MR PIRATE

By CIK_ZALIKHA

3M 271K 56.3K

"Siapalah engkau agaknya Mr Blue?" Tindakan seorang jejaka misteri yang menyelamatkan nyawanya daripada mati... More

PROLOG
BAB 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
BAB 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
bab 13
Bab 14
Bab 15
Bab 16
Bab 17
Bab 18
Bab 19
Bab 20
21
22
23
24
25
26
27
28
29
30
31
32
33
34
35
36
37
38
40
41
42
43
44
45
46
47
48
49
50
51
52
53
54
55
56
57
58
59
60
61
62
63
64
65
66
67
68
69
70
71
72
73
74
75
76
77
78
79
80
81
82
83
84
85
86
87
88
89

39

29.4K 2.7K 443
By CIK_ZALIKHA

                  "YES!" Bebas. Dia sudah bebas. Sebaik sahaja ikatan tali dileraikan, Husna menggeliat membetulkan urat badan. Kemudian pandangan dihalakan kearah Lanun yang sedang menggulung tali itu membentuk bulat, sebelum di bawa ke kabinet untuk menyimpannya. Bagus! Kalau boleh, buang terus tali itu pun tak apa.

"Jangan nak seronok sangat. Selepas ini, kalau aku dapat tangkap kau buat kerja gila lagi, jangan kata ikat. Aku siap kurung kau dalam stor kecil yang ada di belakang rumah ni. Dengar cerita... ada banyak kawan-kawan kau dalam tu. Lipas, tikus, cencurut... tak adalah kau bosan sangat, kan? Selepas aku aku seksa kau dengan makan ikan setiap hari. Biarkan kau kurus kering, sampaikan bapak kau sendiri tak cam yang kau anak dia!" Ujar Lanun memberi amaran sambil dia menapak kembali ke arah Husna yang duduk di lantai. 

Bibir Husna mencebir. Anak mata hitamnya naik memandang Lanun dengan muka cemberut. Kacau saja! Dia baru terdetik untuk buat plan B. Akan tetapi selepas mendengar amaran Lanun, niat itu terus hancur lebur. Dia tahu lelaki itu tak pernah bermain dengan kata-kata.  Kalau dicabar, dia akan buat sungguh-sungguh. 

Haih, tak boleh bayang jika dirinya dikurung di dalam stor sempit itu. Ditemani pula haiwan dan serangga perosak. Dan baunya pula... Ergh! Tubuh Husna menggeliat geli.

Tak nak!

"Sampai hati awak nak seksa saya sampai ke tahap itu sekali. Kalau saya tahu, saya takkan minta maaf! Lelaki macam awak ni langsung tak reti beri belas kasihan terhadap perempuan.  Malang sungguh nasib bakal isteri awak, tiap-tiap hari akan kena ikat sebab dapat suami yang jenis nak ikut cakap sendiri sahaja!" Sinis Husna. Dia memeluk tubuh lalu berpaling memandang ke lain.

Malahan Lanun sekadar tersenyum sumbing sebelum melabuh punggung di hadapan wanita itu. Wajah Husna yang berpaling darinya dipandang.

"Kaulah bakal isteri aku tu. Nak aku ingatkan kau ke? Wahai koupusanku..."
Sengaja Lanun meleretkan suaranya dengan penuh manja. Kepala diteleng sedikit, menjenguk melihat muka Husna yang berkerut kegelian mendengar gelaran itu. Dalam hati sudah ketawa mengekek. Seronok pula menyakat minah yang seorang ini.

Husna mendengus. Dia kembali menoleh ke arah Lanun, membalas renungan lelaki itu dengan tajam.

"Saya tak berminat dengan gelaran dusun awak tu! Jadi simpan sajalah untuk perempuan lain. Dan lagi satu, kenapa awak pandai-pandai bagitahu Mondu yang saya ni adalah isteri awak? Tak ada alasan lain ke?" Soal Husna, sekaranglah masanya untuk dia mengasah bakat membebel semula.

