MK 18

540 56 6
                                    


“MACAM mana tadi?” tanya Puan Fatimah kepada Nuh yang baru saja melangkah masuk ke dalam rumah.

“Macam mana apa, ma? Nuh baru aje balik.” Nuh melabuhkan duduk di sebelah mamanya.

“Kamu dengan Kasih lah. Dah kenal-kenal ke belum?” tanya Puan Fatimah lagi.

“Oh, biasa aje.” Pendek jawapan yang diberi Nuh.

“Biasa aje? Tak ada momen yang sweet ke?” Hairan Puan Fatimah. Anaknya ini sedang menipu ke apa?

“Nak momen apa lagi, ma... kalau Nuh tinggalkan Kasih...” Nuh jeda sesaat. Mulutnya diketap erat. Beribu makian dihambur pada diri sendiri.

“Apa? Nuh tinggalkan Kasih? Nuh beritahu mama sekarang apa Nuh dah buat pada menantu mama tu!” Puan Fatimah berubah riak. Telinga sempat menangkap bicara anaknya tadi. Tegarnya anaknya ini memperlakukan seorang wanita seperti Kasih begitu.

“Menantu? Ma, dia bukan...”

“Dia menantu mama. Sekarang ni Nuh jujur dengan mama. Apa yang Nuh dah buat dengan Kasih?” pintas Puan Fatimah dengan tegas.

“Ma...” Nuh ingin membela diri, namun suaranya tersekat apabila sedar renungan tajam daripada mamanya itu.

“Ma, Nuh tak salah pun. Kasih yang...” Melihat renungan tajam mamanya tidak berubah, dia menghela nafas.

“Fine. Memang Nuh tinggalkan dia.” Serba salah suaranya berbicara.

“Sebab apa?” Keras nada suara Puan Fatimah bertanya.

“Sebab dia cabar Nuh. Kata Nuh tak layan dia baik-baiklah, itulah, inilah. Nuh marah, jadi Nuh tinggalkan dia kat restoran tu. Tapi, kira baiklah kan, Nuh tinggalkan dia dekat restoran daripada di tepi jalan.”

“Nuh Izzuddin!” Kemarahan Puan Fatimah meledak. Tak sangka dengan ulah yang dibuat Nuh.

“Tak baik layan perempuan macam tu. Perempuan ni bagaikan permata. Perlu dijaga walaupun mulutnya lancang bersuara. Nuh tak risau ke kalau ada apa-apa jadi pada Kasih seorang diri di luar sana tu?”

“Ma, dalam restoran tu ada berpuluh orang. Nak risau apanya?” Selamba Nuh membalas.

Puan Fatimah picit dahi. Naik pening dengan sikap sombong anaknya ini. Orang dah suka, ditolaknya pula. Tak faham betul.

“Dalam hal ni Nuh tetap salah. Tak patut Nuh buat Kasih macam tu.”

“Nuh ni anak mama. Kenapa Nuh pula yang salah?” balas Nuh tak puas hati.

“Anak ke, bukan anak ke sama aje. Mama pantang kalau ada lelaki yang tak pandai jaga perasaan seorang perempuan ni,” bidas Puan Fatimah.

Nuh tidak menjawab. Mengalah seperti seorang lelaki sejati. Dihadamkan sepenuhnya ungkapan ‘Wanita selalunya betul dan sentiasa mahu menang ’ itu.

“Disebabkan Nuh tak ikut arahan mama. Nuh kena kahwin juga dengan Kasih.”

Rahangnya jatuh mendengar bicara mamanya. Kahwin? Dengan Kasih?

“Apa ni, ma? Mama suruh Nuh keluar dengan Kasih, Nuh dah buat. Sekarang kenapa kena kahwin pula?”

“Aip, no, no, no! Tak ingat mama kata apa hari tu? Keluar dan kenal-kenal dengan Kasih. Tapi Nuh buat apa? Keluar dan tinggalkan Kasih. Tu mengikut arahan atau melanggar arahan?”

“Mama...” Nuh masih tergamam.

“Tiada bantahan dan peluang kedua. Dengar cakap mama dan semuanya selesai,” putus Puan Fatimah.

“Okey, kalau mama teringin sangat nak tengok Nuh kahwin, boleh aje kahwinkan Nuh dengan Arissa. Lagi-lagi kami kawan dah lama. Mama pun kenal Arissa kan. Yang pasti Nuh takkan kahwin dengan Kasih,” tentang Nuh habis-habisan.

Memori KasihOù les histoires vivent. Découvrez maintenant