Hadi mendecit lalu berbisik ke telinga ayahnya, "Ayah sanggup ke bermenantukan perempuan tak lurus macam tu? Hadi tak naklah ada bini setengah tiang." Datuk Alex yang masih kelihatan tenang tidak mengendahkan hasutan Hadi, sebaliknya masih fokus dengan agenda utamanya.
Datin Anita berdeham apabila tawa Sera kian reda. "Tak kisahlah Sera setuju ke tak. Mama yakin Hadi mampu jaga Sera. Tak gitu, Alex?"
Sera bertambah bingung. Dia dijodohkan dengan Hadi ke dengan Datuk Alex?
"Ya, saya rasa mereka ni sepadan. Masih ada masa lagi untuk mereka kenal hati budi masing-masing sebelum nikah nanti. Lima bulan dari sekarang kan majlis nikahnya Abdullah?" Datuk Alex kalih ke arah Datuk Abdullah.
Hadi ternganga. Ini majlis aku ke majlis diorang? Tengkuknya segera dipegang. Naik tekanan darahnya mendengar perkhabaran majlis nikahnya sendiri.
"Biar betul papa? Lima bulan tu ..." Sera mula mencongak. "Lima bulan tu ... lima bulan dari sekarang?" Ayatnya meleret tanpa hala tuju. Anak matanya mencari wajah Hadi yang mencerminkan reaksi yang sama.
Datuk Abdullah melepaskan tawa kecil cuba menjernihkan situasi yang keruh. "Apa salahnya Sera kahwin? Ayah rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk kamu bina keluarga sendiri. Sera kan dah nak masuk 25 tahun, Hadi pula dah ... berapa umurnya Alex?"
"Dah 23 tahun," jawab Datuk Alex yang masih tersenyum. Wajah kacak anak lelakinya dipandang bangga. Dapat dilihat ciri-ciri bakal bapa orang di wajah anaknya.
"Hah, sesuailah tu. Tak kisahlah kalau Hadi muda sikit. Apa yang penting papa tengok dia dah boleh pikul tanggungjawab untuk berkeluarga." Selamba papanya bertutur namun cukup untuk memancing kemarahan Sera.
"Apa ni papa? Sera tak nak kahwin! Sera masih mudalah," betah Sera. Pandangan keras dihalakan ke papanya. Inilah yang dijangkakannya ketika Rosa dan Ben datang membawa jemputan. Dipaksa kahwin. Seperti yang dirancang, dia akan melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan sewaktu masih tinggal bersama orang tuanya dulu. Melawan, membantah dan memberontak.
"Siapa kata Sera boleh menolak? Kami dah bersetuju dengan perkahwinan Sera dan Hadi. Jangan banyak membantah. Keputusan papa adalah muktamad," bidas Datuk Abdullah sambil mengetap bibir.
Sera tergelak sinis. Mujur dia berada di khalayak ramai. Kalau tidak, entah sudah berapa banyak habuan diterimanya gara-gara melawan. Lalu dia mengambil kesempatan atas situasi itu. "Sera tak nak berdrama lagi. Papa boleh kata muktamad tapi Sera bukannya perempuan kuno yang akan mengangguk saja bila dipaksa kahwin. Sera bukannya boneka seperti Rosa yang tahu menurut kata mama dan papa saja. Mama dan papa nak pijak-pijak Sera macam dulu? Jangan harap! Langkah mayat Sera dulu," desisnya cukup sinis dengan suara yang bergetar kerana rasa marah dan gentar yang bercampur-baur.
"Tutup mulut kamu, Sera. Berhenti merepek," ujar Datuk Abdullah.
"Sera takkan merepek macam ni kalau papa tak memandai buat keputusan untuk Sera. Papa tahu tak apa yang Sera rasakan bila Sera balik ke sini dan tiba-tiba dapat tahu yang Sera akan nikah lima bulan dari sekarang? Patut ke Sera rasa gembira dengan apa yang mama dan papa buat ni?" Wajah Datin Anita ditenung dengan berani. Biarlah dia dilabel anak derhaka yang tidak tahu syurganya terletak di mana. Bagaimana dia hendak tahu kalau selama ini hanya neraka yang dihidangkan oleh manusia yang bergelar ibubapanya itu?
Datuk Alex dan Datin Helina berpandangan dan cuba memproses apa yang sedang berlaku di hadapan mereka.
Sera berpaling ke arah Hadi yang baru dikenali tetapi sudah meninggalkan banyak birat di hatinya. Siapa dalam sangka sekelip mata saja Hadi bergelar bakal suaminya. Dia tidak ingin mimpi buruk itu menjadi nyata. "Sera tak nak kahwin dengan lelaki tak guna ni. Banyak-banyak lelaki dekat dunia ni, mamat sewel ni juga yang papa pilih." Wajah papanya dikalih semula. "Dah tak ada lelaki lain ke dekat dunia ni?"
ANDA SEDANG MEMBACA
Cik Serai Halia | Wattys2017
Romance" Tiada fairytale kisah cinta kita Yang ada hanya hell " °°°°° Cik Serai Halia ... gadis yang hidup dalam kegelapan dan sering membuat keputusan untuk lari. Lari menjadi mustahil baginya apabila identiti diri sebagai anak bongsu pemilik perniagaan t...
