Jauh Lebih Sempurna

By dlwygrz

326 5 2

"Dalam sebuah pelayaran, tidak semua kapal akan sampai ke destinasi yang diinginkan." Jane koyakkan bungkusan... More

BAB 1
BAB 2
BAB 3
BAB 4
BAB 5
BAB 6
BAB 7
BAB 8
BAB 9
BAB 10
BAB 11
BAB 12
BAB 13
BAB 14
BAB 15
BAB 16
BAB 17
BAB 18

BAB 19

3 0 0
By dlwygrz


Pondok nampak dari kejauhan. Langkah kaki semakin longlai. Langit masih megah dengan barisan tentera. Jane angkat kepala yang sejak tadi asyik tunduk memandang lantai pasir itu. Tangan kanan digenggam erat oleh Melur. Sedikit sebanyak, rasa bimbang berkurangan. Seolah-olah sentuhan Melur itu adalah magis yang berjaya menenangkan hatinya.

Dua orang lelaki masing-masing duduk bersandar pada kerusi rotan di hadapan pondok. Jane tarik nafas panjang. Jantung berdegup kencang lain macam. Takut!

Ketika Jane dan Melur sudah dekat, dua kepala angkat menyambut.

Saifuddin angkat dari duduk. Berdiri tegak di hadapan Jane. Jane angkat kepala. Tajam mata lelaki itu dengan rahang diketap kuat.

"Kalau kau tidak mampu menjaga Milo, kenapa menawarkan diri untuk menjaganya?!" Tengkingan itu mengejutkan Jane. Bahunya terangkat. Tersentak hebat membuatkan dia terundur sedikit ke belakang.

"Saif." Juna menarik Saifuddin menjauhi Jane. Tubir mata sudah mula hangat. Saifuddin sudah tahu. Tetapi, bagaimana? Atau jangan-jangan Melur benar? Milo pasti berkeliaran di sekitar pondok Juna. Walapun hati sudah dilanda ribut, kenyataan bahawa Milo sudah ditemui sedikit sebanyak membuatkan hati Jane lega.

Jane telan liur kelat. "Saya minta maaf. Salah saya kerana cuai. Milo selalunya duduk diam-diam di rumah. Pagi tadi, dia tiba-tiba lesap entah ke mana." Terang Jane dengan suara terketar-ketar. Saifuddin makin tajam matanya. Mula mendekati Jane. Juna cepat-cepat menghalang Saifuddin lalu berdiri di hadapan Jane. Melindungi tubuh kecil Jane daripada Saifuddin yang sudah seperti bom itu. Menanti masa untuk meletup.

"Kau ke tepi, Juna." Keras suara itu.

"Bukan salah dia, Saif." Perlahan Juna membalas. Masih tegak tidak berganjak di hadapan Jane yang sudah menikus itu. Melur pula sudah memeluk lengan Juna. Dia juga takut melihat keadaan Saifuddin yang sudah seperti raksasa hendak menerkam mangsa itu.

Mata Saifuddin merah. Dia benar-benar marah. Dia memang tidak pernah sungguh-sungguh menjaga kucing itu. Tetapi, setidaknya dia mengawasi kucing itu dengan meletakkannya dalam sangkar.

"Itu satu-satunya pemberian daripada dia. Kau tahu itu, Juna." Lemah.

Jane mengintip sedikit. Betapa terkejutnya dia saat melihat setitis air jernih mengalir di pipi Saifuddin. Lelaki itu menangis. Mata yang tertutup itu terbuka.

"Saif, kau bertenang dulu." Saifuddin menatap tajam Jane yang sudah kembali bersembunyi di belakang Juna. Lama-lama, dadanya naik turun dengan kencang. Helaan nafas berat kedengaran.

"Saifuddin..." Jane memberanikan diri untuk keluar. Berdiri di sebelah Juna. "Saya benar-benar minta maaf." Ikhlas.

