19: Tembung

445 38 0
                                        

Sera membiarkan Arsha memandu keretanya tanpa hala tuju. Dia selalu melakukan perkara itu untuk menenangkan fikiran. Serabut fikirannya setelah berdepan dengan mamanya sebentar tadi.

"Kau nak pergi mana?" tanya Datin Anita yang sedang membaca majalah di ruang tamu. Penampilannya kelihatan anggun tetapi wajahnya penuh kepahitan.

"Sera nak balik apartmen," balas Sera yang berada di bawah anak tangga bersama Arsha.

Datin Anita tutup majalah dengan kasar lalu mencerlung ke arah mereka. "Jangan nak berangan! Papa ada hal nak bincang dengan kau malam nanti."

"T-tapi Sera ada hal nak buat malam ni mama." Gagap Sera muncul apabila dia berasa takut. Datin Anita menapak ke arahnya. Dagunya dipegang dan dengan kasarnya digoyangkan ke kiri dan kanan.

"Kau dah pandai cari alasan sekarang ya? Hal apa yang kau nak buat malam-malam? Kau dah jadi apa sejak lari dari rumah?" Datin Anita menolak dagu Sera ke tepi dengan kasar.

"Sera tak buat benda tak elok mama. Sera ada hal sikit nak selesaikan dekat tempat Sera kerja." Sera hanya menikus. Dia perlu berbincang dengan Gina mengenai jadual kerjanya. Setelah identitinya terdedah, pasti sukar baginya untuk bergerak bebas seperti dahulu. Paparazi mungkin sudah mula menyibukkan diri untuk mengganggu privasi dirinya.

"Benda kecil aje tu. Lain hari boleh urus." Datin Anita berjalan semula ke sofa apabila deringan telefon kedengaran dari dalam beg tangannya.

"Tak boleh ke Sera jumpa papa sekarang?" Sera memintal hujung baju.

"Papa tu sibuk dengan kerja, tak ada masa macam kau yang kerjanya tahu merayau ke sana-sini aje. Dah-dah, aku pun sibuk ni." Datin Anita menghalaunya dengan isyarat tangan. "Kau pergilah keluar dengan bibik kau tu. Tapi pastikan kau ada dekat rumah malam nanti. Nahas kalau kau tak ada." Sera ditinggalkannya terpinga-pinga di ruang legar. Sambil berlenggang-lenggok dia menjawab panggilan telefon, "Ya Puan Sri! Saya on the way dah ni. Nak shopping dekat mana hari ni?"

"Sibuk konon," gumam Sera dengan sebal menyebabkan Arsha yang sedang memandu tergelak kecil seperti dapat mengagak buah fikirkannya. Menyedari mereka hanya membazir minyak dan menambah pencemaran udara, dia menyuruh Arsha mencari restoran yang terdekat. Perut pun sudah berkeroncong.

"Kalau tak silap saya, dekat depan tu ada restoran Chinese Muslim. Cik nak ke makan dekat sana?"

"Mana-mana aje. Asalkan boleh makan."

Bunyi deringan telefon tiba-tiba memenuhi ruang kereta. Arsha melirik ke skrin telefonnya. "Eh, mak telefonlah. Entah-entah dia risaukan saya tak? Saya tak sempat beritahu dia yang saya keluar dengan cik."

"Jawablah dulu. Berhenti aje dekat tepi jalan tu."

Sementara menunggu perbualan dua beranak itu selesai, Sera membuka tingkap kereta dan udara laut menusuk hidungnya. Kelihatan sebuah rumah terpacak beberapa langkah dari kereta. Kerana ingin tahu, dia menapak keluar dan berjalan sehingga berhadapan dengan rumah yang memiliki seni bina klasik itu. Bunga ros menjalar di sepanjang pagar rumah. Sekuntum bunga ros dicapai lalu dihidu perlahan. Dia tersenyum suka lalu melilau di sekitar rumah sebelum anak matanya terhenti pada papan kecil bertulis For Sale yang tergantung di atas pagar. Matanya terbuntang.

"Kau buat apa dekat sini? Nak mengintip rumah orang eh?" Satu suara lelaki menyapanya tiba-tiba.

Sera berpaling ke arah suara itu. "Kau pula buat apa dekat sini?" Dia menyoal kembali kepada Hadi yang berjalan ke arahnya. Bibirnya mencebik tidak suka.

Cik Serai Halia | Wattys2017Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang