MK 27

876 78 20
                                    

TERKUAK saja daun pintu, Nuh pegun seketika. Keadaan bilik itu gelap. Tak semena-mena Nuh diterpa rasa hairan. Tak buka lampu ke Kasih? Takkan duduk dalam gelap?

Lantas, suis lampu di dinding ditekan. Serta-merta keadaan bilik itu disimbahi cahaya terang. Namun, langkah Nuh tetap tidak berganjak. Matanya turut meliar segenap penjuru bilik itu. Ada sesuatu yang buat dia rasa aneh. Kasih.

Ya, Kasih tiada!

Tanpa lengah lagi, laju kakinya melangkah ke pintu kamar mandi. Daun pintu dikuak. Liur diteguk apabila melihat lantai kamar mandi itu kering. Ke mana pula isterinya itu sudah pergi? Dah pulang ke rumah mereka ke?

Tanpa membuang masa, dia terus berlalu keluar bilik. Mamanya terus dicari. Sempat jam di dinding dikerlingnya. Sudah pukul 7.35 malam.

“Mama. Mama.” Nuh terus ke bilik Puan Fatimah. Pintu bilik itu terus diketuk bertalu-talu. Detak jantungnya tak lagi tenang.

“Mama...” Nuh makin kalut.

“Ada apa ni?” tanya Puan Fatimah yang sudah bersiap hendak menunai solat maghrib. Hairan diketuk pintu sebegitu kuat.

“Kasih mana, ma? Kasih tak ada dalam bilik.” Gemuruh Nuh bertanya.

“Eh, Kasih belum balik ke? Kasih cakap dia nak keluar sekejap aje siang tadi. Mama tak perasan pula sebab lepas Kasih keluar, mama pun keluar dengan papa kamu. Takkan tak balik lagi? Dah maghrib ni.” Perasaan Puan Fatimah serta-merta rasa tidak enak.

“Kasih tak ada dalam bilik, mama.” Nuh terus menyebak rambutnya. Telefon pintarnya terus dikeluarkan. Nombor Kasih terus dihubungi. Namun, tidak berjawab.

“Dapat?” tanya Puan Fatimah apabila Nuh sudah mencuba kali kedua.

“Tak.” Nuh geleng kepala. Masuk kali ketiga panggilannya tidak dijawab, Nuh bergegas ke pintu. Dia kena cari Kasih.

Belum sempat tangannya memulas tombol, daun pintu itu sudah dikuak dari luar. Terpegun Kasih dibuatnya apabila melihat Nuh berdiri tegak di hadapannya dengan renungan tajam dan wajah tegang.

“Awak pergi mana? Tahu tak sekarang ni dah pukul berapa? Dah maghrib tahu tak! Saya call awak tiga kali. Kenapa tak angkat call? Tak reti ke?!” Amarah Nuh tiba-tiba meletus tanpa dapat ditahan lagi.

Melihat muka Kasih yang langsung tidak kelihatan bersalah buatkan dia rasa sakit hati. Kenapa Kasih begitu selamba sedangkan dia sudah seperti cacing kepanasan?

Kasih yang baru hendak menegur Nuh terus terbantut. Terkejut tiba-tiba dimarahi di depan pintu. Tak sempat lagi pintu itu ditutup, Nuh sudah menaikkan suara. Tersentap hatinya. Tak diduga langsung ini yang akan berlaku.

“Nuh.” Puan Fatimah pantas menegur. Cepat-cepat dia mendekati anak menantunya itu.

Sementelah Nuh masih lagi merenung Kasih dengan renungan tak berkelip. Mahu mendengar apa pula alasan Kasih kali ini.

“Kenapa tak jawab?” Nuh mengetap rahang kuat-kuat. Geram Kasih tidak mejawab pertanyaannya.

“Ya Allah! Kalau ya pun, masuklah dalam dulu. Dah kenapa dengan kamu ni, Nuh? Tahu tak sekarang ni waktu maghrib.” Sekali lagi Puan Fatimah menegur tegas. Bahu bidang Nuh ditampar bagi menyedarkan anaknya itu dari terus naik hantu.

“Mari naik!” Lengan Kasih dilelar dan ditarik mengikutinya.

“Astaghfirullahalazim.” Puan Fatimah hanya mampu menggeleng kepala. Daun pintu terus ditutup.

Masuk saja ke dalam bilik, Nuh terus mencekak pinggang sambil berhadapan dengan Kasih. Kasih pula hanya mampu menunduk. Dia tahu salahnya. Tapi, perlukah Nuh memarahinya sebegini rupa?

Memori KasihWhere stories live. Discover now