Tawa sinis Saifuddin meletus. Rengus kasarnya memenuhi ruang udara. "Milo sudah mati." Saifuddin menunjuk ke arah satu objek yang terdampar atas pasir di hadapan kerusi rotan. Mata Jane membulat. "Mati lemas." Saifuddin mendekat namun dihalang oleh Juna. "Dan engkau penyebabnya."

Jane terkedu mendengarkan itu. Objek putih itu adalah tidak lain dan tidak bukan tubuh makhluk yang dicari-cari sedari tadi. Terdampar lemah tidak bergerak. Bulu gebu bertukar menjadi seperti kain basah. Tangan Jane sudah menggeletar. Apa dia tidak salah dengar? Apa matanya tidak silap melihat?

"Saif, dia tidak sengaja. Kau tahu bukan Milo itu memang jarang keluar rumah. Perkara itu di luar kawalan Jane." Juna menyentuh bahu sahabatnya itu.

"Kau diam, Juna. Ini antara aku..." Jari telunjuk ditudingkan tepat ke arah Jane. "dan dia."

"Saif, bukan engkau yang pernah bilang kepada aku, marah itu magnet syaitan?"

Saifuddin senyap. Membisu. Pandangan yang menghunus mata gadis berkalih pada sahabatnya itu. Lama sebelum tawa sinisnya bergema. Dia menggelengkan kepala. Seperti sedang meluahkan rasa kecewa terhadap Juna. Mata merenung tajam Juna.

"Jangan jadi bodoh, Juna."

Akhirnya, kaki dibawa melangkah pergi. Meninggalkan ketiga-tiga mereka. Milo yang kejung membeku dibiarkan begitu saja. Kecewa rasa hati sudah melebihi segalanya.


***


"Ikut saya." Hanya itu arahan Juna setelah menyuruh Melur pulang. Melihat tangan Juna meletakkan tubuh keras Milo ke dalam kain putih buatkan air mata mengalir tanpa sedar. Akal ligat memikirkan bagaimana, bila dan siapa?

Juna membawa balutan Milo dalam dakapan. Sebagaimana yang selalu dilakukan ketika Milo masih hidup. Dia menghadap Jane yang sudah menangis itu.

Giliran dia pula yang berdebar-debar. Bukan pertama kali berhadapan dengan perempuan menangis. Cuma kali ini, entah kenapa rasanya lain sekali.

Sapu tangan dikeluarkan dari poket seluar kemudian dihulurkan kepada Jane.

"Jangan menangis, Jane." Lembut memujuk. Jane menyambut sapu tangan itu. Sapu tangan bercorak matahari. Sapu tangan yang sama yang pernah Juna pinjamkan pertama kali mereka bertemu.

Tangisan sedaya upaya cuba dihentikan. Hati gelisah sendiri ketika tadi, Saifuddin mengabaikan jasad kaku kucing pemberian ayahnya. Menjadi tanda bahawa lelaki itu benar-benar sedang marah besar.

"Milo mahu ditanam di mana?" Jane masih menunduk memandang bungkusan kain putih itu. Tidak berani menentang mata Juna. Milo... bagaimana mungkin?

Ya Tuhan, kenapa semuanya berlaku pada hari yang sama dia mahu memulangkan Milo kepada Saifuddin? Memberi rasa sesal kepada Jane kerana lambat memulangkan Milo. Membuatkan segala jenis 'andai saja' bermain dalam akal fikirannya.

"Ikut saya, ya?"

Kepala mengangguk cepat.


***


Mata tidak henti memandang tanah tempat Milo dikuburkan itu. Dia masih setia berdiri sambil melihat Juna yang sedang meletakkan dahan kayu sebagai petanda kubur Milo.

Jane pandang langit yang sudah bertukar menjadi keunguan itu. Nafas dihela lemah. Situasi ini persis seperti pertama kali dia ke bukit ini dahulu. Bezanya, dulu dia bersama Melur dan Aji. Sedangkan sekarang, dia bersama Juna.

