MR PIRATE

By CIK_ZALIKHA

3M 271K 56.1K

"Siapalah engkau agaknya Mr Blue?" Tindakan seorang jejaka misteri yang menyelamatkan nyawanya daripada mati... More

PROLOG
BAB 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
BAB 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 11
Bab 12
bab 13
Bab 14
Bab 15
Bab 16
Bab 17
Bab 18
Bab 19
Bab 20
21
22
23
24
25
26
27
28
29
31
32
33
34
35
36
37
38
39
40
41
42
43
44
45
46
47
48
49
50
51
52
53
54
55
56
57
58
59
60
61
62
63
64
65
66
67
68
69
70
71
72
73
74
75
76
77
78
79
80
81
82
83
84
85
86
87
88
89

30

29.2K 2.3K 328
By CIK_ZALIKHA

KAD berwarna hitam itu ditekap ke pintu. Kunci automatik terbuka sebaik sahaja dapat diakses. Tak tunggu lama, pintu terus ditolak lalu dia pun melangkah masuk ke dalam. Dia sendiri tidak pasti mengapa Tuan Nathan mengarahkan dia untuk ke sini. Katanya ada seseorang hendak berjumpa berbincang tentang sesuatu, maka dia hanya menurut.

Dan sekarang, dia telah pun berada di bilik yang agak luas. Antara bilik paling mahal di Ocean Resort, ada pintu khas yang membolehkan pelancong turun sendiri ke laut. Ada jetski disediakan. Kalau tubuh berasa sejuk kerana mandi air laut, boleh masuk ke dalam kolam mini jakuzi yang berada di sebelah kanan bilik. Seluruhnya nampak kemas tak terusik.

Langkah diberhentikan sebaik sahaja melihat lelaki yang duduk dibirai katil membelakanginya. Sedang menghadap ke arah pintu balkoni yang sengaja dibiarkan ternganga, menampakkan pemandangan laut dari luar.

"Tuan Dika ke yang nak jumpa saya?" Soalnya. Ada getar. Dia pun tak tahu mengapa hatinya tiba-tiba berdebar resah. Namun dia cuba beranikan diri juga untuk kekal berdiri disitu

"Nama kau Zaim?" Garau suara Raf menyoal. Dia tidak menoleh ke belakang. Akan tetapi masih menanti soalannya dijawab.

Dengan perlahan Zaim angguk kepala.

"Ya, saya Zaim."

"Kau yang bawa bot malam itu, kan?" Tanpa banyak bicara, Raf teruskan kepada topik sebenar. Dia sudah tiada masa hendak berdalih. Hari pun hendak semakin gelap. Lagi beberapa jam sahaja matahari yang terpacak dilangit biru itu akan terbenam ke dasar bumi. Jadi, tidak boleh berlengah lagi.

Manakala Zaim pula kelihatan terkulat-kulat mahu menjawab. Sekejap bibirnya terbuka ingin bersuara, namun disaat anak mata tidak sengaja mencerun ke arah sebelah tangan Raf yang sedang melilit kain bandana merah pada telapak tangan kiri, terus bibirnya kembali tertutup. Takut hendak membuat pengakuan. Dikepala sudah terbayang nasib yang bakal menimpa tak lama lagi.

Ya Tuhan, selamatkanlah dia...

Zaim telan air liur. Gugup. Dia mahu berundur, dan kalau boleh lari selaju mungkin daripada bilik ini. Akan tetapi, kedua belah kakinya terasa terkunci. Seolah-olah ada magnet kuat yang menarik dari bawah sana. Sukar untuk dia mengangkat sebelah kaki sekalipun.

"Kenapa senyap? Tadi bukan boleh bercakap ke? Takkan tiba-tiba jadi bisu?" Raf menyoal penuh sinis. Dia akhirnya bangkit dari birai katil setelah kain ditelapak tangan kiri terikat dengan kemas. Cermin mata hitam yang dipakai ditanggalkan sebelum ditaruhkan ke atas meja sisi katil.

Tubuh memusing menghadap Zaim.

