MR PIRATE

Por CIK_ZALIKHA

3M 271K 56.3K

"Siapalah engkau agaknya Mr Blue?" Tindakan seorang jejaka misteri yang menyelamatkan nyawanya daripada mati... Mais

PROLOG
BAB 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
BAB 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
bab 13
Bab 14
Bab 15
Bab 16
Bab 17
Bab 18
Bab 19
Bab 20
21
22
23
24
25
26
27
28
29
30
31
32
33
34
35
36
37
38
39
40
41
42
43
44
45
46
47
48
49
50
51
52
53
54
55
56
57
58
59
60
61
62
63
65
66
67
68
69
70
71
72
73
74
75
76
77
78
79
80
81
82
83
84
85
86
87
88
89

64

36.8K 3.6K 1.2K
Por CIK_ZALIKHA

                "HAI, Cik Uda!" Sapa Lanun sebaik sahaja tiba di gerai ikan itu. Mak Cik Uda yang sedang mengemas bakul ikan di belakang sana langsung berpaling saat mendengar suara Lanun. Automatik bibir tersenyum mesra tatkala mata mereka bertembung.

Lantas, Mak cik Uda menapak ke arah Lanun sambil mengelap tangannya yang basah pada kain buruk. "Lambat ko datang pasar hari ni, Lanun? Ikan pun sudah banyak yang habis. Ada pun ikan kembung."

Lanun tersengih nampak gigi. Memang benar dia terlewat sedikit hari ini. Gerai yang lain semuanya sudah tutup. Itupun mujur Mak Cik Uda belum tutup gerai lagi, walaupun hasil laut yang tinggal di atas meja itu sudah tidak banyak.

"Bulihlah itu, Cik Uda. Sa ambil sija. Kasi tiga ekor."  Pesan Lanun, dia tidak ada pilihan lain. Cuma ikan itu sahaja yang tinggal.  Lantas dompet dikeluarkan, sedia mengeluarkan duit sementara menunggu Mak Cik Uda membungkuskan tiga ekor ikan buatnya.

"Lama ko endak bawa balik ikan. Hari ini baru Cik Uda nampak ko beli." Tegur Mak cik Uda.

"Husna teringin nak makan. Ingatkan mau beli siakap, tapi endak apalah, dia bilang ikan jenis apa pun endak kisah." Jawab Lanun tanpa berselindung.

Tersenyum Mak cik Uda mendengarnya sambil kepala terangguk-angguk.

"Pandai ko cari bakal isteri yang endak memilih. Endak hairanlah satu kampung suka bila ko kahwin sama dia. Cepat sikitlah kahwin tu. Ramai sudah yang tidak sabar mau tinguk ko bahagia."

Kembang kempis hidung Lanun apabila mendapat pujian. Pipinya yang memerah tak mampu disorokkan lagi. Belakang kepala digosok-gosok sambil bibir menyengih. Alahai, Cik Uda ni... lebih-lebih pula memuji dia.

"InsyaAllah. Dalam masa yang terdekat. Sa akan cuba percepatkan masa untuk halalkan dia." Ujar Lanun, sambil mencapai bungkusan ikan kembung yang dihulur oleh Mak Cik Uda. Kemudian duit diserahkan. Cukup-cukup sahaja tanpa baki.

"Ha, ada lagi satu Cik Uda mau beritahu ko!"

Kening Lanun berkerut. "Apa dia?"

"Tadi, semasa Cik Uda dalam perjalanan ke sini. Cik Uda nampak bot daripada maritim keliling pulau ni! Ada jugalah bot-bot nelayan yang ditahan untuk soal siasat." Ujar Mak Cik Uda, sengajalah dia beritahu kepada Lanun. Jarang sekali bot daripada pasukan maritim keliling Pulau ini. Tiba-tiba sahaja mereka beroperasi. Nyatanya pasti ada sesuatu yang berlaku, manalah tahu ada kena mengena dengan Lanun.

Dan secara tiba-tiba hati Lanun diserang rasa tak enak. Entah mengapa jantung ini tiba-tiba berdebar, walhal dia tidak melakukan sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang.

"Nelayan tu ada beritahu Cik Uda mengapa durang di tahan?" Soal Lanun, berkobar-kobar ingin tahu.