Dahulu, dia sungguh teruja untuk mengetahui tempat rahsia yang dikatakan oleh Melur. Sekarang, hanya ada rasa hiba dan kesal yang tinggi menjulang. Ada makhluk yang mati di bawah jagaannya. Dan makhluk itu milik orang lain.

Juna mengajak Jane untuk duduk di bangku berdekatan setelah selesai menguburkan Milo. Jane menurut. Sekejap-sekejap, air mata mengalir setitis. Ringan tangan membawa sapu tangan ke pipi. Mengesat mutiara itu daripada jatuh.

"Bukan salah Jane." Juna bersuara. Kepala menoleh ke arah gadis. Senyum manis ditayangkan. Ingin rasanya jemari hendak mengesat air matanya, mahu menghilangkan kesedihan si gadis. Mata gadis sudah merah luar biasa.

Jane merenung sapu tangan di tangan. Nenek pasti sudah pulang dari laut. Lihat saja langit yang menjadi tanda bahawa hari sudah petang itu.

"Saifuddin pasti bencikan saya."

"Saifuddin kalau marah memang begitu, Jane. Jangan terlalu difikirkan."

"Juna, Milo itu makhluk bernyawa. Bukan boneka." Jane gosok mata dengan sapu tangan. Hati rasa geram sendiri. Kenapa Juna seolah-olah menjadikan kematian Milo itu perkara yang biasa? Hati yang remuk bertambah remuk.

"Kucing itu memang sudah tua juga. Kamu tahu satu perkara yang menarik tentang kucing?" Juna cuba mengalihkan perhatian Jane. Tidak suka melihat Jane yang asyik menyalahkan diri sendiri itu.

Jane jungkit sebelah kening. Apa?

"Kucing itu tahu bila waktu kematian mereka. Apabila waktunya semakin hampir, mereka akan pergi jauh daripada tuan mereka. Kamu pernah dengar?"

Jane geleng-geleng kepala. Mitos semacam apa itu? Tidak pernah pula dia dengar tentang perkara seperti itu.

"Saya bukan tidak bersedih, cuma saya tidak mahu berlebihan dalam meratapi perpisahan. Apabila masanya tiba, tidak ada yang dapat menunda, Jane." Sambung Juna lagi.

Jane diam. Tangisnya sudah mereda. "Kamu sudah biasa dengan perpisahan?" Soalan yang mengejutkan pemberi soalan. Tidak tahu kenapa soalan seperti itu boleh terbit dari bibirnya.

Juna pula hanya ketawa kecil. "Setiap kali saya bertemu dengan orang baru, atau dengan orang lama sekalipun, saya akan sentiasa mempersiapkan diri dengan perpisahan. Masa itu terlalu misteri, Jane."

Juna tiba-tiba menghulurkan sebungkus kecil coklat kepada Jane. Coklat yang sama yang diterima oleh Jane pagi tadi. Pipi rasa hangat semacam apabila mengingatkannya.

"Ubat kegembiraan untuk kamu.", kata Juna.

"Pagi tadi..." Jane ragu-ragu mahu meneruskan ayatnya.

"Itu memang dari saya."

Jeda.

Jane buka bungkusan ungu di tangan. Kudapan dimasukkan terus ke dalam mulut. Apabila mendengar itu dari bibir Juna, jantung tiba-tiba teruja semacam. Dia lipat sapu tangan kecil-kecil. Digenggam erat.

"Milo ditemui di mana?" Jane mengalihkan topik pembicaraan. Misteri yang banyak menghantui Jane sejak tadi. Walaupun dia tahu bahawa Milo mati lemas, dia masih ingin mendengar keterangan daripada Juna.

"Saya dan Saifuddin baru pulang dari kota. Ketika hendak menuju ke pondok, saya tertangkap objek putih sedang terdampar di pantai. Apabila kami mendekat, rupa-rupanya itu Milo." Bunyi koyakan bungkusan coklat kedengaran dari tangan Juna.

"Betapa terkejutnya kami berdua ketika itu. Melihat jasad kaku yang basah milik Milo." Sambung Juna.