Buat sejenak, Mata Zaim membulat. Dia kaku pabila terpandang sepasang iris yang tak pernah terlihat sebelum ini. Keajaiban Tuhan yang buatkan dia terpukau dalam masa beberapa saat. Namun, sekarang bukanlah masa yang sesuai. Tubuhnya tetap saja menggigil tatkala sepasang mata itu merenungnya dengan tajam.

"Berapa dia bayar kau?" Soal Raf, kedua-dua belah tangan mencekak pinggang. Sambil kaki menapak selangkah demi selangkah menghampiri Zaim.

"Ba...bayar apa, Tuan?" Zaim buat-buat tidak tahu. Bibirnya mungkin saja boleh menipu, akan tetapi tidak pada riak wajahnya yang jelas berubah pucat.

"Dalam masa sekarang pun kau nak buat bodoh depan aku?"

"Ma... maaf, Tuan. Tapi saya tak faham apa yang Tuan cuba maksudkan sekarang."

"Betul kau tak faham?"

Zaim angguk kepala. Berbohong kepada diri sendiri.

Wajah Raf kekal tak beriak. Walhal dalam hatinya sudah berkecamuk dengan rasa amarah yang meluap-luap ingin keluar. Sedaya-upaya dia menahan diri daripada hilang kawalan. Bahkan melihat muka polos Zaim cuba menipunya pada waktu yang salah, lagilah buatkan dia bertambah bengang dan rasa tercabar. Bawah dagunya yang licin itu digosok-gosok perlahan sambil kepala terangguk begitu mengejek.

"Tak tahu ya..."

Tanpa semena-mena, tangan berbalut kain merah itu melayang tepat ke muka Zaim. Kuat sehingga tubuhnya melayang ke katil bersaiz King itu. Tak sempat dia hendak memaling muka memandang Raf, satu lagi penumbuk hinggap ke pipinya. Darah yang mengalir dari bibir menitis mengena pada comforter putih itu. Rahang terasa kebas. Bibir berdenyut-denyut pedih.

"Kau ingat aku bodoh ke huh?!" Jerit Raf sekuat-kuatnya, kolar lelaki itu dicengkam kasar ditarik menghadap wajahnya yang tegang.

"Aku nampak apa yang jadi malam itu! Aku nampak yang perempuan tua tu tolak dia jatuh daripada bot dan aku nampak yang kau buat-buat tak endah sewaktu anak dia minta tolong kau selamatkan dia! Kau fikir aku buta, huh? Apa yang kau fikir waktu tu sampai otak kau sanggup jadi bengap macam ni? Sebab duit? Huh?" Gigi Raf mengancing, garang. Seluruh tubuhnya menggeletar marah.

"Ma...maafkan saya, Tuan..."

"Maaf?" Tak sedar bibir Raf menyenget sinis. Mahu tergelak pun ada apabila lelaki itu baru sedar salahnya sekarang.

"Senang sungguh kau minta maaf dengan aku ya? Kalau perempuan itu mati macam mana?! Siapa yang bak bertanggungjawab? Kau rasa maaf kau berguna lagi ke waktu itu huh? Duit yang kau dapat itu pun bukannya boleh teman kau sampai ke mati!"

"Sa... Saya tahu, Tuan. Saya cuma terdesak..."

"Terdesak? Kau ni memang..."

Kepala Raf berdenyut kuat. Seperti mahu meletop tengkoraknya kerana menahan amarah yang membuak-membuak. Mendengar alasan kolot yang diberikan lagilah dia rasa berang. Penumbuk yang sejak tadi tersedia, sekali lagi berdesup keras ke dagu Zaim. Terngadah lelaki itu bersama erengan penuh kesakitan.

"Banyak lagi cara untuk kau dapatkan duit, kenapa dengan cara ini juga yang kau pilih?! Alasan kau tu cuma manusia bodoh sahaja yang akan guna. Jenis nak cepat banyak duit tapi langsung tiada usaha. Baik kau ni tak payah hiduplah dekat muka bumi ni!" Terus tubuh Zaim dihempas kasar ke katil.

