35

258 17 1
                                    

JENAZAH Raihana selamat dikebumikan bersebelahan pusara Sharifah Zanariah. Kesemua yang datang beransur pergi. Ruhaila masih duduk sambil pegang batu nisan kubur arwah anaknya itu. Matanya bengkak gara-gara menangis sepanjang malam. Dia tidak dapat menerima hakikat anak perempuannya sudah pergi meninggalkannya. Baru semalam dia bersama dengan Raihana, hari ini mereka terpisah kerana ajal dan maut.

"Mari kita pergi." Ajak Osman mahu pulang ke rumah.

"Abang pergilah. Saya nak duduk sini."

"Sudah-sudahlah menangis. Raihana tak akan hidup semula kalau awak nak meratapi pemergiannya sepanjang masa." Osman bukan tidak suka tetapi yang sudah pergi tidak akan kembali. Dia sama seperti Ruhaila. Masih terkejut dengan pemergian Raihana dalam keadaan yang tidak disangkakan. Namun, Osman sudah reda dan melepaskan Raihana pergi. Cuma Ruhaila saja yang masih belum melepaskan Raihana. Raihana satu-satunya anak merek yang ada. Pemergian Raihana sama seperti meragut jiwa mereka berdua.

"Abang sukalah anak kita dah tak ada? Bolehlah abang duduk bersenang-lenang lepas ni. Masa Raihana ada, abang langsung tak mempedulikannya. Abang buat Raihana macam tak ada ayah." Ruhaila mula menyalahkan Osman. Osman dari dulu tidak pernah menjalankan tanggungjawabnya sebagai bapa kepada Raihana. Semua yang berkaitan Raihana, Ruhaila yang buat dan selesaikan.

"Ila, jangan bangkit hal yang tak sepatutnya."

Ruhaila diam. Dia mencium batu nisan itu. Osman kembali duduk di sebelah Ruhaila. Kedua-dua mereka mendiamkan diri. Ruhaila dengan tangisan yang sudah berhenti tetapi kesedihannya berterusan. Masih tidak mahu melepaskan batu nisan itu.

Jefri dan Yuhaira datang menziarahi. Mereka terima berita pemergian Raihana agak lewat. Yuhaira hampir pengsan apabila mengetahui adik perempuannya meninggal dunia. Mujurlah Jefri ada untuk menguatkan semangat Yuhaira dan membawa Yuhaira ke tanah perkuburan menziarahi pusara Raihana.

"Assalamualaikum." Jefri memberi salam.

Ruhaila dan Osman angkat kepala.

"Waalaikumussalam." Osman bingkas bangun dan bersalaman dengan Jefri.

"Saya baru saja dapat tahu fasal Raihana. Takziah, tuan." Ucap Jefri.

Osman senyum tawar. Osman mengambil tikar yang dilipat lalu memberikan kepada Jefri untuk dibentang. Yuhaira dan Jefri duduk bersebelahan dan membaca surah Yaasin. Usai membaca surah Yaasin, Yuhaira menyiram air ke atas pusara Raihana. Air matanya jatuh dan membasahi pipinya. Ruhaila melihat Yuhaira yang tiba-tiba menangis itu.

Keluar api kebencian Ruhaila terhadap Yuhaira. Ruhaila bangun dan menolak Yuhaira. Mujur Jefri sempat pegang Yuhaira dari terhentak ke tanah.

"Kau gembira anak aku dah mati? Kau suka? Ini yang kau nak, kan? Kau nak anak aku mati sebab kau nak balas dendam terhadap aku!" tuduh Ruhaila mula hilang kawalan diri itu. Dia cuba merentap tudung yang dipakai Yuhaira tetapi tangannya pula direntap kasar oleh Jefri. Jefri bingkas bangun dan melepaskan tangan Ruhaila. Tajam mata Jefri merenung mata merah Ruhaila itu.

"Ruhaila?!" tingkah Osman yang terkejut dengan perbuatan Ruhaila itu.

"Perempuan ni dah lama berdendam dengan saya, bang. Nenek dia cuba memusnahkan hidup saya semenjak kita balik ke Malaysia. Bila nenek dia dah mati, dia pula cuba memusnahkan hidup saya. Dia nak saya mati di tangan dia tapi Raihana yang mati. Sudah tentu dia gembira bila tengok anak saya mati, bang. Dia nak hidupnya bahagia bila tengok saya jatuh tersungkur." Tuduh Ruhaila dengan tuduhan yang tidak berasas. Entah kenapa dia berasa benci betul dengan Yuhaira saat ini. Fikirannya bercelaru dan memikir bukan-bukan tentang Yuhaira.

"Kau jangan melebih-lebih, Ruhaila! Yuhaira tak pernah berniat macam tu! Dia tak pernah cuba memusnahkan hidup kau tapi kau yang cuba memusnahkan hidup kau sendiri. Fasal Raihana, Yuhaira sangat sedih bila dapat tahu Raihana dah meninggal dunia. Kau bayangkanlah, semalam mereka kali pertama bertemu dan semalam juga hari terakhir mereka bertemu. Jadi, tak ada alasan untuk Yuhaira gembira di atas pemergian Raihana. Kau yang suka tuduh bukan-bukan sebab kau dah terlalu benci pada Yuhaira. Agaknya kau nak rahsia terbesar kau terbongkar di depan suami kau? Kau nak aku beritahu apa hubungan kau dengan Yuhaira depan suami kau? Kau nak?" soal Jefri keras dan kasar. Berapi dirinya bila isteri kesayangannya ditolak dan dituduh macam itu.

TUAN JEFRI 2 - YUHAIRAWhere stories live. Discover now