Telefon dicapai sebelum dia menjawab panggilan.

"Sekarang? Ada apa?"

Butir bicaranya dapat aku tangkap dengan jelas.

Entah mengapa semakin lama, jantung aku berdegup lebih kencang.

"Okay. Raz gerak sekarang."

Sesudah itu, talian dimatikan.

"Sya pergi bersiap. Nenda suruh balik sana sekarang."

Nafas aku semakin sesak.

Nenda Talita baru menelefon Fyraz. Ini bermakna...

Wajah Fyraz yang sedang meletakkan kopiah putihnya di meja sisi katil itu aku renung. Nampak tenang. Dan untuk itu, aku yakin nenda Talita tidak memberitahu tujuan mengapa dia menyuruh kami pulang ke rumah sana.

Cukup bersediakah aku?

"Sya, jom siap cepat."

Lamunan aku terhenti apabila Fyraz yang sudah selesai menukar baju itu menegur. Lantas, aku bangun dan kain telekung aku lipat rapi sebelum turut menukar pakaian.

Tak apa, Sya. Allah ada...

~~~

Sepanjang hampir satu jam perjalanan, Fyraz lebih banyak berceloteh itu ini. Aku tetap membisukan diri. Sepatah yang ditanya, sepatah juga yang aku jawab. Berpatah patah yang ditanya, belum tentu aku bersuara. Sudahnya, Fyraz turut mengikut rentak aku dan terus membisu dari sebarang perbualan.

Pasti Fyraz terasa hati dengan layanan aku terhadapnya.

Sungguh, fikiran dan hati aku masih berperang hebat.

Sebaik sahaja tiba di rumah agam mewah itu, lutut seakan lemah untuk berdiri sehinggalah Fyraz mencapai tangan aku untuk berjalan beriringan.

Genggaman eratnya aku balas. Meminjam sedikit kekuatan.

Pintu rumah itu dibuka dari dalam dan wajah nenda Talita yang pertama menyapa pandangan.

Aku tersenyum hambar apabila pandangan mata nenda Talita jatuh pada aku.

"Assalamualaikum nenda..." penuh hormat, tangan nenda Talita dikucup Fyraz.

Aku turut menghulurkan tangan namun hanya disambut acuh tak acuh sebelum nenda melangkah masuk semula ke dalam rumah dan melabuhkan duduk di sofa.

Fyraz melorek senyum dan bibirnya menyebut perkataan maaf secara perlahan. Maaf kerana tingkah nendanya yang berdingin dengan aku.

Genggaman tangannya pada tangan aku masih tidak dilepaskan lalu turut dibawa langkah ke arah sofa. Duduk bertentangan dengan nenda Talita. Aku sekadar menunduk. Tidak berani mahu membalas pandangan tajam nenda Talita.

"Ada apa nenda tiba tiba suruh Raz datang? Ada hal penting ke?" Fyraz terlebih dahulu membuka bicara apabila sudah beberapa minit keadaan semakin senyap.

"Mama..." panggilan yang keluar dari bibir Fyraz membuatkan aku memberanikan diri mengangkat wajah.

Fyraz bersalaman dengan Sharifah Ahdiyah, atau kini aku turut memanggilnya dengan panggilan mama. Saat anak matanya bertentang dengan anak mata aku, senyumannya tadi bertukar sayu.

Sepertinya mama juga tahu mengapa nenda tiba tiba menyuruh kami datang ke sini.

"Perkara penting yang nenda nak cakap. Pasal Fyraz, pasal Arisya dan..."

Hikayat Sang Pencinta ✔Where stories live. Discover now