36

202 15 0
                                    

 USAI solat Isyak berjemaah di masjid berdekatan, Jefri, Encik Nasir dan Haqeem pergi ke warung yang menjadi tempat lepak mereka selepas solat di masjid. Jefri menyerahkan kunci kereta kepada Encik Nasir. Kereta itu akan diguna pakai oleh Yuhaira dan Encik Nasir. Kereta lama Encik Nasir rosak dan memerlukan kos yang banyak untuk membaikinya. Jadi, Jefri dan Haqeem berpakat membeli kereta baru untuk Encik Nasir dan juga untuk Yuhaira. Lagipun, Yuhaira tengah mengandung. Amat sesuai mereka mengguna kereta baru untuk bergerak ke sana sini termasuk pergi ke klinik nanti.

"Ayah dah lama nak tanya kamu Jefri fasal hal ni." ujar Encik Nasir.

"Fasal apa, ayah?"

"Fasal ibu bapa kandung Haider. Dah empat tahun kamu jaga Haider. Kamu tak pernah terfikir nak tahu siapa ibu bapa kandung Haider?"

Jefri pandang Encik Nasir. "Saya dah anggap Haider tu anak kandung saya. Fasal ibu bapa kandung Haider tu, saya rasa lebih baik tak perlu tahu siapa mereka."

"Tapi bila Haider dah besar nanti, dia akan cari siapa ibu bapa kandungnya. Dia berhak tahu, Jefri."

Jefri melepaskan keluhan. Betul juga tu. Haider pasti nak tahu siapa ibu bapa kandungnya bila sudah dewasa nanti. Jefri rasa, apabila Haider sudah besar sedikit, dia mahu memberitahu hal sebenar kepada Haider. Cuma Jefri risau bagaimana penerimaan Haider nanti bila tahu dia adalah anak angkat. Tetapi Jefri tidak pernah anggap Haider anak angkatnya. Jefri anggap Haider lebih dari itu.

"Ibu bapa kandung Haider dah meninggal dunia, ayah. Saya tak tahu di mana kubur mereka."

"Apa nama orang yang serahkan Haider dekat kamu dulu?"

"Tak silap saya, Linda namanya."

"Kamu tak cari Linda tanya fasal ibu bapa Haider?"

"Tak, ayah."

"Ayah bukan apa. Ayah berfikir ada baiknya kita berterus-terang fasal Haider tu. Jangan kamu merahsiakannya lama-lama dan jangan pula biarkan Haider tahu dia anak angkat dari orang luar. Kasihan dekat anak tu."

"Ya, ayah."

Pagi esoknya, Jefri berjumpa dengan Mak Senah. Tujuannya mahu menyelidik perihal Haider. Mak Senah pula beritahu dia tidak tahu-menahu fasal Haider kerana masa Haider diserahkan kepada Jefri dan arwah Hanna, Linda yang serahkan. Jadi, ada baiknya Jefri menanyakan Linda. Sudahnya, Jefri pergi ke rumah Linda yang berada tidak jauh dari rumah Mak Senah mahu bertanyakan fasal Haider.

Jefri perlu juga tahu mengenai latar belakang Haider dan ibu bapa kandung Haider. Mudah urusannya nanti bila Haider bertanyakan fasal dirinya. Sampai di rumah Linda, Kamal suami Linda menjemputnya masuk ke dalam rumahnya.

"Lama tak berjumpa dengan kamu, Jefri. Semakin berisi." Ujar Kamal. Mereka kali terakhir berhubung ketika majlis tahlil arwah Hanna.

Jefri ketawa kecil. "Semakin bahagia, macam nilah jadinya."

"Dah ada pengantinya ke?" tanya Jefri.

"Ada."

"Siapa?"

"Rahsia."

"Hesy kamu ni. Dengan abang nak berahsia."

"Tunggu masa yang sesuai, saya jemput abang dan akak datang majlisnya."

Linda keluar dari dapur dengan air dan makanan untuk tetamunya. Linda menghidangkannya di atas meja.

"Sebenarnya, saya ada benda nak tanya kak dan abang." Jefri memulakan perbualannya. Mukanya agak serius memandang Linda dan Kamal.

"Ada apa tu, Jefri?" tanya Linda. Dia duduk berhadapan Jefri dan Kamal.

"Fasal Haider."

"Haider tak sihat ke?" tanya Linda. Dah lama dia tidak dengar khabar anak kecil itu.

TUAN JEFRI 2 - YUHAIRAWhere stories live. Discover now