Mak cik Uda diam seketika. Memproses semula ingatan. "Endak silap Cik Uda, durang bilang pihak polis sedang cari seseorang. Endak pastilah siapa orang itu, tapi dengar daripada cerita... seperti bukan orang biasa-biasa yang dicari."

Husna.

Nama itu yang terlintas di fikiran Lanun saat ini. Tidak pastilah tekaannya tepat atau tidak, namun perasaan di dada ini seakan mengiyakannya.

Lanun terdiam tak bersuara.

"Sengajalah Cik Uda beritahu sama ko, manalah tahu ko tahu siapa orang itukan? Cik Uda bukannya apa... risau kalo orang itu sudah ditangkap oleh Mondu. Kalo Mondu yang ambil, hmm... mengkali endak ada harapanlah dia akan terselamat." Ujar Mak Cik Uda, tergeleng-geleng kepalanya saat bercerita tentang Mondu. Orang kampung disini sudah terbiasa mendengar cerita tentang Lanun jahat itu.

Jika orang biasa pun diculik untuk sindiket penjualan organ dan perempuan murahan, apatah lagi jika seseorang itu memiliki status yang lebih besar. Makin teruklah seksaannya.

Berderau darah Mak Cik Uda apabila cuba membayangi nasib-nasib malang itu. Terlalu ngeri!

"Ko juga sama Lanun, jaga sumandak ko tu baik-baik. Jangan biar Mondu nampak dia. Sejak beberapa hari ini, Cik Uda dengar Mondu kerap keliling pulau ni bersama lanun-lanunnya. Pasti mau cari mangsa baru. Hati-hati ya!" Pesan Cik Uda, jelas sekali risau.

Tatkala Lanun tersenyum kelat sambil kepala diangguk perlahan.

"Cik Uda jangan risau, sa akan jaga dia sama seperti nyawa sendiri." Ucap Lanun, serius. Sesaat kepala menunduk memandang bungkusan plastik di tangan. Ada baiknya jika dia pulang sekarang. Pasti Husna sedang menunggu dia di rumah.

"Kalo endak ada apa-apa lagi, sa minta diri dulu. Assalamualaikum." Pamit Lanun. Usai memberi salam, langsung dia menapak pergi daripada situ.  Namun disetiap langkahnya, kepala turut terngiang-ngiangkan kisah Cik Uda sebentar tadi. Bahkan, jantungnya juga tak henti berdegup kencang. Perasaan yang jarang dia rasai sebelum ini, tika ini menyelubungi diri.

Iaitu...

Ketakutan.















                  HARI berganti malam, deruan angin laut bertiupan dengan lembut. Tiada ombak besar, bahkan gigi air saling menolak-nolak ke pasir pantai. Bunyi yang terhasil juga perlahan menyusup ke telinga. Suasana yang sangat menenangkan sekali untuk malam ini, dengan berlatar belakangkan langit pekat yang dihiasi bintang-bintang.

Kawasan pantai yang sepatutnya gelap, tika ini diterangi dengan cahaya dari pelita. Kejiranan disini yang meminjamkan pelita daripada rumah mereka untuk membuat tempat makan malam yang paling romantik.  Sekelilingnya dipacakkan pelita.

Tak terlintas difikirkan Husna, makan malam mereka akan jadi secantik ini. Ingatkan cuma meja dan lilin. Malah lebih.

"Semuanya sudah siap. Kamurang makan sampai kenyang ya. Sa mau  balik dulu." Ujar Orkid setelah siap meletakkan hidangan terakhir di atas meja yang diduduki oleh Lanun dan Husna. Bermula malam ini, dia menjadi pelayan tanpa gaji.

"Awak tak nak makan sekali ke Orkid?" Tanya Husna, segan pula hendak makan berdua-duaan ditepi pantai bersama Lanun, biarpun sebelum ini mereka sudah terbiasa makan bersama-sama di beranda. Mungkin disebabkan vibe malam ini lain daripada yang lain. Itu yang gementar sedikit. 

"Gila! Kalo sa makan sekali endak jadilah romantik. Susah payah sa buat semua ni sama orang kampung tau!" Balas Orkid.

Tergelak kecil Husna dibuatnya. Kepala diangguk perlahan. Yalah, Orkid... pergilah. 