"Kalau aku cakap kau orang kampung aku, sah-sah si Mondu tu takkan percaya. Dengan cara kau bercakap pun, dah terang lagi bersuluh bukan orang sini. Jadi tidak mahu tidak, aku terpaksa beritahu yang kau isteri aku."

"Tapi benda itukan lagi membahayakan nyawa saya? Awak tak pernah tengok movie atau drama ke? Kalau musuh tahu yang hero tu ada kekasih, pasti dia akan target untuk culik kekasih tu untuk ugut si hero pula. Oh lupa, dekat sini mana ada TV kan? Sudah tentu awak tak tahu semua tu." Kata Husna, sempat lagi mengejek Lanun dihujung ayat.

Bahkan, bibir Lanun menyenget sinis. Siapa kata dia tidak tahu semua itu? Malah terlebih tahu. Memang besar risikonya jika identiti keluarga seseorang tersebar ke telinga musuh, dia langsung tak menafikan andaian Husna. Boleh jadi juga Mondu sedang memikirkan tektik kotor untuk mengugut dia sekarang. Akan tetapi Husna mungkin lupa sesuatu...

Dia membongkokkan sedikit tubuh. Bola mata hitam milik Husna ditenung sedalam-dalamnya sebelum dia berkata,

"Aku ni Lanun, Husna. Seorang Lanun takkan sesenang itu biarkan barang berharta miliknya dirampas. Andai kata musuh bawa lari harta kesayangannya jauh sampai melepasi sempadan sekalipun, bot atau kapal dialah yang akan membelah lautan pada waktu itu. Merempuh segala badai laut yang menjadi penghalang, demi mengejar satu-satunya harta yang dia paling sayangi."

Kemudian jari terlunjuk Lanun naik menunding kearah Husna bersama satu senyuman.

"Dan sekarang, kaulah harta karun aku."

Dup!

Jantung Husna berdetak keras. Kata-kata Lanun merentap tangkai hatinya. Tiba-tiba lidah terasa kelu untuk berbicara. Aduh, kenapa dia perlu rasa perasaan begini? Itukan cuma perumpamaan dari Lanun?

Kemudian, posisi duduk Lanun kembali tegak. Kedua belah tangan elok menyilang ke tubuh. Bibirnya tersenyum senget tatkala menyedari tona wajah kuning langsat milik Husna mula bertukar kemerahan, tak dapat diselindungkan.

"Makanlah mi bandung kau tu. Nanti dah sejuk tak sedap." Ujar Lanun, langsung dia menukar topik. Memuncung bibir menunjuk ke arah semangkuk mi bandung yang berada ditengah antara mereka.

Husna angguk kepala.

"Nak makanlah ni..." Husna tunduk memandang mi bandung itu. Namun tidak pula tangannya bergerak mencapai sudu dan garfu. Membuatkan Kening Lanun berkerut pelik melihatnya. 

Apa yang Husna tenungkan? Sesekali Lanun mengintai mi bandung yang tidak disentuh, manalah tahu ada lalat masuk ke apa sehingga wanita itu diam. Tak bergerak. Namun, tiada pula. Kemudian, Lanun tunduk melihat kedua belah tangannya pula. Atau Husna sedang tunggu suapan dari dia? Yalah, tadi diakan yang suap Husna dek kerana tubuh wanita itu terikat.

Lantas Lanun kembali melangut wajah memandang Husna yang masih menanti sesuatu.

"Kau... tak tunggu aku tolong suapkan, bukan?"

"Huh?!" Husna tersentak dengan soalannya. Terus kepala mendongak memandang Lanun. Mukanya makin merah. Rasa mahu diketuk kepala sendiri. 'Aduh! Kenapa aku kena tunggu Lanun capai sudu dan garfu tu? Bukannya tangan aku masih terikat pun!' Kutuk Husna di dalam hati. Gelabah dia mencapai sudu dan garfu di dalam mangkuk itu.

"Ma... mana ada! Jangan nak perasanlah, saya rela makan dengan tangan sendiri!" Terus mi bandung itu disuap ke dalam mulut. Wajah Lanun tidak dipandang saat ini. Termalu sendiri.

Kepala Lanun tergeleng-geleng.  Ada sahaja si Husna ni...

"Lanun!"

Tiba-tiba kedengaran suara lelaki terjerit-jerit menyeru nama Lanun dari luar. Semerta, pandangan Lanun beralih ke arah pintu rumahnya yang ternganga.  Kening berkerut. Siapa pula yang datang?

"Kau makan dulu. Aku nak tengok siapa yang datang."

Husna mengangguk. Dia hanya teruskan suapan seperti biasa. Membiarkan Lanun bangun menuju ke pintu menjenguk siapa diluar.

Sebaik sahaja tiba dipintu, dia lihat Pak Osman, jiran kepada Odu sedang terbongkok di hadapan tangga rumahnya sambil sebelah tangan menopang pada kayu. Mukanya berpeluh, nampak lelah. Dalam masa yang sama, ada riak cemas yang terpapar diwajah orang tua itu. Tanpa menunggu lama,  Lanun melajukan langkah menghampiri Pak Osman.

Tak tahu mengapa dia juga turut berdebar. Lantas bahu Pak Osman disapanya, Lanun tunduk sedikit wajah melihat muka keresahan orang tua itu.

"Kenapa ni Pak Osman?" Soal Lanun,  penuh kerisauan.

Orang tua itu masih tersekat-sekat menyedut nafas akibat kepenatan berlari. Air liur juga ditelan berkali-kali. Tangannya menggeletar menunjuk ke satu arah, yang pastinya jalan itu menuju ke rumah Odu. Pasti ada sesuatu yang buruk berlaku kepadanya. Hati Lanun makin gelisah.

"Odu..."

"Kenapa dengan Odu?!"

"Od... Odu dia tergelincir masa mau masuk bilik air tadi. Waktu sa sampai rumahnya, dia tak sedarkan diri. Mungkin pengsan kerana ada terhantuk dimana-mana."

"Astaghfirullah hal Azim..." sebelah tangan Lanun meraup wajah. Jantungnya makin berdegup laju. Ah, dia harus pergi melawat Odu sekarang!

"Terima kasih Pak Osman kerana beritahu. Sa pergi sana sekarang juga!" Lantas Lanun berlari masuk ke dalam rumahnya semula. Sampai dipintu, matanya terus terhala ke arah Husna yang sedang mengupas kulit udang. Dia langsung menerpa ke arahnya, lengan Husna yang berlapikkan kain baju itu terus ditarik.

Husna terpinga-pinga.  Kepala terus mendongak memandang Lanun dengan muka tangan tanya. Spontan udang yang dipegang terlepas dari tangan. Tidak sempat hendak disua ke mulut.  Dia terus berdiri.

"Eh, apa ni pegang-pegang?! Lepaslah! Saya nak makan!"

"Ikut aku, kita pergi rumah Odu!" Tanpa menunggu balasan dari mulut Husna, lengan baju wanita itu terus ditarik memaksa mengikutnya.

Sedangkan Husna masih lagi sesat tidak faham apa yang Lanun cuba sampaikan.
Sekilas dia menoleh ke belakang, sempat lagi memandang mi bandung yang masih belum habis dimakan. Buat penat dia sahaja kupas semua kulit udang itu untuk dimakan waktu akhir-akhir nanti, tetapi Lanun pula menariknya pergi.

"Kot iya pun, bagilah saya suap satu udang dulu..." Husna merungut. 

Setiba ditangga, Lanun terus menyarung kasut. Selipar biru milik Husna yang tersorok di belakang tangga diambil lalu diletakkan di hadapannya.

"Pakai!"

Husna tunduk seketika melihat selipar biru itu. Eh, tak silap dia... selipar sebelah kanan itu sudah tercabut. Tak sangka dah diperbetulkan semula.

"Kau tengok apa lagi? Pakailah. Nak cepat ni!"

"Ish, yalah! Yalah! Nak pakailah ni. Gelabah mengalahkan perempuan..."

Setelah memastikan Husna memakai selipar, terus mereka sama-sama menuju ke rumah Odu. Makin lama, makin laju langkah Lanun. Tanpa sedar, Husna pula yang sedang termengah-mengah cuba mengikut langkahnya dari belakang.