Jika diikutkan nafsu amarahnya, hendak sahaja dia memukul lelaki itu sehingga lumat. Namun apabila mengingatkan Zaim itu juga manusia, punya keluarga maka terpaksalah dia menenangkan diri sendiri. Memupuk sabar agar tidak bertindak keterlaluan. Berkali-Kali Raf menarik dan menghembus nafas agar jiwanya tenang.

Sesekali dia meraup rambut putihnya ke belakang. Bibir tak berhenti beristighfar, menghalau segala hasutan syaitan yang berbisik jahat ditelinganya.

Ya Tuhan, maafkan aku kerana ikutkan nafsu kali ini...

Mata dipejam. Meminta keampunan.

"Kau dengar sini..." Raf menoleh semula memandang Zaim setelah amarah di dadanya sedikit reda. Sepasang mata itu masih menikam dengan tajam.

"Aku bagi kau tempoh, kau fikir balik apa yang kau buat ini betul atau salah. Kalau kau manusia, ada akal dan fikiran... aku nak kau pulangkan balik duit perempuan tua tu dan mengaku kesalahan kau kepada Tan Sri Raqib." Arah Raf dengan nada tegas.

Zaim hanya diam tak bersuara. Bibirnya masih lagi sakit. Kepala menekur ke bawah. Tak berani hendak bertentangan mata dengan lelaki itu.

"Tapi kalau kau degil juga. Kau lebih sayangkan duit itu daripada nyawa kau sendiri, kau tunggulah... aku balik sahaja di Ocean Resort ni, dan aku akan cari muka kau dahulu. Waktu itu aku takkan peduli apa sekalipun alasan kau, aku takkan fikir pun kau ada keluarga atau tidak... aku akan campakkan sahaja tubuh kau ke laut sama seperti mana kau tengok perempuan itu tercampak di Red Zone. Kau faham?!"

"Faham, Tuan..." Zaim bersuara lemah. Tak berdaya hendak melawan kata-kata lelaki itu.

Satu nafas dihembus kasar. Lilitan kain merah ditangan dibuka semula. Biarpun berlapik, kesan lebam biru masih terkesan pada buku lima belakang tangan Raf. Jelas tumbukan yang dihadiahkan tadi bukannya perlahan. Dia juga merasakan sakitnya. Apatah lagi si Zaim yang menjadi mangsa penumbuk itu, mungkin dua kali ganda perit yang ditanggung.

Raf kembali menuju ke meja. Mengambil cermin mata hitamnya semula lalu dipakai.

"Aku harap kau fikir baik-baik apa yang aku cakapkan tadi. Aku tak pernah bermain dengan kata-kata aku sendiri. Kalau kau memang nak rasa hidup ditengah lautan tanpa makan dan minuman, cubalah... aku akan tunaikan secepat mungkin." Ujar Raf, meninggalkan amaran keras. Jika lelaki itu masih menyanjung ego, tahulah apa nasib yang bakal menimpa. Dia. Takkan sesekali biarkan Zaim terlepas. Menyoroklah dicelah mana sekalipun, dia akan cari sampai ke lubang cacing.

Tanpa berkata apa lagi, Raf terus melangkah keluar daripada bilik itu. Membiarkan Zaim yang masih terduduk di atas birai katil. Sekejap kepala Raf mendongak ke langit. Hari dah nak senja. Dia kena cepat. Nanti lewat pula tiba di kampung. Entah apalah Husna sedang buat sekarang, harap-harap wanita itu duduk sahaja di rumah. Tak keluar merayau ke mana-mana.

Langkah dipercepatkan menuju ke jeti. Sambil kepala menunduk ke bawah, mengikat semula kain bandana merah itu ke kepala dengan kemas. Tanpa semena-mena, bahunya melanggar seseorang. Kuat juga. Sehingga dia dapat menangkap suara itu mengaduh sakit.

"Aw!"

"Sorry. Saya tak sengaja." Raf menundukkan sedikit tubuh, memohon maaf. Sebaik sahaja wajah diangkat memandang orang yang dilanggar tadi, dia terpempan sejenak. 'Rasanya macam pernah lihat.' Bisik hati Raf. Matanya mengecil disebalik kaca mata, cuba untuk mengamati betul-betul. Dalam masa yang sama, otak juga laju memproses data. Pernahkah dia terserempak dengan wanita itu?

