25: Cuba

141 8 0
                                    

Sera duduk bersendirian di pesisiran pantai sambil menunggu kemunculan Farhan yang agak luar biasa lewatnya. Sibuk gamaknya Farhan sehingga terlupa temujanji mereka. Sebelum kemalangannya, adalah rutin buatnya untuk berkunjung ke pantai itu petang Ahad. Tetapi setelah itu dia lebih suka mengajak Farhan bersamanya kerana dia takut bersendirian ketika melalui kawasan tragedinya yang terletak sedikit jauh dari tempatnya sekarang.

Bayu laut yang sejuk memujuk hatinya yang sebal setiap kali teringatkan kejadian pada malam dia mengetahui agenda di sebalik majlis makan malam tempoh hari. Perit mengetahui Rosa bukan kakak kandungnya tidak dapat melawan peritnya dikhianati. "Sampai hati kau buat aku macam tu Rosa. Kalau kau beritahu aku, aku takkan balik ke rumah malam tu. Tapi kau lebih sanggup bersekongkol dengan raksasa berdua tu dan tembak aku dari belakang," keluhnya.

Kakinya yang mula kebas diunjurkan ke hadapan. Pasir yang menyisip di celah jemari kakinya sama seperti masalah yang mula menyisip dalam hidupnya. Wajah Hadi menerpa benaknya. Siapa sangka lelaki itu bakal menjadi imamnya. "Hadi ... kita dah tak ada pilihan kan? Kau jadi suami aku, aku jadi isteri kau. Perfect!" Seram apabila menyedari realitinya dia akan menjadi isteri Hadi tidak lama lagi. Mampukah perasaan cinta lahir buat seorang jejaka yang bernama Hadi Akmal Lee? Soalan itu tergantung sepi tanpa jawapan.

"Walaupun tak indah, aku kena terima hidup aku ni." Dia masih cuba untuk memahami situasi dirinya. Perlahan-lahan dia berdiri. Setiap pergerakan membuatkan sendinya terasa seperti terbakar. Setiap kali dibelasah Datin Anita, tubuhnya bakal menderita buat masa yang lama.

Dia tertawa sinis. "Mama dan papa konon. Selama ni aku ditipu hidup-hidup dan akhirnya selamat diperbodohkan untuk kahwin dengan Hadi. Entah dekat manalah aku letak kepala otak aku ni." Jaketnya diletakkan ke atas batu di sisinya sebelum dia menapak ke gigi air laut. Gemersik kocakan air laut menghempas batu-batuan di tepi pantai memecah bening pantai yang kurang dikunjungi itu. Kali ini biarlah dia berhadapan dengan trauma yang berlaku akibat kemalangan yang menimpa dirinya dahulu. Telapak kakinya menyentuh air laut yang segan menerpa pasir.

Dia tersenyum tatkala kaki menyentuh air laut. Walaupun dingin, dia tetap melangkah ke hadapan. Kepala didongak untuk merasa hangat mentari yang jingga dan menyilaukan. Ini adalah kali pertama dia mendekati ciptaan ALLAH yang bergelar laut dengan rela hati. Air laut kini mencecah ke paras lututnya. Rasa gentarnya tidak lagi seperti dulu. Dalam hati, dia tidak berhenti memuji keindahan ciptaan ALLAH. Tangannya mula mengocak air laut yang kini sedikit keemasan dek pantulan mentari.

"Patut ke aku cuba berenang sekarang?" Air laut kelihatan begitu mengujakan. Mungkin aku patut cuba. Lantas dia merendahkan tubuh ke dalam air. Dia cuba mengaplikasikan teori berenang yang pernah Farhan ajarkan kepadanya sebelum ini. Perasaan takut masih ada tetapi dia nekad ingin mengatasinya. Untuk beberapa saat, dia berasa selesa sekadar merendamkan dirinya dalam air.

Ombak kecil yang tiba-tiba memukul menyebabkannya jadi kalut. Ruang pandangannya tiba-tiba menjadi kelam dan dirinya terasa seperti dihimpit. Panik mula menguasainya. Imejnya yang hampir ditelan laut lima bulan yang lalu menerpa pandangannya. Air masin yang mula memasuki rongga hidung dan mulut menyebabkannya mula meracau tidak tentu hala. Apabila menyedari dia keseorangan di situ, dia bertambah panik. Dia sudah tidak tahu dia berada di mana.

Dari kejauhan, dia terdengar seseorang menjerit namanya. Dia tidak mampu memberi apa-apa reaksi dan hanya mampu terkapai-kapai. Apabila tubuhnya digapai seseorang barulah dia tersedar dari terus dipermainkan oleh imaginasinya sendiri. Wajah risau Farhan memenuhi pandangan matanya. Perasaan lega mula menyusup perlahan-lahan ke dalam hatinya. Tanpa banyak bicara, Farhan mencempung tubuh longlainya ke pantai.

"Kenapa Sera bodoh sangat ni?" gumam Farhan ketika melepaskan cempungannya.

Sera menginjakkan kakinya ke atas pasir lalu membatukkan air masin. Sesekali hidungnya dihembuskan. Farhan yang mencekak pinggang berdiri membelakanginya. "Terima kasih, abang. Kalau abang tak ada tadi ..."

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now