"Nanti sudah habis makan, jangan lupa cabut pelita ni balik ya? Kesian kami kena bermalam gelap dirumah. Tetapi demi ko berdua, kami endak kisah. Janji kamurang puas makan bersama. Apa-apa pun, sa minta diri dulu. Aramaiti! (Enjoy/ berseronoklah)"  ucap Orkid, siap bersorak penuh gembira sebelum berlalu ke belakang pokok kelapa.

Kelihatan disitu ada beberapa orang kampung yang sedang terjenguk-jenguk kearah mereka dengan bibir tersenyum. Adakala mereka berbisik, tidak pastilah tentang apa. Tetapi rasa malu pula apabila makan malam mereka menjadi tontonan.

"Hei, pergi! Pergi! Endak pernah lihat urang mau makan ka huh? Jangan ganggu durang bah! Syuh!" Halau Orkid, mereka mengeluh penuh kecewa apabila dipaksa pergi daripada situ. Baru sahaja nak tengok drama waktu malam, dah kena halau.

Sekejap Lanun pusing ke belakang, memastikan orang kampung sudah pun berlalu pergi lantas dia kembali memandang Husna yang duduk dihadapannya. Kemudian bibir meletuskan tawa kecil.

"Maaflah, orang kampung disini memang lain macam sedikit semangat kejiranannya. Aku pun tak sangka mereka akan buat semua ni untuk kita." Ujar Lanun, dia pula yang terpaksa menanggung malu. Dah serupa anak raja pula orang kampung disini melayaninya.

Husna tersenyum lebar. Lanun patut rasa beruntung kerana disayangi orang ramai. Entah apalah kebaikan yang Lanun lakukan kepada orang kampung sampai begini sekali semangat mereka membalas budi.

"Itu maknanya mereka betul-betul sayangkan awak. Bukan senang nak buat semua orang sukakan kita dalam dunia ni. Awak patut rasa bertuah." Puji Husna. Turut menumpang rasa gembira buat Lanun. Jelas sekali, pilihannya tak salah.

Lanun mengangguk perlahan. Ya, dia juga rasa begitu.

"Makanlah. Nanti dah sejuk tak sedap pula." Pelawa Lanun sambil dia mencapai sudu dan garfu. Malah Husna turut melakukan perkara yang sama.

Hidangan diatas meja masih lagi berasap, makan pula di tepi pantai dalam suasana yang sejuk, memang terlebih seleralah nanti. Namun, Lanun tidak terus menyentuh hidangannya. Anak mata masih melekat pada Husna yang sedang menggaul nasi bersama kuah masak merah ikan itu. 

Husna nampak teragak-agak mahu menyuap ke dalam mulut. Mungkin memorinya masih terganggu dengan kepahitan yang dahulu. Sekonyong-konyong timbul rasa bersalah dihati Lanun melihat Husna yang tampak terpaksa.

Dia tidak tahu mengapa Husna meminta untuk makan ikan, jika sekadar mahu membuktikan kepadanya yang dia telah berubah. Sungguh, Lanun tak perlukan semua itu...

"Husna..." panggil Lanun, lembut. Menarik pandangan Husna melangut memandangnya.

"Ambillah lauk yang lain kalau kau tak suka. Jangan paksa diri." Tegurnya.

Husna tersenyum kelat. Kepala digeleng.

"Saya bencikan ikan sebab ikan tak pernah rasa sedap di lidah saya. Orang selalu kata, masakan ibu adalah masakan yang paling sedap. Tapi... masakan arwah mak selalu tawar. Tapi bila saya ada di kampung ni, saya tengok orang-orang kampung tak jemu makan makanan daripada laut. Jadi saya teringin nak cuba." Ujar Husna, kemudian menunduk memandang hidangan di hadapannya. 

Tidak membiarkan rasa ragu-ragu mengawal diri, Husna cuba melawan perasaan itu. Tak tunggu lama, selesai baca doa, langsung nasi yang digaul bersama isi ikan itu disuap ke dalam mulut. 

Buat beberapa minit dia cuba memproses rasa yang bermain di lidah. Kunyahan demi kunyahan sebelum ia menelannya. Kemudian, bibir mengukir senyuman. Kepala kembali diangkat memandang Lanun yang masih menanti sesuatu keluar daripada bibirnya.