Oh, ya!

Mata Raf terbuka luas kembali. Tidak silap, dia pernah jumpa wanita ini di bangun korporat milik bapanya. Siap dengan gelaran penghantar makanan lagi dia dipanggil.

"Awak ni... pekerja ayah saya, bukan?" Soal Raf, sekadar ingin memastikan.

"Ayah? Manalah saya kenal ayah encik siapa." Balas Mia. Bahu yang terasa sakit diurut-urut perlahan.

"Tan Sri Raqib. Itu ayah saya."

Mia ternganga. Sekejap! Lelaki ini... Anak sulung Tan Sri Raqib ke? Buat seketika anak mata Mia bergerak memerhati tubuh lelaki itu dari hujung kaki hingga ke hujung rambut putihnya. Jadi inilah...

"Andikha Rafael?"

Raf angguk kepala mengiyakannya. Terus tangan Mia naik menekup mulut yang terlopong. Macam tak percaya. Akhirnya dia dapat juga bertembung dengan anak sulung Tan Sri Raqib. Entah mengapa payah benar dia hendak terserempak dengan lelaki ini, baru sekarang dia dapat melihat. Wah, betullah apa orang kata... abang selalunya lebih kacak daripada adik. Manakala penampilan si adiknya pula lebih memukau berbanding abang. Apa-apa pun, dimata Mia, tetap cuma Nathan yang bertakhta dihati. Tiada yang kedua.

Setia itu kunci utama!

"Awak... kawan Husna, bukan? Rasanya saya pernah nampak awak keluar berdua dengan dia." Soal Raf. Kedua belah tangan diseluk ke dalam poket seluar apabila dia terasa dingin ditiup angin laut.

Mia angguk laju.

"Haah. Saya memang kawan baik dia pun." Balasnya.

"Tidur sebilik dengan dia?"

Mia angguk lagi.

"Pakaian Husna ada dalam bilik awak?" Tanya Raf lagi.

Kali ini kening Mia mula berkerut. Tidak pula mengangguk. Dah jauh sangat soalan lelaki itu. Kenapa tanya tentang pakaian Husna pula? Bukankah itu privasi. Kalah benar pun pakaian Husna berada di biliknya, hendak buat apa?

"Kenapa tanya pasal pakaian dia?"

"Saya nak tudung dia. Satu pun jadilah."pinta Raf. Ada rayuan dihujung kata.

"Nak buat apa? Husna bukan ada di sini."

"Sebab dia tiada dekat sinilah, saya minta tudung dia. Saya nak bawa balik."

Mulut Mia ternganga. Tak sangka apa yang baru dia dengar keluar daripada mulut anak lelaki Tan Sri Raqib. Mengambil kesempatan dalam kesempitan! Pasti lelaki itu mahu buat sesuatu yang terkutuk dengan tudung milik Husna. Dasar pervert! Dia benci sungguh dengan lelaki seperti ini.

"Ya Allah, Encik Dika... saya tak sangka Encik Dika macam ini." Mia mengucap. Tangan dibawa ke dada.

Sedangkan dahi Raf berlapis memandang Mia yang tiba-tiba berubah riak. Dia ada salah cakap ke tadi? Rasanya dia cuma minta sehelai tudung, bukan minta sepaket dadah pun untuk diberi kepada Husna di kampung.

"Mana boleh Encik Dika minta barang perempuan sesuka hati. Benda itu salah tau! Walaupun kawan saya itu tiada disini, saya tetap takkan bagi barang dia kepada sesiapa pun! Lebih-lebih lagi kepada lelaki. Kalau Tan Sri Raqib tahu yang anak dia gatal, mesti dia sakit jantung! Apatah lagi Encik Dika ini anak sulung, sepatutnya tunjuk contoh yang baik kepada..."

Haih, malas betul dia hendak mendengar bebelan panjang lebar begini. Patutlah jadi kawan rapat si Husna. Sama juga mulut murai macam minah di kampung itu. Anak mata dijuling ke atas bersama keluhan menyampah. Lantas, telefon canggih dikeluarkan dari poket seluar. Gambar Husna yang dijadikan wallpaper skrin utama itu dihalakan kepada Mia. Tak perlu dia cerita lagi, cukup Mia lihat sendiri gambar yang terpapar itu sebagai jawapan. 

