ENCIK JERK- 19

241 53 39
                                    

Adakah mungkin tulang belakangnya sudah retak sehinggakan tiada langsung rasa sakit? Rasa gelisah mula menjamah hati Jasmin. Dia dengan panik segera mencelikkan mata. Seketika dia menyedari sepasang iris berwarna hitam gelap sedang merenungnya dengan renungan yang sukar ditafsirkan.

Selangkah demi langkah menuruni anak tangga. Beberapa tapak dari situ, kelihatan seorang wanita tua sedang sibuk dengan kerjanya di dapur.

Bukan sekali dua ditegah, bahkan hampir berkali-kali mereka melarangnya melakukan sebarang pekerjaan. Bukannya apa, demi kebaikan wanita itu juga. Tapi seperti biasalah, masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tak mahu didengarnya.

Sudahnya, mereka hanya akur sahajalah. Kalau dibantah karang mahu tok mak isytiharkan perang dingin selama seminggu.

"Wanginya bau tok mak," Sapa jejaka itu sambil memeluk wanita tua itu dari arah belakang. Eh, eh. Budak bertuah seorang ini! Suka aje buat dia terkejut.

"Wangi apanya? Badan tok mak bau ikan talapia tahu tak..."

Pemuda itu tertawa kecil.

"Banyaknya tok mak sangai beras. Siapa pula yang tempah ikan pekasam ini?" tanyanya. Pisang tanduk goreng yang masih berasap itu ditiup perlahan-lahan sebelum dibawa masuk ke dalam mulut.

"Tok mak dah lama tak ambil tempahan, semenjak pak su kamu ikut bini baru dia pindah ke Negeri Sembilan. Ini tok mak saja buatkan untuk kawan, teringin nak makan katanya." ujarnya, sambil menyeka peluh di dahi.

"Kawan tok mak yang mana satu?" soalnya. Maklumlah tok mak memang ramai kenalan. Sampai tak terbilang.

"Cik Ina itulah, ingat lagi tak? Kamu dulu selalu datang rumah dia masa kecil-kecil."

Ehsal berfikir sejenak. Cik Ina, oh wanita itu. Kemudiannya dia tersenyum nipis. Tentulah dia masih ingat.

Tangan yang sudah nampak berkedut, cekap menabur beras yang telah siap disanga dan ditumbuk sederhana lumat dengan lesung batu. Kemudian ditabur pula ke atas ikan talapia yang sudah siap dibersihkan ke dalam bekas plastik.

Sudah terbayang-bayang ikan pekasam digoreng bersama cili kering dan juga bawang merah. Nikmat tak terkata.

"Kamu bersiap-siap ini nak ke mana?" Sekonyong-konyong tok mak menyoal kepadanya. Dia menoleh memandang sekilas wajah tua itu.

"Tak keluar pergi mana pun, saja nak bersiar-siar ambil angin dekat luar. Yelah, dah lama tak balik kampung, mana tahu ada jodoh tersempak dengan kawan-kawan lama." cadangnya. Tangan pula sedang ligat menyuci cawan.

Tok mak mendengar sambil terangguk-angguk. Baguslah kalau begitu.

"Alang-alang nak ambil angin, kamu tolong singgah dekat rumah Cik Ina ye? Hantarkan ikan pekasam dekat dia." pinta tok mak. Memandangkan pemuda itu mahu keluar, jadi bolehlah dia minta tolong pemuda itu hantarkan.

Ehsal hanya mengangguk kecil tanpa banyak bicara, tangan memanjang mencapai plastik di atas meja dan melangkah keluar.

Sesampainya di sebuah rumah teres setingkat itu, dia disambut dengan senyuman mesra. Wanita itu sedikit terpegun melihat perubahannya kini.

"Segaknya kamu sekarang, Cik Ina hampir tak cam." puji Cik Ina. Mata tak lepas memandang ke arah Ehsal.

"Terima kasih... saya biasa-biasa aje, Cik Ina. Ha lupa pula, ini ikan pekasam yang tok mak buatkan." ujarnya kemudian menghulurkan beg plastik berisikan ikan pekasam kepada wanita itu. Cik Ina menyambut huluran plastik tersebut dengan senyuman.

Encik Jerk Where stories live. Discover now