Story 7: Persahabatan Tidak Mengenal Perbezaan

10 0 0
                                    


Bila disebut tentang rezeki, ramai yang menyalah anggap rezeki sebagai sesuatu ganjaran berbentuk wang semata-mata, sedangkan konsep rezeki sebenarnya sangat luas. Antara contoh lain rezeki yang patut disyukuri adalah kesihatan badan, kelapangan masa, ketenangan diri dan tidak kurang penting juga, sebuah persahabatan.

Pekerjaan ayah sebagai penyelia kilang adalah satu-satunya sumber utama dalam keluarga kami. Majikan ayah begitu percayakannya, sampaikan ke mana sahaja syarikat itu berpindah, ayah masih akan ditawarkan untuk bekerja di tempat yang sama. Disebabkan kami sering berpindah-randah, saya sering bertukar tempat persekolahan, membuatkan saya tidak mempunyai kawan yang tetap dan tidak mengambil kisah tentang erti persahabatan. Sehinggalah pada tahun 2006, ketika saya berumur lapan tahun, ayah saya dipanggil oleh majikannya untuk bekerja di Mukah, Sarawak.

Maka, bermulanya saya mengenal dunia persahabatan. Disebabkan kepelbagaian bahasa, etnik dan adat dalam negeri ini, saya yang masih kecil tidak tahu cara menyesuaikan diri dengan baik. Jujur saya katakan, saya susah hendak berkomunikasi dengan mereka yang lain disebabkan jurang bahasa yang berbeza.

Dari hari pertama sesi persekolahan, kami akan menaiki bas sekolah khas untuk anak-anak pekerja. Sepanjang dalam bas, saya diam walaupun ditegur oleh pelajar lain. Sampailah satu ketika, semua pelajar mengatakan saya seorang yang sombong. Perkara ini berlaku bukan hanya di dalam bas, malah di dalam kelas juga. Bukan saya sengaja tidak mahu berborak atau bermain tetapi saya tidak memahami loghat atau bahasa yang dituturkan mereka. Saya hanya bercakap kalau cikgu yang bertanya kerana cikgu menggunakan bahasa Melayu yang jelas difahami oleh saya.

Perubahan keyakinan saya bermula apabila saya selalu ditegur oleh seorang budak lelaki merangkap anak jiran bersebelahan dengan rumah saya, Khairul (anak kacukan Melayu Iban) dan seorang budak perempuan rakan sekelas, Sarah (anak kacukan Melayu Melanau). Mereka inilah yang banyak mengajar saya untuk bertutur dalam loghat mereka. Khairul yang selalu duduk bersebelahan dengan saya di dalam bas menerangkan apa yang diperkatakan oleh kawannya yang lain.

Berlainan pula dengan Sarah, memandangkan saya duduk di bahagian belakang kelas, dia akan ambil kerusinya tanpa saya suruh dan pergi ke meja saya untuk berborak atau bermain. Dia juga selalu mengajak kawannya bermain dengan saya. Keadaan seperti ini berterusan dan lama kelamaan saya semakin memahami percakapan mereka.

Sehinggakan, pada satu hari, buat pertama kalinya saya masuk ke dalam rumah panjang yang sangat luas setelah diajak oleh Sarah. Tempat itu berlantaikan rotan, serta mempunyai banyak bilik dan ramai ahli keluarga dalam satu rumah panjang. Perkara yang saya masih ingat, datuknya yang sangat peramah tegur saya dan berbual dengan saya. Walaupun datuknya nampak macam nyanyuk, tetapi cara dia bercerita tentang rumah panjang, adat dan keluarganya sangat bersemangat.

Betullah kata orang, setiap perkenalan pasti ada perpisahan. Pertengahan tahun 2008, kami sekeluarga perlu berpindah ke Sabah semula atas masalah tertentu. Pada awalnya, saya memang sedih tetapi saya sangat bersyukur kerana Allah telah memberikan saya peluang untuk mengenal rapat dengan mereka walaupun hanya sementara.

#BeliaForUnityWhere stories live. Discover now