Bibir yang membebel serupa kereta api itu terus sahaja berhenti. Mata berkelip-kelip serupa tak percaya. Sesekali Mia memisat bebola matanya. Dan kemudian kembali menatap skrin telefon itu. Biar betul? Masih lagi tak percaya, tanpa izin dia merampas telefon canggih milik Raf untuk melihat dengan lebih dekat.

"Husna?!" Dia terkejut. Laju pandangannya beralih ke arah Raf semula. Bagaimana boleh ada gambar Husna di skrin telefon lelaki ini? Tetapi yang buatkan dia lebih tanda tanya, gambar ini nampak seperti baru diambil. Apakah Husna masih hidup? Jantungnya berdebar.

"In... ini..." Mia gagap. Bawah kelopak matanya sudah berair. Katakanlah bahawa apa yang dia lihat ini benar!

Raf angguk perlahan.

"Ya, apa yang awak fikir tu betul. Tapi jangan beritahu tentang hal ini kepada sesiapa lagi. Rahsia ini cuma awak dan saya sahaja yang tahu."

"Ta... tapi kenapa?" Muka Mia berkerut tidak faham. Kalau dah jumpa, mengapa tidak membawa Husna pulang?

Malah lelaki itu memilih untuk tidak menjawab. Membiarkan Mia yang terkulat-kulat menunggu jawapan.  Lansung telefon yang berada ditangan Mia itu dirampas oleh Raf kembali lalu disimpan ke dalam poket seluarnya. Biarlah dia sahaja yang tahu sebab mengapa Husna dikurung dikampung itu. Lagipun, dia tak percaya seorang wanita boleh menyimpan rahsianya.  Tak sampai seminit, tahu-tahu dah tersebar satu Ocean Resort.

"Adalah. Tapi awak jangan risau, saya bukan nak culik dia. Malah dia selamat duduk dengan saya. " Kata Raf, sekadar mahu meyakinkan Mia. Agar tidak berfikir yang bukan-bukan.

"Jadi..." Raf kembali memandang wajah Mia. Sebelah kening dijongket sebelah.

"Boleh saya dapatkan satu tudung Husna?"











                

                   SEPERTI yang dijangka, dia tiba lewat di perkampungan tersorok itu. Hari pun sudah gelap gelita, tiada penduduk kampung yang kelihatan berkeliaran di pantai. Mungkin masing-masing berada di rumah waktu ini. Dari jauh, dia dapat menangkap cahaya api yang tergantung disetiap hadapan rumah. Tak ubah seperti hari perayaan, dimana ada yang memasang pelita bagi meriahkan suasana. Namun disini bukan itu tujuan utamanya. Bekalan elektrik memang sukar untuk didapatkan.

Perlahan-lahan bot yang dipandunya bergerak menghampiri pesisiran pantai. Sauh yang agak berat itu diangkat lalu dicampak ke dalam air. Memastikan botnya kekal ditempat yang sama. Tidak hanyut ditolak ombak. Kemudian barulah dia melompat turun dari bot, kunci dibawa bersama pergi.

"Gelapnya..." Lanun menggumam. Deretan rumah yang lain semuanya bercahaya, manakala rumah dia sahaja yang gelap bertambah suram.

Ya Allah!

Terus tangan naik mengetuk kepala sendiri. Dia lupa pula. Husna mana reti hendak pasang lampu petromax itu. Sebelum ini, dia juga yang tolong nyalakan. Pasti wanita itu duduk dalam kegelapan sejak senja tadi.

"Husna!" Terus dia melajukan langkah,  menanggalkan kasut lalu terus memijak anak tangga naik ke beranda rumah. Bergegar. Mujur kayu yang dibina ini kukuh. Lantas, pintu yang tidak berkunci itu terus ditolak.