"ADUH! Aduh! Cukup Lanun. Sakit..." rungut Odu dengan muka berkerut menahan kesakitan saat tangan Lanun mengurut pada kaki kanannya yang terseliuh. Dah tak boleh ditahan lagi, saat Lanun menekan jarinya pada bahagian buku lali itu terasa berdenyut hingga ke segenap urat. Rasa macam nak tercabut. Jadi, cepat-cepat Odu meminta untuk Lanun berhenti mengurut.

Melihat Odu yang terbaring di atas tilam dengan muka pucat membiru menahan kesakitan, maka Lanun menghentikan urutan. Dia menjauhkan tangan. Minyak sapu ditutup. Kemudian kain putih yang berada di sebelah dicapai, dibalut pada bahagian lebam tadi.

Husna yang duduk disisi Lanun sekadar menjadi penonton. Dia terpaku sejenak melihat cara Lanun mengurut serupa seorang profesional.  Kalau dapat tahu dekat ayah, pasti ayah suka nak buat si Lanun ini jadi menantu. Maklumlah, ayah itu selalu sakit-sakit badan. Detik hati Husna.

"Macam mana Odu boleh jatuh ni? Lihat pada kesan lebam itu, teruk juga. Kalau nak diikutkan, kena urut lagi." Ujar Lanun. Dia memandang Odu.

"Biasalah, Lanun. Odu ni sudah tua. Jatuh sikit pasti terseliuh. Lainlah orang muda macam ko dan Husna. Tulang masih kuat." Balas Odu.

Lanun dan Husna hanya diam. Kemudian, Odu tunduk sedikit melihat kakinya yang berbalut.

"Ko rasa Lanun, kalo Odu mau kerja esok boleh ka?" Soal Odu, dia memandang Lanun.

Pantas Lanun menggeleng kepala. Sebelum Odu berniat untuk bekerja dengan kaki sakit begitu, lebih baik dia menghalang.  Takut-takut, lebam biru pada buku lali itu makin merebak. Nanti timbul pula sakit lain yang lebih teruk.

"Tak boleh, Odu. Kalau tengok lebam seperti itu, mahunya seminggu tak boleh buat kerja berat. Odu kena rehat. Mungkin sebab jatuh ni pun kerana Odu terlalu penat bekerja. Cukuplah, Odu dah tua... tak sepatutnya kerja lagi."

"Mana boleh begitu Lanun... kalo odu endak kerja. Siapa mau jual ikan, ketam, udang dan buah kelapa Odu tu semua? Kalau dibiarkan lama-lama nanti rosak, endak boleh dimakan lagi." Ujar Odu, hasil tangkapan pagi tadi pun banyak. Sayang jika tidak dijual dan dibiarkan membusuk. Malah, cuma itu sahaja sumber rezeki yang ada untuk menampung makan minumnya. Sehari tidak bekerja pun dia sudah susah untuk mencari makan, apatah lagi berhari-hari?

"Endak apa, Odu. Odu bilang sija pada Lanun berapa harga semua tu. Biar Lanun yang bayar." Kata Lanun, siap menepuk dada menandakan dia benar-benar mahu menolong Odu dengan ikhlas. Kata sahaja berapa, sekarang juga dia boleh turun ke darat, mengeluarkan sejumlah wang yang Odu perlukan.

Namun, orang tua itu menggeleng tidak mahu. Dia tahu niat Lanun baik, hendak dia berehat daripada bekerja. Tetapi, jumlah haiwan laut yang dibeli bukannya sedikit.

"Odu endak mau duit ko, Lanun. Odu mau duit hasil kerja sendiri. Bukan dengan cara mudah begini. Mungkin sekejap sija sakit lebam itu. Malam nanti eloklah dia..."

"Haish, Odu... jangan degil boleh tak? Kalau Odu masih berkeras macam ini, lebam itu makin teruk. Silap hari bulan, Odu sampai tak boleh nak jalan." Kata Lanun dengan nada tegas. Kenapalah Odu ni degil sama seperti Husna? Atau sememangnya lumrah seorang wanita mahu melakukan apa yang mereka inginkan tanpa mempeduli hal lain?

