MK 25

859 73 13
                                    

“KASIH, ni bekal untuk Nuh mama letak sini ya. Jangan lupa ambil,” pesan Puan Fatimah setelah menyediakan makanan bekal untuk anaknya.

“Okey, mama.” Kasih tersenyum lebar.

Sebaik saja tugas di dapur selesai, Kasih bergegas naik ke atas untuk bersiap. Tak sabar mahu menghantar makanan yang diinginkan Nuh.

Setelah Kasih bersiap, dia terus pamitan. Puan Fatimah hanya menggeleng kepala melihat tingkah teruja Kasih. Menantunya selalu bersemangat jika berkaitan dengan anak lelaki sulungnya. Terselit rasa bertuah kerana bermenantukan Kasih yang begitu ikhlas menyayangi anaknya.

Turun dari kereta grab, Kasih berjalan masuk ke ruang legar hospital. Sesekali matanya meliar mencari kelibat Nuh. Memang taklah dia akan terjumpa jikalau hanya meninjau begitu. Lantas telefon pintarnya dikeluarkan. Nombor telefon Nuh pantas didail. Seketika dia menunggu panggilannya dijawab.

“Mana Nuh ni? Busy ke? Tulah Kasih. Nak datang tak bagitahu dulu. Kan Nuh dah sibuk.” Kasih mengomel sendiri.

“Tak apalah, tunggu kejap lagi.” Kasih menyabarkan hati pula. Pesanan ringkas ditaip dan dihantar.

Sambil menunggu pesanannya dibalas, Kasih berlabuh di kerusi untuk seketika. Tidak sampai lima minit nada deringnya berbunyi. Pantas Kasih menjawabnya. Tersenyum lebar bibir Kasih tatkala melihat nama pemanggil ‘My Albi’ yang menghiasi skrin telefon pintarnya.

“Nuh, saya kat hospital ni. Awak kat tingkat berapa?” Terus Kasih bertanya teruja.

Perlahan Nuh mengeluh. “Saya kat tingkat lima. Saya sibuk ni.”

“Tak apa kalau awak sibuk. Saya datang nak hantar barang aje. Saya letak kat bilik awak ya,” maklum Kasih bingkas bangun.

“Barang apa? Kalau tak penting bawa balik ajelah. Balik nanti saya tengok.” Nuh mendengus kecil. Benda begitu pun Kasih nak hantar sampai ke hospital. Macam tak ada hari lain.

“Barang penting. Saya takkan ganggu kerja awak. Saya letak atas meja awak aje atau kirimkan kepada sesiapa. Lepas tu saya terus balik.” Kasih mulai mengorak langkah menuju ke lif dan menekan butang di situ.

“Hmm...” Sejurus itu, panggilan terus dimatikan.

Kasih hanya tersenyum. Sambil menunggu lif, jam di pergelangan dilihat. Sudah hampir masuk waktu tengahari. Lalu, mangkuk tingkat yang dipegangnya turut dipandang.

“Mesti Nuh suka ni.”

Ting!

Pintu lif terbuka. Kasih memberi laluan kepada pengguna lif itu melangkah keluar terlebih dahulu sebelum dia melangkah masuk. Namun, baru setapak dia melangkah, rempuhan kuat daripada belakang bahunya membuatkan mangkuk tingkat yang dibawa Kasih jatuh dan terbuka ke atas lantai.

“Allah! Makanan Nuh.” Kaget Kasih. Pantas dia mengangkat mangkuk tingkat itu dan mengutip semula seketul ikan yang sudah terkeluar dari bekas makanan.

Sorry, awak. Saya tak sengaja. Saya nak cepat,” Suara lembut yang turut mengangkat bekas nasi menyapa halwa telinga Kasih.

Kasih mengangkat muka. Terkejut melihat Arissa yang melanggarnya.

“Tahulah awak nak cepat, tapi tengoklah orang juga. Orang lain baru keluar lif. Lif tu boleh ditahan. Habis makanan saya tumpah. Ni makanan untuk Nuh.” Kasih menegur secara berhemah. Hendak dimarah, Arissa kata dia tak sengaja.

Wajah Arissa terus tergambar riak bersalah. Tumpahan kuah terus dilap dengan tisu.

“Saya betul-betul tak sengaja. Tak apa, saya gantikan yang baru.”

Memori KasihWhere stories live. Discover now