Nafasnya tercungap. Turun naik dada bersama debaran. Jelas riak wajah Lanun penuh kerisauan. Melilau sebelah anak mata hazel itu mencari Husna dalam kegelapan rumahnya. Dan saat anak mata beralih ke arah ruang tidur yang dihamparkan tilam, dia lihat Husna sudah terlena disitu. Mengiring mengharap lampu petromax yang tidak bernyala.

Lanun menghela nafas. Ada sedikit rasa bersalah disudut hatinya. Kaki dibawa melangkah masuk. Setapak-setapak hingga dia akhirnya terpacak di tepi Husna. Tidak menunggu lagi, Lanun menjatuhkan lutut ke atas lantai. Kepala tertunduk melihat kotak mancis yang dibiarkan terbuka. Ada beberapa batang sudah terbakar dihujungnya. Bahkan ada yang terpatah dua.

Lanun mendecik. Ada ketawa kecil dibibirnya.

"Hidupkan mancis pun kau tak reti? Husna... Husna..." kepalanya menggeleng. Pasti wanita itu sudah cuba menghidupkan mancis berkali-kali tetapi dihujungnya terpadam juga. Oleh sebab itu, Husna mengalah dan tidur sahaja tanpa lampu.

Kemudian satu batang mancis dicapai bersama kotaknya. Sekali lerek sahaja api menyala dengan terang. Cepat-cepat ia dihalakan ke dalam petromax sebelum terpadam. Akhirnya, suasana gelap itu bercahaya disegenap ruang tidur Husna. Kini, barulah dia dapat melihat dengan jelas wajah polos wanita itu yang sedang terlena.

Mukanya berpeluh. Ada cairan yang mengalir di dahi. Pasti panas bila mana harus tidur dengan kain batik membaluti kepala, dalam keadaan rumah yang tiada kipas. Dia juga rasakan itu. Tapi Husna, pasti lebih panas. Namun dia tetap kagum dengan cara Husna mempertahankan maruahnya. Biarpun panas sehingga mengalir peluh, sedikit pun dia tidak merungut untuk buka.

Bibir Lanun tersenyum lagi.

"Bertahanlah sekejap. Kau akan dapat rasa selesa itu nanti..." Katanya, perlahan. Tidak mahu menganggu lena Husna dan akhirnya akan membuatkan wanita itu terjaga. Dia pun tidak boleh berada lama disini. Lantas, Lanun kembali bangkit, mengatur langkah keluar dari rumah. Pintu ditutup rapat.

Sunyi.

Tidak sampai beberapa minit, sebelah kelopak mata Husna terbuka sedikit. Melihat lampu petromax yang sudah bernyala, automatik sepasang matanya terbuka. Langsung dia bangun dari pembaringan.

"Yes! Aduh!" Baru nak bersorak, tangan tidak sengaja menyentuh kaca petromax yang panas. Tindakan refleksi laju sahaja menjauhkan jarinya kembali. Terus jari yang terasa pedih itu bawa ke mulut, dihisap agar sakitnya menghilang. 

"Puas aku tunggu dia balik. Akhirnya, balik juga. Ingatkan nak balik esok. Atau tak payah balik terus! Buat penat aku tunggu dia sahaja..."Sindir Husna. Masih tersisa rasa geram kepada lelaki itu. Bukannya nak ajar dahulu cara-cara pasang benda alah ini sebelum pergi. Nasib baiklah dia seorang yang tidak takutkan kegelapan. Kalau tidak, terpaksalah dia tumpang rumah jiran malam ini.

"Dah balik pun, bukannya nak kejut aku... sekurang-kurangnya tanyalah dah makan ke belum ke? Okay atau tak ke? Ini tidak, terus pergi macam itu aje? Tak reti ambil berat langsung!" Sambung Husna lagi. Entah kenapa dia rasa tak puas hati dengan setiap tindakan yang lelaki itu lakukan. Kejut salah, tak kejut salah. Pendek kata, semua tak kena.

Tubuh dipeluk. Husna diam seketika. Mata memerhati ke arah pintu yang tertutup. Terfikir sesuatu.

"Dia dah tidur ke ek? Senyap aje..." Husna bermonolog sendirian. Hati berbolak-balik memikirkan sama ada dia patut keluar menjenguk lelaki itu ataupun tidak.