Rasa bersalah kembali lagi. "Salah saya."

"Jane..." Juna menatap lembut gadis itu. "Berhenti menyalahkan diri sendiri atas sesuatu yang berlaku di luar kawalan kita."

"Itu satu-satunya pemberian ayah Saifuddin. Saifuddin pasti benci yang amat sama saya." Jane mengeluh lemah.

"Saya tidak mahu menipu, memang benar Saifuddin tadi marah besar. Itu satu-satunya tanda kebanggaan ayah Saifuddin terhadap Saifuddin."

"Maksud Juna?" Kening bertaut hairan.

"Kucing itu hadiah yang diberikan kepada Saifuddin atas keputusan peperiksaannya yang cemerlang. Sebelum ini, Saifuddin memang jarang, atau barangkali tidak pernah berada di kedudukan selain kedudukan pertama dalam kelas. Tetapi, bagi ayah Saifuddin, itu bukan pencapaian yang boleh dibanggakan memandangkan Saifuddin bersekolah di sekolah kampung.

Apatah lagi ketika itu, Saifuddin gemar benar singgah di Warung Pak Amit untuk bertemu dengan Juna yang sudah berhenti sekolah. Ayah Saifuddin memang melarang keras Saifuddin daripada bergaul dengan orang seperti kami."

"Tapi, kenapa?" Jane menyoal polos.

Juna senyum nipis. "Saifuddin itu orang berada. Ayahnya tidak suka dia berteman dengan orang yang tidak punya masa depan seperti saya." Ada nada sedih yang terselit di sebalik ayat itu.

"Pemikiran ayah Saifuddin ke belakang." Jane jadi geram sendiri. "Bagaimana dengan ibu Saifuddin?"

"Ibu Saifuddin meninggal dunia ketika melahirkan Saifuddin."

Senyap. Jane terkelu sendiri. Ingin mencubit mulut kerana terlalu gopoh bertanya.

"Kehilangan Milo sama seperti kehilangan tanda bahawa Saifuddin dahulu pernah membanggakan ayahnya." Nyata Juna. Tidak, dia bukan mahu menambahkan perasaan bersalah Jane. Itu jauh sama sekali tidak. Dia hanya mahu menerangkan kepada Jane sebab Saifuddin marah sungguh. Walhal, sebelumnya, Saifuddin bahkan pernah bercanda untuk memberi Milo kepada Jane.

"Tetapi, sebelum-sebelum ini kenapa Milo tidak dirawat rapi oleh Saifuddin? Jika sayang, kenapa dibiarkan?" Lesap terus perasaan bersalah Jane.

"Saifuddin itu... antara benci dan sayang sama ayahnya." Perlahan suara Juna menuturkan ayat itu.

"Aneh." Sepatah Jane menjawab. Membuatkan Juna ketawa kecil. Mudah benar jawapan Jane. Hilang sudah tangis. Itu bermakna strategi Juna berjaya!

Juna berdehem membetulkan anak tekak. Gadis nampak leka merenung langit senja. Matahari sudah menenggelamkan separuh dirinya.

"Kenapa menjauh?"

Jane kelip-kelip mata mendengarkan itu. Toleh kepala, wajah lelaki itu sudah semacam. Semacam berjauh hati.

"Maksud Juna?" Jane tidak faham.

"Beberapa hari yang lalu, setiap kali saya datang ke rumah, nenek bilang Jane suruh nenek beritahu Juna bahawa Jane sedang tidur." Suara Juna kedengaran kecil. Merajukkah?

Pipi Jane panas membahang. Nenek! Ya Tuhan, nenek kenapa begitu?! Jane seolah-olah mahu terjun dari atas bukit ini sekarang juga. Malunya!

Jane memintal sapu tangan. "Saya memang sedang tidur." Bohong Jane. Malangnya, Jane memang tidak pandai berbohong. Suara terketar-ketar sudah macam ada pistol sedang diacukan ke kepala.

