33

214 13 0
                                    

JEFRI meleraikan tali leher. Dia melipat dan letak di atas meja. Dia menyising kedua-dua lengan baju dan duduk di sofa bersama keluhan penat. Tengku Jaafar meletakkan teh yang dia beli dari Jepun di atas meja. Dia duduk di sofa berhadapan Jefri. Bau wangi teh itu memasuki rongga hidung Jefri. Ia melenyapkan kepenatan dalam tubuh badan Jefri.

"Dah okey?" tanya Tengku Jaafar. Teh khas dari Jepun itu berfungsi melegakan badan terutamanya bila rasa penat yang melampau. Sengaja Tengku Jaafar belikan teh itu kerana dia mahu memberikannya kepada Jefri yang begitu sibuk dengan kerjanya.

"Ini teh yang papa beli di Jepun?"

"Ya. Inilah teh yang papa cakap tu. Nanti papa berikan kamu bila kamu nak balik. Papa nak kamu gunakannya sampai habis. Biar hilang semua kepenatan tu.."

Jefri menghirup teh itu perlahan-lahan. Dia kemudian meletakkan cawan itu di atas meja.

Jefri pandang Tengku Jaafar. "Papa tak sedih?"

"Kenapa?"

"Yalah. Adurah, kan... Dah tak ada." Jefri takut mahu menyebutnya. Takut hati tua Tengku Jefri tidak menahan. Waktu dia memberitahu Tengku Jaafar mengenai kematian Tengku Adurah, orang tua itu terus berdiam diri. Telinga Jefri terdengar tangisan kecil dari Tengku Jaafar. Pasti sukar buat Tengku Jaafar apabila anak perempuan kesayangannya sudah meninggal dunia. Kali ini Tengku Adurah betul-betul sudah meninggal dunia.

Tengku Jaafar senyum tawar. "Kali ini, papa tak rasa apa-apa. Mungkin sebab papa pernah ditipu dengan kematian palsunya."

"Dia anak papa walaupun dia bukan dari darah daging papa. Mesti perasaan sedih itu ada, pa."

"Jefri, apa perasaan kamu bila orang yang kamu saya mengkhianati kamu sehingga menyebabkan semua perasaan kamu pada dia hilang? Bila dah hilang, ia sukar dikembalikan. Itu yang papa rasa. Papa memang sedih tapi papa tak dapat keluarkan air mata papa. Papa tak dapat menunjukkan kesedihan papa. Sebab apa? Sebab dia dah buat jahat pada kita semua. Dia penyebab kematian arwah Hanna dan penyebab kamu menderita selama tiga tahun ini. Papa tak perlu bersedih kerana dia lagi, Jefri. Papa rasa tenang bila semuanya sudah selesai. Kita semua tak perlu hadapi masalah besar lagi. Tak akan ada lagi nyawa yang hilang. Kita semua sudah selamat."

Jefri angguk perlahan mendengarnya. Ya. Nak bersedih, bersedihlah di atas kematian orang yang menyebabkan derita semua ahli keluarganya itu. Namun Jefri sudah boleh menarik nafas lega apabila semua masalah sudah selesai. Cuma masalah dia dengan Yuhaira saja yang belum selesai.

"Fasal Yuhaira pula, macam mana? Nak beritahu ibu?" tanya Tengku Jaafar mengenai menantunya.

"Nampaknya kena beritahu juga tapi fasal Adurah pula macam mana?"

"Kena beritahu juga walaupun kita tahu apa reaksi ibu kamu nanti."

Rahsia demi rahsia disimpan, perlu dibongkar juga akhirnya.

Malam itu, Jefri membawa Yuhaira makan malam bersama Puan Naurah dan Tengku Jaafar. Puan Naurah begitu teruja menerima kehadiran Yuhaira pada malam itu. Wanita itu masih belum tahu tentang status Yuhaira dengan Jefri sehinggalah selesai makan malam, Jefri mengajak mereka semua pergi ke ruang tamu untuk memberitahu semuanya termasuklah tentang Tengku Adurah.

Reaksi Puan Naurah setelah mendengar cerita mengenai Tengku Adurah sudah tentulah wanita itu terkejut besar. Beberapa kali Puan Naurah menggeleng kepala tidak percaya cerita yang disampaikan oleh Jefri. Puan Naurah tahu Tengku Adurah bukanlah perempuan yang baik tetapi dia tidak percaya sampai ke tahap itu Tengku Adurah mampu buat terhadap Jefri dan Yuhaira. Lagi menyedihkan Tengku Adurah yang membunuh arwah Nek Mah kerana cemburu dia terhadap Yuhaira.

"Di mana kuburnya?"

"Tak tahu, ibu. Razlan juga tak tahu di mana Adurah dikebumikan."

Terlepas satu keluhan berat daripada Puan Naurah. Resah dan gelisah bila kubur Tengku Adurah tidak tahu di mana.

TUAN JEFRI 2 - YUHAIRAUnde poveștirile trăiesc. Descoperă acum