Eh? Kenapa nak tengok dia pula? Biarlah kalau si Lanun itu dah tidur sekalipun. Bukannya aku nak tolong sambut dia dengan hidangan air teh pun!

"Tapi kalau balik dan terus tidur itu maknanya penat sangatlah, kan? Dia pergi mana agaknya ya? Entah-entah... dia ada rumah lain? Dan dekat rumah itu ada anak bini dia? Habis aku ni siapa? Perempuan simpanan dia ke?" Husna mula tertanya-tanya. Makin lama fikirannya makin melalut ke lain.

Pantas Husna geleng kepala. Menepis segala hasutan merepek yang bermain dikepala.

"Kenapa aku fikir sampai ke situ? Suka hati dialah nak ke mana!" Dengus Husna. Tak faham dengan diri sendiri. Mengapa hati dan kepalanya tidak seiring waktu ini. Dihati kata lain, dikepala pula berbisik lain. Mana satu yang betul?

Akan tetapi, perasaan kuat dihati yang menyuruh dia untuk menjenguk sekejap melihat lelaki itu diluar. Bukan hendak tegur pun. Mahu menatap wajah si Lanun itu sekejap sahaja.

Tanpa menunggu lama, Husna terus bangkit dari tilam. Menapak ke arah pintu, lalu ditarik sedikit. Kena intai dahulu, takut si Lanun itu belum tidur. Tetapi ruang terlalu kecil, dia cuma nampak kaki panjang sahaja yang melunjur di atas tikar mengkuang.

Tak puas hati. Pintu tarik luas lagi. Husna menjenguk kepala dari celahan pintu, bibir automatik menyenget tatkala melihat Lanun yang terbaring di atas tikar. Dengkuran halus tertangkap ditelinga. Dengan posisi sebelah tangan berada di atas kepala, dia tidur tanpa beralaskan bantal.

Kasihannya...

Pasti lenguh badan apabila dia bangun pagi nanti, omel Husna.  Namun, laju sahaja kepala menggeleng.

"Padan muka! Memang layak pun tidur atas lantai." Ejeknya, perlahan.  Dengan langkah berhati-hati, dia menghampiri Lanun yang terlena dibuai mimpi. Nyenyak sungguh. Sampaikan tak sedar Husna sudah berdiri disisi sambil mencekak pinggang. Kepala menunduk ke bawah. Menatap wajah Lanun yang jelas kepenatan dalam tidurnya.

Kepala menggeleng perlahan.

"Waktu tidur sahaja muka dia nampak baik. Buka mata, tak ubah macam singa. Tak patut dia digelar Lanun. Lanun pun tak sekejam dia. Lebih kena dengan panggilan singa laut. Hmm... sangat sesuai. Macam adik beradik." Husna mengangguk ditengah kata. Menyokong pendapat sendiri. Tetapi singa laut pun comel juga, kan? Macam Lanun...

Bibir Husna tersenyum. Cuma sesaat sebelum dia sendiri yang matikan senyuman itu. 'Aku tak patut samakan dia dengan binatang comel seperti itu walaupun dia memang comel.' Ah, tidak! Sekali lagi hati ini bercakap yang bukan-bukan. Rasa macam nak belah dada sendiri, dan baling perasaan ini sejauh lemparan cakera.

"Eh?" Husna tersentak. Kedua belah tangan yang mencekak pinggang terus dijatuhkan ke bawah. Baru dia perasan, ditangan kanan yang berada diatas kepala lelaki itu ada kunci di dalam genggamannya. Tidak lain tidak bukan, pasti kunci bot!

Ya Tuhan. Adakah ini peluang keemasan yang ditunggu-tunggu selama dia berada disini? Mata Husna bersinar.

"Aku dah boleh lari. Bot dah ada, kunci pun ada. Takkan nak abaikan pula? Sampai bila lagi aku nak terus terkurung dikampung ni? Aku pun dah tak tahan... kalau diabaikan, mungkin selepas ini aku dah tiada peluang untuk balik ke Ocean Resort." Ujar Husna seorang diri.

"Lagipun, lawatan Hotel Paredise lagi dua hari akan habis. Mesti mereka nak balik ke KL semula. Takkan nak tinggalkan aku seorang sahaja?" Husna geleng kepala.

