MK - 8

675 72 7
                                    


CEBIKAN tak lekang dari bibirnya. Bantal yang sentiasa menjadi alas kepalanya beralih ke dalam pelukannya pula. Kasih mencarik-carik hujung sarung bantal itu bagi melepaskan geram.

“Rosak bantal tu nanti.”

Suara Aliyah yang menegur langsung tidak mengubah riak wajah Kasih. Wajahnya tetap cemberut seperti tak puas hati.

Aliyah tersenyum kecil seraya menggelengkan kepala. Dia faham kenapa Kasih bertingkah sebegitu.

“Kenapa dengan Kasih tu?” Syed Tajuddin berbisik di telinga isterinya yang sedang mengemas pakaian Kasih.

“Bila terpaksa berjauhan dengan orang yang kita sayang mesti kita akan sedih kan, Syed?” Aliyah berkias. Zip beg pakaian Kasih ditarik tutup. Matanya redup merenung Syed Tajuddin di sebelah dengan senyuman kecil.

Syed Tajuddin berkerut, tidak faham. Kasih dan isterinya dipandang silih ganti. Sesaat riak wajah Kasih diteliti. Riak seperti tidak sanggup melepaskan sesuatu. Riak yang sama dia gunakan tatkala dia terpaksa berjauhan dengan Amylia kerana faktor kerja pada suatu ketika dahulu.

Wajah Aliyah kembali direnung.

“Awak nak cakap Kasih tengah sukakan seseorang?”

Aliyah mengukir satu senyuman penuh bangga. Cekap saja Syed Tajuddin menangkap maksud disebalik ayatnya tadi.

“Dr. Nuh Izzuddin mungkin akan jadi bakal menantu awak.” Tergelak kecil tatkala dia teringat semula cerita Kasih tentang luahan gadis itu kepada Nuh kelmarin. Akibatnya, sehingga sekarang doktor lelaki itu sedaya upaya mengelakkan diri daripada Kasih. Comel pula rasanya melihat gelagat Nuh. Macam takutkan Kasih saja.

Syed Tajuddin tergamam. Bagai tidak dapat mencerna apa yang isterinya cuba sampaikan. Belum sempat dia ingin bertanya lebih lanjut, Aliyah sudah berada di sisi Kasih.

“Jom kita balik, Kasih.” Bantal dalam pelukan Kasih ditarik perlahan.

Kasih menggeleng tidak mahu. Pelukannya semakin dieratkan.

“Kasih... Kasih tak boleh duduk sini dah. Doktor kata Kasih dah sihat. Kita balik, ya?” Pujuk Aliyah dengan lemah lembut.

Kasih mengalihkan pandangan ke arah Aliyah. Bibirnya tersebik-sebik menahan sedih.

“Kasih nak jumpa jodoh Kasih,” pintanya pada Aliyah. Wajah simpati ditayangkan. Berharap Aliyah akan tunaikan permintaannya.

Aliyah mengukir senyuman lembut pada anaknya. Rambut ikal mayang Kasih diusap dengan perlahan.

“Doktor Nuh mesti sibuk. Kita tak boleh ganggu dia.” pujuk Aliyah lagi.

Kasih menunduk. Dia rindukan Nuh. Semalam pun Nuh tak datang jumpa dia. Kata Aliyah, Nuh ada datang memeriksa keadaannya, tetapi ketika dia tidur saja. Jelas betul Nuh ingin mengelakkan diri daripada dia.

“Kalau Kasih tak jumpa Nuh, Kasih tak nak balik...!” Aliyah kembali direnung. Terpanar melihat mata Kasih yang mulai berkaca. Syed Tajuddin yang berada di hujung katil dipandang, minta pendapat.

Apabila mendapat anggukan si suami, Aliyah tersenyum lega.

“Baiklah. Kita jumpa Dr. Nuh,” putus Aliyah.

Terus membuatkan Kasih mengangkat kepalanya.

“Betul ke, ibu?” Membulat matanya merenung si ibu.

Aliyah mengangguk.

“Yess!” Tidak semena-mena tubuh Aliyah ditarik ke dalam pelukan Kasih. Bantal tadi pula sudah dicampak entah ke mana.

Aliyah terpegun. Syed Tajuddin dipandang dengan renungan tidak percaya. Air matanya turut bergenang di sekitar kelopak mata.

Memori KasihDonde viven las historias. Descúbrelo ahora