"Sedap. Dah lama saya tak rasa sedap macam ni. Mungkin masakan arwah mak akan rasa seperti ini kalau ayah tak abaikan tanggungjawabnya dulu... Dan saya juga takkan jadi macam ini..." Suara Husna kedengaran bergetar. Tiba-tiba sebak mencengkam dada tatkala teringatkan kembali perangainya yang cerewet. Buatkan hampir kesemua yang mengenali dia membencinya.

"Semua orang dekat bandar benci bila tengok muka saya..."

Sedangkan Lanun sudah mula tak keruan apabila melihat mata Husna yang bergenang air mata. Detik yang sepatutnya menjadi romantik, bertukar hiba. Dia langsung bangkit daripada tempat duduk, mencapai kain bersih bersama mendekati Husna.

Bahu Husna yang berlapikkan baju kurung kedah itu ditarik memusing menghadapnya. Lanun melutut di pasir, mengadah muka menatap Husna yang menangis. Melihat air mata mengalir membasahi pipi wanitanya, lantas dia mengesat dengan lembut menggunakan kain tadi.

"Benci tak selamanya kekal di hati manusia. Sekelip mata Tuhan boleh tarik semula perasaan itu. Tetapi bergantung juga pada diri kita, sama ada nak terus dibenci atau disayangi. Semua itu boleh diubah dengan cara kita sendiri, Husna." Ujar Lanun, penuh mendalam sekali suaranya.

"Aku janji dengan kau, aku akan teman kau untuk berubah menjadi lebih baik. Kita harungi sama-sama, seperti mana yang kita cakap masa di pulau Muhang haritu. Aku takkan biarkan sesiapa pun bencikan kau. Aku nak mereka sayang kau, seperti mana aku sayangkan kau..."
Ucap Lanun, tulus daripada hatinya.

Terharu Husna mendengar. Makin laju air matanya mengalir. Bukan kerana sedih, tetapi kerana tersentuh dengan setiap bait kata yang keluar dibibir Lanun. Merasai keikhlasan lelaki itu sehingga jatuh tenggelam ke dalam hatinya.

Husna mengesat air matanya dengan pergelangan hujung baju. Hidung merah akibat menangis. Namun apabila menatap Lanun, buatkan dia mahu terus tersenyum. 

"Kita harungi sama-sama?" Husna mengulanginya.

Lanun mengangguk.

"Selamanya." Balas Lanun.

Makin melebar senyuman dibibir Husna. Dia akan pegang janji itu.

Dan tiba-tiba, ada cahaya lampu biru menyuluh ke arah pantai mereka. Bunyi enjin bot kuat menyapa ke telinga. Apa pula itu? Husna menoleh ke arah air laut, kelihatan sebuah bot maritim sedang menghampiri ke dasar pantai. Ada suara garau yang memberi arahan pada alat pembesar suara, namun tak jelas apa yang diperkatakan.  Seakan memberi amaran untuk menjauhi kawasan pendaratan daripada dilanggar bot.

Lanun yang melutut di pasir langsung berdiri. Sekali lagi, hatinya diserbu rasa tak enak. Jantung berdebar-debar.

Malah, orang kampung juga turut keluar ke pantai melihat kehadiran bot yang asing itu. Sebaik sahaja bot maritim itu berhenti, seorang demi seorang anggota berpakaian serba hitam melompat turun ke darat bersama senjata lengkap ditangan. Cuma sepasang mata sahaja yang kelihatan, itu pun tampak garang. 

"Maaf kerana mengganggu, kami disini sekadar ingin menjalan tugas. Sila jawab dengan jujur, ada atau tidak seorang perempuan daripada kawasan luar yang masuk ke sini? Namanya Puteri Husna binti Dato Idris, dalam lingkungan umur 25 tahun! Jika ada, tolong panggilkan dia ke sini!" Lantang suara ketua anggota maritim itu bersuara. Anak matanya meliar ke arah orang-orang kampung yang mula berbisik-bisik sesama sendiri, menanti jawapan.

Husna terdiam. Bukankah orang yang dimaksudkan itu adalah dia? Laju sahaja anak matanya berlari ke arah lelaki tua berbaju kemeja putih yang terakhir turun daripada bot.

Automatik mata Husna membulat. Agak terkejut.