"Jangan menjauh lagi. Kamu tidak suka berkawan dengan saya?" Lembut.

Jane geleng kepala pantas. "Saya suka dan senang berteman dengan kamu. Soalnya, kamu suka kasi saya gula-gula coklat." Jane tertawa halus. Berjaya menarik hujung bibir Juna.

"Milo pasti suka melihat pengasuh sementaranya gembira seperti ini."

"Tapi, Milo mati kerana kecuaian pengasuh sementaranya itu." Ah, rasa bersalah muncul lagi!

"Milo pergi kerana sudah waktunya. Sudah ketetapan hidup setiap yang bernyawa pasti mati, Jane. Tidak ada satupun yang mampu menidakkan fakta itu."

Setitis air mata mengalir lancar menuruni pipi. Teringat tentang bagaimana Milo suka berbaring di atas riba Jane, melingkar seperti bantal. Bulunya yang lembut masih terasa di tangan. Sayang, semuanya hanya tinggal kenangan. Milo sudah pergi. Sempat kepala menoleh ke arah tanah tempat Milo ditanam. Ada sekuntum bunga Melur yang Jane letakkan di atasnya tadi.

Senyap. Akhirnya, Jane hanya termenung memandang langit senja yang semakin indah warnanya. Awan mencampurkan warna putihnya dengan sinaran jingga dari matahari. Sebentar lagi, matahari pasti akan menenenggelamkan diri. Tinggal bulan yang akan timbul menjadi lampu suluh menerangi langit gelap. Ombak kecil menyapu pantai, membersihkan butiran-butiran halus pasir dari segala macam kotoran.

Burung layang-layang berterbangan mencari tempat untuk singgah sebentar. Hinggap atas wayar-wayar elektrik yang bersambung di seluruh pelosok kota. Lampu-lampu menyala gah, menyinari segala yang ada dibawahnya. Membuatkan jalan raya yang hampir tenggelam dalam gelap gulita terang semula.

Andai Milo masih hidup, pasti senang sekali mendengar suara miauan kucing itu.

Angin lembut menerpa, bermain dengan kain yang menyarungi kepala. Terasa diri diperhatikan, Jane berpaling. Tepat jangkaan, hujung bibir Juna naik sedikit. Jane hanya membalas senyuman itu.

"Langit senja yang indah."

Juna tertawa kecil.

"Jika ada yang lebih indah dari langit senja, itu senyum Mamak..." Mata dikalihkan merenung langit senja. Halkum bergerak naik turun.

"Dan senyum kamu, Jane."

Continue Reading

You'll Also Like

1.5K 107 13
Hannah Insyirah, seorang gadis muda ditugaskan untuk menulis artikel mengenai topik 'crush', satu tugasan buatnya sebagai seorang wartawan junior. M...
931K 12.6K 14
Berawal usia 26 tahun, dia telah menjadi janda. Janda tapi tiada anak. Diceraikan oleh bekas suaminya kerana lelaki itu punya pilihan hati sendiri. A...
73.8K 7.4K 41
Dua pekerjaan yang sangat mencabar. Jika lalai seminit, banyak nyawa yang terkorban. "Tuan ingat muka Tuan kacak sangat?" Gaduh. Gaduh. Gaduh. Ada...
104K 4.5K 30
πŸ₯€π’΅π“Žπ’Άπ“ƒ ℛ𝒢𝒻𝒢ℯ𝓁 x π’œπ“π“Žπ’Ά π’¬π’Άπ’Ύπ“ˆπ’Άπ“‡π’ΆπŸ₯€ _ℛℯ𝓁𝒢 π’¦π“Š π’Ÿβ„―π“‡π’Ύπ“‰π’Ά π’Ÿβ„―π“‚π’Ύ ℳℯ𝓁𝒾𝒽𝒢𝓉 β„³π“Š β„¬π’Άπ’½π’Άβ„Šπ’Ύπ’Ά_ Disatukan tanpa kerelaan hati.Itu...