahari dah hampir tiba.

"Oh, kalau macam tu takpalah. Jom kita ke cafe. Bincang dekat sana." Kata Tan Sri Raqib.

Mereka berdua mengangguk setuju.  Tanpa banyak bicara, mereka pun mengekor langkah orang tua itu dari belakang. Sempat Nathan mengerling ke arah Mia yang masih berdiri, bibir langsung menguntum senyuman ketika pandangan mereka bertemu.

Oh, hati tiba-tiba rasa dipanah cinta bertubi-tubi. Lemah lutut tatkala melihat senyuman indah yang terukir dibibir lelaki itu. Terus Mia membawa kedua-dua belah tangannya menyentuh dada. Merasakan debaran.

MR PIRATEWhere stories live. Discover now