"Ayah?" Terpacul gelaran itu dibibirnya. Tak salah lihat lagi, memang Dato Idris!
Malah, Tan Sri Raqib juga ada sekali disana.

"Tolong beritahu kalau anak saya ada disini, saya akan bagi ganjarannya!" Jerit Dato Idris, mungkin dengan cara dia meletakkan ganjaran, orang kampung disitu akan memberi kerjasama yang baik.

Husna mahu berlari menunjukkan diri di hadapan mata Dato Idris,  namun tangan Lanun lebih pantas menangkap pergelangan tangannya.  Buatkan langkahnya terpasung disitu. Husna berpaling ke belakang. Menatap riak wajah Lanun dengan muka tanda tanya.

Perlahan Lanun menggeleng kepala. Seakan merayu untuk tidak pergi ke sana. Bahkan, riak wajahnya tampak berat mahu melepaskan Husna pergi. Perasaan di dada kuat mengatakan sekarang bukan masa yang sesuai.

Namun,

Genggaman tangan Lanun dileraikan oleh Husna sendiri. "Saya kena pergi."

"Husna..."

Tanpa menunggu balasan Lanun, Husna terus berlari ke arah mereka. Meninggalkan Lanun yang masih berdiri ditepi meja makan.

"Ayah?" Tegur Husna sebaik sahaja tiba di situ. Mengalihkan perhatian Dato Idris ke tepi. Mata orang tua itu terus terbeliak. Sesekali dia menilik pemakaian Husna daripada atas sehingga ke bawah, ingin memastikan wanita itu betul-betul anak perempuannya.

Sungguh, Husna nampak lain tika ini. Dia tidak pernah melihat Husna berpakaian sebegitu rupa. Namun, wajah dan suaranya... sudah cukup membuktikan itu adalah Puteri Husna yang dicari-cari.

"Ya Allah, anak aku!" Terus Dato Idris menerpa ke arah Husna. Memeluk anak perempuannya dengan rasa kerinduan yang telah pun terubat selepas menjumpainya. Husna terkesima. Perlahan-lahan tangannya naik membalas pelukan si ayah.

Kemudian, pelukan dileraikan.  Kedua belah bahu Husna kini dicengkam. Dato Idris menundukkan wajah, tercari-cari jika ada luka disitu.

"Husna tak apa-apa? Orang dekat sini ada gunakan anak ayah? Kalau ada, beritahu kepada ayah sekarang! Dah berhari-hari staff Ocean Resort cari kamu tanpa henti, rupa-rupanya kamu dekat sini. Ayah risau sangat, ayah ingat ayah dah kehilangan Husna!" Luah Dato Idris, penuh kerisauan.

Husna menggeleng perlahan.  "Husna tak apa-apa, orang dekat sini layan Husna dengan baik. Sebenarnya..."

Husna menoleh ke belakang, memandang Lanun yang masih tidak berkutik daripada tempatnya. Bibir mengulum senyuman kecil. Mungkin inilah masanya dia perkenalkan Dato Idris kepada Lanun.

"Lelaki itulah yang selamatkan Husna." Ujarnya, tepat merenung Lanun. Menarik pandangan Dato Idris untuk menoleh kearah yang sama.

Riak wajah Dato Idris terus berubah. Lelaki itu... yang ada di dalam gambar tersebut. Bibir mengetap. Perlahan-lahan tangan yang mencengkam bahu Husna dileraikan.

Lanun mula mengatur langkah ke arah mereka berdua. Sempat anak mata melirik pada Tan Sri Raqib yang ada disebelah kanan. Tertanya-tanya mengapa papa membawa rakannya ke sini pada waktu yang salah. Namun, dia tidak boleh mempersoalkan apa-apa.

Tiba sahaja di hadapan Dato Idris, Lanun menghulurkan tangan ingin bersalaman. Tubuh ditundukkan sedikit. 

"Dato..."

PAP!

Laju dan kuat tamparan hinggap ke pipi Lanun hingga dia turut tertoleh ke kanan. Otak tidak mampu memproses apa yang baru sahaja berlaku. Dia kaku. Perit yang dirasai sedikit demi sedikit menyedarkan dia ke alam realiti. Perlahan-lahan tangan Lanhn naik menyentuh pipinya yang rasa membahang panas.

