MK 34

919 80 12
                                    


PINTU diketuk sebelum kaki Nuh melangkah masuk ke kamar tidur Kasih. Suasana yang sunyi mengundang rasa hairan Nuh. Bilik itu juga gelap gelita. Bagaikan tiada penghuni. Sedikitpun cahaya tidak menembusi ke dalam kamar itu. Lantas, suis lampu ditekan.

“Kasih?” Matanya melorot ke arah katil. Kosong. Kasih tidak kelihatan di mana-mana.

“Awak kat mana, Kasih?” Langkah mendekati kamar mandi pula. Sekadar mencuba nasib. Namun, tiada sebarang bunyi air yang dia dengar. Kemudian, dia berlalu ke ruangan wardrobe. Tetap juga kosong.

Lalu, di mana Kasih? Malam-malam begini, mustahil Kasih keluar.

Nuh bergegas keluar dari bilik. Dia bertembung dengan Aliyah.

“Ibu, kat mana Kasih?” Sewaktu dia pulang tadi, Mak Inang kata Kasih ada di bilik, tetapi bilik itu kosong.

“Kasih tak ada dalam bilik ke?” Sedikit berkerut muka Aliyah dengar pertanyaan Nuh. Hairan pula.

Nuh menggeleng kepala.

Aliyah senyum nipis, lalu angguk kecil. Serasanya dia tahu di mana Kasih. Nuh saja yang panik tak bertempat.

“Kalau tak ada dalam bilik, mesti ada kat laman belakanglah tu. Cuba Nuh pergi tengok sana. Kasih tak ke mana pun. Ada aje dalam kawasan rumah ni.”

Nuh angguk, lalu bergegas turun. Sempat dia mengucap terima kasih kepada Aliyah.

Aliyah menggeleng. Sayang betul dengan bini dia.

Setibanya di laman belakang rumah, tercungap-cungap Nuh menarik dan hembus nafas. Jantungnya berdegup laju. Perasaannya bercampur baur. Antara risau dan takut.

Nuh menarik nafas lega apabila melihat Kasih yang sedang bersantai di sebuah pondok kayu. Isterinya itu tampak leka.

Sementara Kasih pula sedang merenung langit gelap yang dihiasi bintang-bintang malap. Seketika kemudian, matanya melorot ke bawah, ke jari manisnya.

Cincin pernikahannya bersama dengan Nuh. Kelihatan berkilau cincin itu walaupun dilihat dalam gelap.

Sangat cantik.

Tetapi, tidak secantik perkahwinannya. Dia terpaksa menelan sebuah hakikat itu.

Kenapa dia harus menghadap semua ini?

Kenapa dia sukakan Nuh? Kenapa hatinya terpaut pada Nuh?

Tanpa sedar air matanya tumpah. Namun, air mata itu hilang tatkala sesuatu yang lembut hinggap di pipinya. Kasih tersentak. Disangka dia hanya seorang diri.

“Kenapa menangis?” Lembut suara itu bertanya. Penuh rasa kepedulian.

Kasih dongak, menatap Nuh yang berwajah redup. Terasa hangat dia sentuhan jari daripada Nuh.

Melihat Nuh tersenyum nipis buatkan air matanya semakin jatuh sehingga kabur pandangannya.

“Awak akan senyum macam ni ke selepas semua ni terjadi?” Tak semena-mena soalan itu terpacul daripada mulut Kasih. Bibirnya diketap. Air mata disapu, biar penglihatanya kembali jelas.

Nuh berkerut dahi. “Apa maksud awak? Senyum macam mana?”

“Hah?”Kasih tersedar dia sudah terlepas kata. Liurnya diteguk.

“Apa maksud soalan awak tadi, Kasih?” Nuh sudah memberi fokus pada Kasih. Rasa seperti ada sesuatu yang disembunyikan Kasih.

Kasih menggigit bibir. Dia bukan bertanya dalam hati ke? Adakah Nuh mendengar dengan jelas soalannya tadi?

Kasih menggeleng.

“Abaikan.” Kasih cuba mengawal riak muka. Getar hatinya cuba ditenangkan semula.

Memori KasihWhere stories live. Discover now