Story 4: Tak Kenal, Maka Tak Cinta

65 1 1
                                    

Memang sejak dulu, aku dilahirkan dan dibesarkan dalam persekitaran yang penuh dengan bangsa Melayu. Dalam erti kata lain, aku jarang berinteraksi dengan mereka yang berbangsa lain. Dari tadika hingga ke sekolah menengah, aku dikelilingi oleh bangsa Melayu. Betul! Sekolahku ada saja guru yang berbangsa Cina dan India, tapi cukup hanya berselisih bahu dan bertukar senyum. Hendak duduk semeja sambil minum kopi? Memang mustahil!


Apabila tamat sekolah menengah, berbekalkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang boleh aku katakan agak cemerlang, aku diterima masuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk melanjutkan pelajaran di peringkat diploma. Siapa saja tidak kenal universiti yang hanya menerima bangsa Melayu dan bumiputera sahaja di dalamnya itu? Sekali lagi, hidup aku dipenuhi dengan Melayu. Makan, minum, mandi, tidur, semuanya dengan Melayu! Bukan sekejap, tetapi dua tahun setengah aku berada di situ.


Malahan, dalam tak sedar, aku mula menyemai sifat negatif terhadap bangsa lain. Apabila ternampak saja bangsa lain memakai pakaian yang agak seksi, hati ini akan terdetik perasaan meluat, bahkan aku akan mencemuh mereka yang tidak bersalah itu bersama rakan-rakan sebangsaku yang lain. Terasa amat jahil diri ini apabila mengenangkan perangaiku dahulu.Apabila aku berjaya menamatkan pengajianku di peringkat diploma, aku berjaya mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajianku di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Kimia di UiTM juga. Tapi aku mengambil keputusan untuk tidak menyambung pelajaranku kerana mahu membantu keluargaku, memandangkan kami bukanlah datang daripada golongan yang senang. Namun aku bersyukur dilahirkan dalam keluarga yang bahagia ini.


Ibu dan bapaku menyarankan aku untuk menyambung saja pelajaran di peringkat yang lebih tinggi kerana kasihan melihatku bekerja di kedai makan. Aku berjanji akan menyambung pelajaranku selepas berjaya mengumpul wang untuk membiayai yuran pengajianku ke universiti nanti. Dalam masa yang sama, aku juga mengisi borang permohonan untuk menyambung pelajaran. Selepas tiga bulan, aku akhirnya diterima masuk ke Universiti Malaya dalam jurusan Sains Pengurusan Alam Sekitar. Ibu bapaku amat gembira dengan berita ini. Sebaik saja aku mendaftarkan diri ke Universiti Malaya, aku tahu yang aku akan berdepan dengan persekitaran yang baru. Baru yang bagaimana? Aku ditempatkan di Kolej Kediaman Kelapan dan rakan sebilikku adalah seorang yang berbangsa Cina. Ya, Cina! Masa itu, aku jadi panik. Bermacam-macam soalan yang berlegar-legar di fikiran. Bolehkah aku menyentuhnya? Bolehkah aku dedahkan aurat? Atau adakah aku perlu memakai tudung sepanjang masa? Disebabkan dah terlalu selesa hidup dengan orang yang sebangsa denganku, situasi ini ternyata membuat aku kusut. Stigma yang aku percaya terhadap mereka, tidak membantu langsung untuk meredakan keresahan yang aku alami. Perkara yang paling aku takuti dulu, kini menjadi kenyataan.


Namun, ternyata rakan sebilikku ini seorang yang sangat baik. Dia tak sama langsung dengan apa yang aku bayangkan terhadap kaumnya. Dia seorang yang sangat menghormati aku dan agamaku. Kini dia merupakan salah seorang rakan yang paling akrab dengan diriku. Kerap juga kami keluar berlibur bersama-sama, dan jika kami ingin makan, dia akan pastikan aku makan di tempat yang halal. Pernah sekali di pusat beli-belah, dia menghulurkan satu makanan ringan untukku beli, tetapi tiba-tiba dia tidak membenarkan aku membelinya selepas dia melihat tiada logo halal pada bungkusan makanan tersebut. Beliau juga sering mengingatkan aku untuk solat apabila waktu solat fardhu telah masuk.


Sifat benci kepada bangsa lain yang dulu pernah tersemai dalam diriku kini semakin lupus. Benarlah bak pepatah Melayu, tak kenal, maka tak cinta. Jika kita sendiri tidak berusaha untuk mengenali bangsa yang lain, bagaimana kita hendak tahu baik dan buruknya sesuatu kaum itu, kan?

#BeliaForUnityWhere stories live. Discover now