"Ayah!"

"Idris!"

Suara Tan Sri Raqib dan Husna menjerit dengan serentak. Jelas, mereka juga terkejut. Bahkan orang kampung yang menyaksikan kejadian itu turut merasakan tamparan yang sama. Rasa tercabar apabila Lanun mereka disentuh!

"Kenapa kau tampar dia? Dia tu..." Suara Tan Sri Raqib jeda tatkala menyedari jelingan daripada anaknya. Seakan memberi isyarat untuk kekal diam tanpa masuk campur. Tapi kenapa?

"Kau fikir kau siapa nak salam tangan aku huh? Orang pulau tak sedar diri..." Sinis Dato Idris.

Panas telinga Tan Sri Raqib mendengarnya. Apatah lagi Lanun.

"Apa ayah cakap ni? Kalau bukan sebab dia..."

"Husna diam!" Bentak Dato Idris, garang. Terus Husna terdiam.

"Jangan sesekali Husna bela lelaki ni depan ayah! Disebabkan dialah, semua orang jadi susah! Menyusahkan ayah, menyusahkan staff Ocean Resort, malah menyusahkan Husna sendiri! Kenapa Husna tetap nak pertahan dia? Sebab Husna suka dia huh? Lelaki kampung ni?!" Bahu Lanun ditolak kasar, buatkan langkahnya sedikit terundur ke belakang. Hampir sahaja jatuh, mujurlah dia sempat mengimbangi diri.

Mata Lanun terpejam sesaat. Dalam hati berdoa agar dirinya kekal sabar.

Sekonyong-konyong bibir Dato Idris menjuih penuh sinis. "Jangan bermimpilah kau layak untuk dapatkan anak aku! Sampai bila-bila pun, aku takkan lepaskan Husna berkahwin dengan lelaki macam kau!"

Terus wajah Lanun terangkat memandang Dato Idris. Kata-kata itu seakan menjadi pisau yang menikam ke hatinya.

"Aku akan pastikan kau takkan jumpa anak aku lagi. Ini adalah kali terakhir. Kalau kau ada apa-apa hubungan dengan anak aku, baik kau campak ajelah angan-angan kau tu ke laut! Sebab aku akan bawa anak aku balik sekarang!"

Mata Lanun terbeliak. Kepala digeleng. Tidak! Bukan pada malam ini. Dia tak rasa itu rancangan yang baik. Tatkala melihat Dato Idris mula menarik tangan Husna, paksa mengekornya pergi ke bot, dengan pantas Lanun menarik lengan kiri orang tua itu. Tahan daripada pergi.

"Dato! Dato boleh bawa Husna pergi, tapi bukan malam ni. Tolonglah, saya merayu..."

"Jangan sentuh akulah!" Tangan Lanun ditepis kasar. Tidak cukup dengan itu, tubuh Lanun ditolak kuat menjauhi dia sehingga jatuh terjelopok ke pasir.

"Lanun!" Jerit Husna. Dia mahu mendekati Lanun, namun cengkaman Dato idris pada pergelangan tangannya terlalu kuat. Tidak mampu ditepis.

"Apa ayah buat ni huh? Kalau perangai ayah masih macam ini, Husna lebih rela tinggal disini daripada balik ke darat semula!" Bentak Husna, sudah tidak tahan lagi.

Sekonyong-konyong bibir Dato Idris menyenget. Husna dah berubah sekarang. Tidak lain tidak bukan disebabkan lelaki kampung itu!

"Kamu masih nak bela dia? Apa yang dia dah buat dengan anak ayah sampai Husna jadi macam ini? Lebih baik Husna ikut ayah balik sekarang atau ayah akan saman dia dan sumbat dia ke dalam penjara!" Ugut Dato Idris.

Husna terdiam. Sekejap dia menunduk memandang Lanun yang masih terduduk di pasir. Wajah itu seakan merayu untuk terus tinggal disini, namun hatinya pula yang tidak sanggup melihat Lanun disaman.

Kepala Lanun menggeleng.  Dia tidak tahu apa yang bermain difikiran Husna saat ini, tetapi ia buatkan darah Lanun rasa berderau.

