Story 1: Kisah Lima Sekawan

58 0 0
                                    


Setebalnya tembok yang memisahkan manusia sejagat yang berbeza-beza kaum, sejauhnya perbezaan tradisi dan budaya kaum masing-masing, setiap usaha dan inisiatif yang diambil, tidak kira sekecil manapun, mampu membawa perubahan yang signifikan. Ia mampu merobohkan tembok stereotaip yang keras memisahkan kaum-kaum, dan mampu juga untuk membina jambatan yang kukuh menghubungkan ahli-ahli kaum masing-masing.

Sebagai rakyat Malaysia, sebuah Negara yang bangga dengan komposisi rakyat yang kaya dengan penduduk berbilang kaum dan juga 'budaya timur' yang menjadi pelita dalam amalan berbudi bahasa dan toleransi, tidak mungkin seorang rakyat dapat menghabiskan hidupnya di bumi ini tanpa mengalami interaksi dengan warga yang berlainan kaum. Saya Tieh Zu Guang dan ini merupakan cerita saya.

Firas, Syed, Lau dan Thevindra merupakan sahabat karib saya pada waktu persekolahan dulu dan secara jujurnya, kami adalah antara murid 'nakal' yang sentiasa duduk di bahagian belakang dalam kelas. Firas dan Syed merupakan sahabat saya yang berbangsa Melayu, Lau berbangsa Cina manakala Thevindra berbangsa India. Kewujudan stereotaip tidak dapat dielakkan dan pada waktu itu. Terdapat stereotaip bahawa murid Melayu lebih malas dan tidak mementingkan pelajaran manakala murid Cina pula rajin dan terlalu mementingkan keputusan peperiksaan dan ini telah membawa kepada hubungan dingin antara murid-murid bangsa Cina dan Melayu dalam kelas itu.

Bagi saya, stereotaip ini telah dihapuskan dengan kerajinan Firas dan Syed. Meskipun mereka lemah dalam subjek Fizik dan Matematik Tambahan, namun mereka masih tidak berputus asa dan rajin membuat latihan subjek-subjek tersebut. Pada waktu itu, saya berada di peringkat hidup di mana saya berasa kehilangan matlamat dalam kehidupan dan gagal mendapat motivasi untuk meneruskan usaha dalam pembelajaran. Walaupun sibuk dengan usaha masing-masing, mereka sudi meluangkan masa untuk berbual-bual dan mendengar luahan isi hati saya. "Hidup ini mesti ada matlamatnya. Tidak kira ke arah manapun, usaha pasti akan menghasilkan kejayaan." Ungkapan Firas masih tersemat elok dalam kepala saya.

Lau dan Thevindra pula antara murid cemerlang dalam kelas saya, tetapi mereka tidak mempunyai kerenah seperti seorang yang berhidung tinggi walaupun mencapai keputusan yang baik. Mereka sanggup meluangkan masa untuk memahami situasi saya dan menggalakkan saya untuk meluahkan perasaan saya. Pada musim cuti persekolahan, mereka juga akan mengajak saya untuk berbasikal di sekeliling taman perumahan saya untuk melepaskan segala tekanan yang disimpan dalam hati. Mereka mampu menjalin hubungan yang erat dengan saya apabila saya tidak dapat meletakkan kepercayaan saya pada sesiapa pun.

Pengalaman saya mungkin tidak sesignifikan seperti sebuah cerita penyelamatan dalam situasi terdesak ataupun cerita penyelesaian sebuah konflik yang lama terabai. Namun pengalaman ini betul-betul telah mengubah kehidupan saya dan memainkan peranan penting dalam menentukan arah kehidupan saya sehingga ke hari ini. Mereka menyedarkan saya bahawa dunia ini masih penuh dengan orang yang mengambil berat tentang saya dan tidak ada satu masalah pun yang tidak dapat diselesaikan.

Perpaduan bukan sahaja sebuah ungkapan, tetapi pertunjukan pelbagai usaha pelbagai kaum dan juga interaksi antara kaum. Setiap interaksi antara kaum adalah sesuatu yang bermakna, dan ia pasti akan dapat menambahkan informasi dan pemahaman terhadap kaum lain. Perbezaan antara kaum tidak dapat dihapuskan dan tidak patut dihapuskan kerana setiap individu membawa bersamanya budaya dan ideologi yang berbeza, dan perbezaan itu yang sepatutnya diraikan.

#BeliaForUnityWhere stories live. Discover now