17

270 15 0
                                    

"IBU tahu tak fasal kematian Tengku Zainal, bapa Tengku Lily?" tanya Jefri kepada Puan Naurah. Mereka berdua berada di sebuah kedai makan yang selalu mereka pergi untuk bersarapan pagi. Tengku Jaafar tidak mengikut mereka kerana perlu pergi ke tempat lain. Lagipun Jefri sengaja mengajak Puan Naurah ke sini bagi memberitahu sesuatu yang agak penting kepada ibunya itu. Hanya Puan Naurah sahaja boleh menyimpan rahsia ini. Itu pun setelah dia mendapatkan persetujuan daripada Nek Mah.

Sebut tentang Nek Mah, barulah dia faham kenapa Nek Mah nampak tidak suka dia dengan Yuhaira. Rupa-rupanya ada sesuatu yang terselindung selama ini. Jefri juga tidak menyangka perkara itu berkait rapat dengan keluarganya.

"Siapa yang tak tahu fasal kematian Tengku Zainal tu. Kematiannya pernah menggemparkan Malaysia ketika itu. Seorang ahli perniagaan meninggal dunia akibat ditikam oleh seorang penagih dadah. Masa tu, Tengku Zainal terkenal kerana kekayaan dan perangai playboynya tu. Lagi membuatkan dia terkenal, dia berkahwin dengan Tengku Mona, adik kepada papa kamu yang mempunyai syarikat besar dan seorang kerabat diraja yang ada hubungan dekat dengan sultan." Ujar Puan Naurah. Dia tidak mengenali Tengku Zainal secara rapat kerana semasa dia berkahwin dengan Tengku Jaafar, Tengku Zainal sudah pun meninggal dunia. Dia hanya dengar cerita yang disampaikan oleh Tengku Jaafar dan berita yang dia perolehi dari TV dan surat khabar.

"Cuba ibu teka siapa pembunuh tu?"

"Nak teka macam mana, kan pembunuh tu dah dihukum mati?"

"Tapi pembunuh tu ada hubungan dengan orang yang kita kenal, bu."

"Siapa?"

Jefri melepaskan keluhan. Dia pandang kiri kanan kemudian dia pandang Puan Naurah.

"Yuhaira. Pembunuh tu ada kaitan dengan Yuhaira."

"Kenapa pula ada kaitan dengan Yuhaira?"

"Nama pembunuh tu Salleh bin Abdullah. Nama penuh Yuhaira pula Nur Yuhaira binti Salleh. Kalau ibu perasan, nama bapa Yuhaira sama dengan nama pembunuh tu. Nama tu bukan kebetulan sama, ibu. Yuhaira anak Salleh, orang yang dah membunuh Tengku Zainal, bapa kandung Tengku Lily."

Puan Naurah terkejut besar.

"Macam mana kamu tahu? Betul ke Yuhaira tu anak pembunuh tu?" soal Puan Naurah tidak percaya.

Jefri melepaskan keluhan. Nek Mah yang suruh dia cerita dekat Puan Naurah, jadi dia kena juga cerita supaya apa yang berlaku kelak, Puan Naurah tidak akan memusuhi Yuhaira kerana dalam hal ini, Yuhaira langsung tidak bersalah. Nek Mah mahu dia dan Puan Naurah sama-sama melindungi Yuhaira kerana Nek Mah mengharapkan mereka berdua. Bagi Nek Mah, Jefri dan Puan Naurah adalah orang yang dipercayainya. Jadi, Jefri tidak mahu menghampakan atau mengkhianati kepercayaan Nek Mah.

"Ini yang saya nak cerita dekat ibu. Apa yang saya ceritakan ni, ibu jangan sesekali beritahu dekat papa, Lily dan Tengku Mona. Ini adalah rahsia yang perlu kita simpan. Nek Mah yang minta saya beritahu dekat ibu dan Nek Mah juga yang minta kita berdua rahsiakan dari mereka bertiga itu demi melindungi Yuhaira. Salleh bunuh Tengku Zainal sebab dendam kerana Tengku Zainal menuduh Salleh mencuri duitnya semasa Salleh bekerja sebagai pengawal keselamatan di syarikatnya. Akibat tuduhan itu, Salleh disenarai hitam dari bekerja di mana-mana. Kerana di bawah pengaruh dadah, Salleh membunuh Tengku Zainal. Tetapi yang menjadi masalah sekarang adalah Yuhaira. Papa tahu Salleh ada anak tapi papa tak tahu Yuhaira adalah anak Salleh. Nek Mah tak pernah beritahu tentang Yuhaira dekat papa Yuhaira anak siapa. Mungkin papa ingat Yuhaira anak kepada anak-anak tiri Nek Mah. Cuba ibu bayangkan kalau papa tahu Yuhaira anak Salleh, orang yang dah bunuh adik iparnya. Apa reaksi papa? Saya tak mahu papa membenci Yuhaira. Keadaan akan bertambah teruk kalau Lily dan Tengku Mona pula yang tahu siapa Yuhaira. Masa itu, Yuhaira pasti dihina atau dicaci dengan teruk oleh mereka berdua. Mungkin juga Yuhaira akan dapat balasan di atas perbuatan bapa kandungnya. Sebab itulah Nek Mah minta kita berdua merahsiakan perkara ini dan jangan sesekali memberitahu papa, Lily dan Tengku Mona. Bahaya sentiasa menanti Yuhaira." Jelas Jefri.

TUAN JEFRI 2 - YUHAIRAWhere stories live. Discover now