"Husna, aku tak kisah kalau disaman. Jangan fikirkan tentang aku. Tapi fikirlah tentang kau. Tolong jangan pergi lagi..." rayuan Lanun kedengaran sayu ditelinga Husna. Perlahan Lanun bangkit berdiri semula. Anak mata Husna ditatap penuh dalam.

Husna mengetap bibir. Mana mungkin dia mampu fikirkan tentang diri sendiri dan abaikan tentang nasib Lanun? Sungguh, dia tak mampu berbuat demikian. 

"Kamu fikir apa lagi Husna? Kau nak cabar ayah ke huh?! Ayah akan saman dia sampai..."

"Husna balik!" Cantas Husna. Tak sanggup lagi mendengar ugutan daripada bibir Dato Idris yang akan menyeksa kehidupan Lanun.

Mata hazelnya terbeliak. Jelas terkejut dengan keputusan Husna.

"Husna ikut ayah balik sekarang, tolong jangan saman dia. Dia tak salah!" Bentak Husna sekali lagi. Sedaya upaya cuba mempertahankan Lanun daripada disaman.

"Husna..." sipi-sipi suara Lanun yang memanggil namanya menyapa telinga.  Namun, Husna abaikan. Tak terdaya untuk memandang wajah Lanun saat ini. Pasti lelaki itu kecewa dengan keputusannya.

Tatkala Dato Idris tersenyum puas mendengarnya. Husna buat pilihan yang tepat. Meskipun gayanya masih mahu membela lelaki kampung itu. Ah, tak kisahlah... janji Husna ikut dia balik ke darat daripada terus tinggal disini.

"Kalau macam itu kita balik sekarang!" Terus tangan Husna ditarik, memaksa mengekornya naik ke bot.

Kepala Lanun sudah tergeleng-geleng.  Dia mahu mengejar, namun anggota maritim sudah menghalang jalannya daripada mendekati bot.

"Maaf, Encik. Kami tak boleh biarkan encik dekat dengan bot." Kata lelaki yang memakai serba hitam itu.

"Tak, Tuan takkan faham! Dia tak boleh balik sekarang.  Tuan kena dengar cakap saya, sekarang bukan masa yang sesuai! Percayalah!"

"Encik jangan risau, kami akan pastikan sepanjang perjalanan selamat daripada mata-mata lanun. Apa-apa pun, kami kena bergerak cepat. Minta kerjasama daripada encik juga. Kawasan sini akan jadi lebih bahaya kalau kami tiba lewat." Katanya.

Kali ini Lanun tidak mampu melawan. Bot maritim itu mungkin dikelilingi alat keselamatan, tetapi kenapa hati ini tetap rasa gelisah. Dia akhirnya berundur menjauhi bot. Memerhati Husna yang sudah pun mengambil tempat duduk di atas bot, langsung tak menoleh memandangnya.

Namun, Lanun tahu. Jauh disudut hati wanita itu berat untuk meninggalkan dia dan kampung ini. Bibir Lanun mengetap.

Husna, tunggu aku. Aku akan cari kau semula. Bisiknya di dalam hati.

Setelah semua anggota maritim naik ke atas bot, secara perlahan-lahan bot itu berundur ke belakang. Semakin lama, semakin menjauh. Meninggalkan kampung tersorok itu buat selama-lamanya.

Hati Lanun bagaikan kosong. Seakan dibawa pergi bersama Husna. Tetapi, tidak semudah itu dia akan biarkan Husna membawanya pergi. Dia...

Akan ambil semula.

Continuar a ler

Também vai Gostar

44.6K 2.2K 25
"Kita tak ditakdirkan untuk bersama" Status ; completed Start; september maybe? Author tak ingt😅 End ; 7/12/18 Season 2 : Mamat korea aku punya2 htt...
7.6K 375 100
• B O O K 2 • it's all about facts and quotes about feeling . malay and english fact / quotes comment ? ✔️ vote ? ✔️ start : 15 Nov 2020 end : 01...
1.5M 47.9K 66
Afiq Khairul X Ain Solehah. Mereka berdua diibaratkan seperti kucing dan tikus. Sejak kecil sehingga meningkat dewasa, mereka berdua tidak pernah '...
493 158 16
Rayyan Mikhail × Fiqa irissa Rayyan Mikhail seorang jejaka kacak dan lemah lembut,tidak pernah kasar dengan wanita tetapi ada seorang gadis yang san...