Nasib sahaja Odu sudah tua, kalau tidak mungkin akan kena ikat sama-sama dengan Husna semalam kerana berdegil.

Odu terdiam seketika. Matanya melihat ke bawah. Kalau Lanun dah cakap macam itu, tiada gunanya jika dia melawan. Kalau sakit ini makin melarat, tidakkah lagi susah dia mahu bekerja?

"Habis siapa yang mau jual barang itu semua? Odu tiada cucu disini, atau sedara mara yang boleh tolong jual. Hendak harapkan jiran pun, dia juga ada kerja sendiri." Keluh Odu.

"Odu inikan..."

Lanun menghembus nafas perlahan. Nampaknya, Odu tetap nak menjual tetapi bukan kepada dia seorang. Buat sejenak Lanun diam memikirkan cara, anak mata melilau ke segenap rumah yang ruangannya sederhana. Konon mencari idea yang bernas untuk dicadangkan kepada Odu.

Sebaik sahaja dia menoleh memandang Husna yang duduk disisi. Tiba-tiba otaknya dijentik satu idea. Bibirnya tersenyum.  Kenapalah aku tak terfikir daripada awal?

Terus pandangannya dialihkan ke arah Odu semula.

"Husna ada. Dia sudi bantu Odu jual ikan-ikan tu."

"Huh?!" Terkejut bukan kepalang Husna saat terdengar kata lelaki itu. Terus dia memandang Lanun disebelah. Bibir mengetap geram. Kurang asam! Menyesal sungguh dia minta maaf. Kalau tubuhnya masih terikat sekarang, mungkin dia selamat daripada semua ini. 

"Bi... bila masa saya..."

"Odu jangan risau, esok pagi kami datang ke rumah Odu. Ambil mana yang Odu mahu jual. Segala duit hasil jualan, ambil saja kepada Odu. Kami tak mahu satu sen pun." Ujar Lanun, pantas sahaja memotong bantahan Husna.

"Betul ka Husna? Ko sanggup buat begitu demi Odu?" Soal Odu, dia memandang Husna dengan wajah terharu.

Husna kaku. Tidak punya jawapan. Pabila melihat ke mata Odu yang mula berkaca, buatkan hatinya rasa berat untuk menolak. Sekilas dia menoleh ke arah Lanun, lelaki itu juga menunggu jawapan daripadanya.

Haish, ini semua salah Lanun! Pandai-pandai sahaja cakap yang dia hendak tolong. Tengok, sekarang dia nak tolak pun rasa tak sanggup. Dan kemudian, Husna mengeluh kecil. 

Wajah Odu kembali dipandang. Dipaksa bibir untuk terus tersenyum, biarpun dalam hati masih geramkan Lanun.

"Ya, Odu. Biar kami yang tolong jualkan ikan-ikan tu nanti." Ucap Husna.

Terus bibir Odu melebar senyuman. Dia rasa tersentuh sangat dengan niat baik Husna. Tak sangka gadis yang baru dikenali beberapa hari itu sanggup turun padang menjual hasil tangkapannya. Hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas jasa baik dua orang insan ini.

Lantas, tangan Odu meraih lembut tangan Husna yang berada diatas paha lalu digenggam. Bebola mata Husna ditenung dalam-dalam.

"Ko memang wanita yang baik Husna. Bertuah siapa yang dapat menjaga ko nanti."

Continue Reading

You'll Also Like

7.6K 375 100
• B O O K 2 • it's all about facts and quotes about feeling . malay and english fact / quotes comment ? ✔️ vote ? ✔️ start : 15 Nov 2020 end : 01...
292K 31.9K 29
in which i found pure happiness in you. - forever, till death do us apart. [ highschool : au ] warning - lots of fluff, geram, butterflies, cringe...
2.2K 186 28
-Haider Fahreen- Seorang jejaka yang popular di sekolahnya dan handal dalam bermain badminton. Juga bagus dalam akademik dan mendapat Top 1 serta men...
16.6K 1.7K 42
Ahli sihir yang namanya dilupakan. Itulah dia. start : 20/03/30 end : 20/05/12