Tidak! Dia takkan biarkan perkara itu berlaku. Dia harus tiba dijeti Ocean Resort sebelum mereka bertolak balik.

"Tapi, pasal Mondu tu..." tiba-tiba dia teringat cerita Rajuna petang tadi. Buat seketika bulu romanya meremang. Bila asyik terfikir tentang itu, mulalah dia rasa hendak batalkan niat semula. Tapi, takkanlah si Mondu itu tiap-tiap hari akan mengelilingi pulau? Manalah tahu malam ini, nasibnya baik?

Lagipun dia pasti, jarak dari kampung ini hendak ke Ocean Resort tidak jauh mana. Jadi mungkin dia akan tiba cepat disana. Tipislah peluang untuk terserempak dengan penunggu laut itu.

Husna angguk kepala. Bersungguh.

"Lantaklah. Aku yakin Mondu tak kelilingi Pulau malam ni. Cepat aku bawa, cepatlah sampai." Kata Husna. Meyakinkan diri sendiri. Tidak mahu tunggu lama, perlahan-lahan Husna duduk mencangkung di sebelah Lanun.
Berdebar pula hati ini saat memikirkan rancangan gila.

Mata fokus melihat wajah Lanun. Manakala tangan pula bergerak secara berhati-hati menarik kunci itu.  Memastikan kelopak mata yang sedang terkatup itu tidak terbuka. Nanti tak pasal-pasal ada yang kena jerkah malam-malam buta.

"Hmm..."

Tubuh Husna automatik mengeras pabila mendengar erengan Lanun. Muka lelaki itu berkerut. Mimpi buruk agaknya. Hampir melompat jantung ini terkeluar dari badan. Sangkakan, perbuatannya bakal terkantoi. Nasib sekali tidak.

Fuh!

Husna menghembus nafas. Berpeluh-peluh dahi saat menarik kunci itu keluar dari genggamannya. Tangan menggigil. Dia cuba untuk kawal.

"Hmm... tidak, ada ayam curi kunci aku..." gumam Lanun yang dibuai mimpi.

Husna tersentak. Bibir mengetap, geram. Tengah tidur pun mulut lelaki ini boleh mengutuk dia lagi. Ada juga yang kena pijak nanti. Husna tarik nafas panjang lalu dihembus. Sabar. Dia perlu tenang.

Kunci yang sudah separuh terkeluar itu terus sahaja direntap laju-laju. Dan Yes! Akhirnya dia dapat juga. Husna tersenyum menang. Kunci bot itu digenggam kuat-kuat. Semangat dia lain macam malam ini.

Pertama kali buat kerja gila, siapa sahaja yang tak bersemangat?

"Pinjam bot sekejap ya, Mr Pirate. Nanti dah sampai Ocean Resort, pandai-pandailah claim pada mereka ya?" Husna ketawa mengekek. Dia terus berdiri, ingin melangkah pergi secepat yang mungkin. Namun, tak sampai sesaat dia kembali menoleh ke dalam rumah. Lampu petromax yang bernyala itu dipandang.

Dia perlu curi itu sekali.






Continue Reading

You'll Also Like

66.6K 5.3K 61
° ᴬ ᴹᴬᴸᴬᵞ ᶠᴬᴺᶠᴵᶜ ᶠᴿᴼᴹ ᴿᴬᵁˢᶻᵞᴰᴬᴵ ° in which his whole existence is a labyrinth. cover made by my best buddy: @cryingat5am Publish : 30/12/2019 End :11...
1.1K 148 30
Sejujurnya ini buka kisah tentang Nu'aiman sahaja :) Andai ada salah atau silap dimana-mana,kau orang boleh tegur aku. Jangan segan-segan sama aku. A...
18.5K 392 4
[Fantasy + Adventure] Tahun 3091 di mana dunia sudah semakin maju. Wujudnya permainan virtual reality arena competition iaitu sebuah permainan berkon...
16.6K 1.7K 42
Ahli sihir yang namanya dilupakan. Itulah dia. start : 20/03/30 end : 20/05/12