Story 8: Hutang Emas Boleh Dibayar Hutang Budi Dibawa Mati

17 0 0
                                    


Sewaktu aku masih di bangku sekolah, aku sering mengikuti ayah ke sebuah bengkel lama milik seorang lelaki berbangsa Cina yang sudah berusia. Van ayah yang sudah lama berjasa milik ayah sentiasa 'sakit'. Usianya sudah tua dan ia selalu 'gering' kerana sudah lama berjasa dengan keluarga kami. Memang tidak dinafikan van itu telah menjadi kesayangan ayah. Sudah lama dipujuk anak-anak supaya membeli kenderaan baharu daripada membuang wang membaiki van yang kerap-kerap masuk bengkel. Tetapi ayah masih rasa berat hati untuk berpisah dengan 'sahabat lama'nya itu. Ayah siap mengecatnya dengan warna merah. Luarannya memang nampak seperti van baharu, tetapi dalamnya tetap seperti kenderaan lama.

"Ya cikgu, kenapa pula kereta ini?" sapa uncle Ah Y sambil tersenyum. Ayah juga menyambut senyuman beliau. Namun aku tahu senyuman itu sedikit kelat dek memikirkan wang yang perlu dikeluarkan bagi membaiki van itu.

"Tak tahu lah bateri ka enjin. You tolong check la," ujar ayah kebingungan. Raut wajah ayah yang keletihan menarik perhatianku. Rasa kasihanku pada ayah serta-merta terbit. Pada usia yang sudah lanjut, dia masih gigih mencari nafkah untuk menanggung sembilan orang anaknya yang masih belajar.

Perihal van itu pula, seingat aku, sehingga hari ini van itu sudah masuk bengkel lebih daripada 30 kali. Namun aku sedar, lebih baik menghargai apa yang ada daripada mencari sesuatu yang belum pasti baiknya. Oleh kerana ayah membuat katering kecil-kecilan, kehadiran van itu sedari ummi dan ayah beroleh cahaya mata kedua sangat membantu perjalanan kehidupan membesarkan anak-anak mereka. Kata ayah, biarlah tiada kereta mewah tetapi kita mampu meneruskan kehidupan mencari rezeki yang halal.

"Bateri mati lah cikgu. Tak boleh guna lagi. Kasi tukar baru lah. Mau ka?" Suara kecil uncle Ah Y menggelikan hatiku. Entah kenapa dari dulu aku suka mendengar orang bukan Melayu, berbahasa Melayu. Telor mereka kedengaran lucu di telingaku.

"Ya ka? Aiyo, duit lagi. Hutang dulu boleh ka Ah Y?" tanya ayah malu dan teragak-agak.

"Tak dak masalah lah cikgu. Aku tulis dalam buku ni, nanti lu ada duit lu bayar lah. Jangan susah hati lah. Saya percaya cikgu punya." Uncle Ah Y menenangkan ayah sambil tersenyum.

"Terima kasih banyak Ah Y. Nanti awak ingatkan sayalah kalau lama sangat saya tak bayar. Takut lupa saja." Wajah ayah berubah lega tetapi aku tahu ayah sebenarnya rasa bersalah kerana terpaksa berhutang lagi. Hari itu, aku sedar bahawa biar kita tidak seagama, tetapi sikap toleransi akan mengeratkan hubungan kita. Aku terasa bersyukur sekali dapat ditemukan dengan insan-insan yang memahami.

Pada tahun 2016, sekali lagi van kami dihantar ke bengkel. Kali ini untuk diservis pula.

"Adik, ada ambil SPM tak tahun lepas?" tanya uncle Ah Y. Aku hanya mengangguk sambil mengangkat sembilan jariku kepadanya. Dia tersenyum lebar dan rasa gembira buat aku.

"Tahniah adik. Banyak pandai lah anak cikgu. Anak saya dapat 8A. You adik belajar sungguh-sungguh tau. Nanti tolong sama you punya ayah. Sekarang banyak susah maa." Aku mengangguk sambil tersenyum. Nasihat itu aku ambil dan dijadikan sebagai pembakar semangat.

Sehingga kini, van kami masih menjadi tetamu setia bengkel uncle Ah Y. Mulutku juga tidak lekang bertanya kepada ummi tentang hutang ayah dengan uncle. Syukur alhamdulillah, hutang ayah sudah dilangsaikan. Walaupun begitu, jika ada masanya ayah kesempitan wang, uncle Ah Y masih tidak berkira untuk membenarkan ayah untuk berhutang dahulu.

Sampai ke hari ini, kami sekeluarga masih berhubung rapat dengan uncle Ah Y. Sekiranya ada majlis keraian pasti kedua-dua belah pihak menjemput ke majlis masing-masing. Sekotak buah limau pasti disimpan untuk kami apabila tiba perayaan Tahun Baru Cina. "Ah Y dah telefon suruh pergi ambil buah limau." Itulah ayat yang aku sering dengar apabila tiba Tahun Baru Cina.

Itulah kisah kebersatuan yang ingin aku kongsikan iaitu aku dan kawan-kawan ayahku yang berbangsa Cina. Mereka tidak berkawan dengan ayah sahaja tetapi dengan keluarga ayah juga. Semoga kisah aku mampu memberi kesan dan tauladan kepada kita semua untuk menghargai dan mensyukuri kepelbagaian bangsa di Negara kita. Semuanya akan indah jika kita tidak mengharapkan kesempurnaan orang lain, malah kita cuba pula untuk melengkapkan antara satu sama lain.

#BeliaForUnityWhere stories live. Discover now