Recik Elektrik di Kafe Rahsia

Começar do início
                                    

     Aku mengebam bibir. Sepanjang aku mengutip duit di sini dialah satu-satunya yang berani menyoal. Aku cukup gugup apabila berdepan soalan-soalan begini. Aku takut kalau-kalau segalanya terbongkar. Surat kebenaran dari jabatan agama itu memang diphotoshop oleh kawan aku. Kalau dia siasat lebih dalam... habislah.

     "Hei pak sheikh. Aku tahulah. Di sebalik kopiah dan jubah ni kau cuma seorang budak flat yang rosak, kan?"

     Matanya membolen berserta jari telunjuk yang diluruskan ke arahku. Aku melihat tanda nama pada poket seragam hitamnya. Mar. Hanya Mar. Kalau dilihat sekilas tampangnya, seperti lelaki. Rambutnya pendek, kulitnya kuning langsat dan bibirnya merah jambu. Pada lehernya tergantung kertas keras mempromosikan pakej berbuka puasa dan produk terbaharu Kafe Rahsia – kopi latte & kek coklat mulberry.

     "Tak baik buat tuduhan macam tu. Saya buat benda baik ni," kataku penuh diplomasi.

    Dia merengus, tidak berpuas hati.

     "Jangan nak berbohong ya. Malam semalam aku nampak kau berseluar pendek, melepak di warung Wak Tumiran sambil hisap keretek. Tak padan dengan berkopiah nak menipu!" katanya keras.

     Wajahku serta-merta berubah. Aku betul-betul terkejut. Tak sangka dia tinggal di rumah pangsa yang sama denganku!

     "Encik, encik tak boleh berdiri di sini. Bangku kan ada," suara pengawal keselamatan membubarkan pawagam ingatan. Aku tersenyum kelat, mengangguk dan kembali melabuhkan punggung di bangku. Itulah pertemuan pertamaku dengan Mar. Sungguhpun susuknya jauh beza daripada ciri-ciri wanita idamanku namun dia sungguh menarik perhatian. Sekarang jika difikirkan balik, ternyata ketika itulah aku telah jatuh cinta padanya. Hari itu juga Mar telah menjadi penyelamatku. