5: Berita

1.4K 75 2

Dengan langkah longlai, Sera memasuki apartmennya. Suis lampu diketik dan ruang tamu diterangi cahaya kejinggaan. Beginilah rutin hariannya. Selesai kuliah, dia akan bekerja sambilan di Little Jasper. Dengan kesibukan kuliah di tahun akhir, duit poket untuk belanja kuliah pasti tidak akan mencukupi kerana dia tidak punya banyak masa lapang untuk bekerja. Elaun bulanan yang diberikan Rosa secara rahsia tanpa pengetahuan orang tua mereka juga tidaklah sebanyak mana. Hanya mampu menampung sewa dan utiliti apartmen. Bakinya digunakan untuk kos petrol. Kalau tidak cukup, simpanan gajinya jadi penyelamat. Untuk mengisi perut pula, dia hanya bergantung dengan makanan percuma di Little Jasper. Jimat.

Tubuhnya dihempukkan ke atas sofa. Pandangan kosong dihalakan ke siling. Hari ini terasa begitu panjang. Bermula dengan kunjungan Rosa sehinggalah kehadiran Hadi dalam hidupnya. Lantas dia ketawa mentah. Selama ini dia berjaya mengelak dari menjadi tumpuan ramai. Tetapi hari ini nampaknya dia gagal. Kalau dia tahu, dia akan berhati-hati ketika memandu pagi tadi. Hadi dan gengnya pasti tidak akan terkena air lopak. Dan dia akan kekal sebagai halimunan. Tetapi siapalah dia hendak menyalahkan takdir?

"Mampus aku kali ni."

Aplikasi Twitter yang jarang dijenguknya dibuka. Dia bukan jenis hantu media sosial. Dia boleh hidup tanpa benda alah itu. Sudah namanya menyorok, buat apa dia menayangkan dirinya pula? Akaun Twitter itu pun terhasil atas paksaan Farhan dan Azam. Kata mereka, dia tidak punya kehidupan. Matanya membaca beberapa tweet dari Hadi dan gengnya yang kini telah tular. Ayat-ayat makian yang disertakan nama 'Seraliyah'. Dia yang jenis anti-sosial manalah tahu Hadi dan geng monyetnya itu adalah pranksters terkenal di kampus.

"Tahniah Sera," gumamnya lalu berdecap beberapa kali. Kini pelajar kampus mula mencari tahu tentang dirinya. Pasti sesiapa yang pernah sekelas dengannya akan menawarkan diri untuk menjadi sumber gosip. Telefon disimpan dan alat kawalan jauh TV dicapai. Dia jarang menonton TV kerana ingin berjimat. Tetapi hari ini dia terdetik hendak menonton TV.

Wajah Rosa dan Ben terpampang sebaik siaran berhubung. Dia tidak pernah mengambil tahu apa-apa tentang ahli keluarganya walaupun mereka sering menjadi tumpuan. Baginya, apa yang telah ditinggalkan akan kekal menjadi sejarah. Dia kini memiliki kehidupan baru. Walaupun serba kekurangan, hidupnya lebih indah sekarang.

"Rosalinda Noor Alroze ditemani suaminya Benjamin George ditemui ketika menghadirkan diri di mahkamah ..."

"Bla bla bla ...," gumam Sera sambil membuka kemejanya yang lembap. Dia malas hendak mengambil tahu kes mahkamah yang sering dihadapi Alroze Empire. Kata Rosa, ramai pesaing di luar sana yang cuba mensabotajkan perniagaan mereka. Dia kisah juga sebenarnya dengan empayar perniagaan keluarganya. Hasil titik peluh nenek moyangnya tetap perlu dijaga sebaiknya. Tetapi dia bukanlah sesiapa dalam Alroze Empire. Tidak bermakna dan tidak diperlukan. Alat kawalan jauh dicapai dan saluran berita dipindahkan ke saluran hiburan.

"... sebuah majlis tertutup bakal diadakan di rumah agam Alroze Empire malam esok."

Anak mata Sera fokus pada skrin televisyen apabila mendengar berita itu.

"Perkara ini disahkan sendiri oleh pewaris tunggal Alroze Empire iaitu Rosalinda ketika ditemu bual pagi tadi di perkarangan mahkamah bersama suaminya, Benjamin."

Paparan seterusnya memaparkan Rosa dan Ben yang dikerumuni paparazi. Rosa mengesahkan soalan paparazi dengan anggukan dan kata pendek 'yes'. Ya, dia adalah adik kepada pewaris tunggal Alroze Empire. Tetapi dia hidup di sebalik bayangan kakaknya. Sejak dilahirkan sehinggalah dia melarikan diri dari rumah agam Alroze Empire, tiada seorang pun yang menyangka adik Rosa pernah tinggal di rumah itu.

Apa yang dijaja oleh ibubapa mereka sejak bertahun-tahun yang lalu adalah kononnya dia dijaga oleh keluarga mamanya yang menetap di Australia. Hakikatnya, dia disorok dari tatapan umum. Terperangkap dalam rumah agam Alroze Empire. Semakin lama, orang ramai semakin lupa akan kewujudan adik perempuan Rosa. Hanya Rosa yang menjadi tumpuan. Dia tidak berkecil hati kerana dia lebih suka hidup seperti halimunan. Kalau nama Seraliyah Noor Alroze terdedah, dia pasti akan hidup seperti selebriti yang kurang memiliki ruang privasi.

Cik Serai Halia | Wattys2017Where stories live. Discover now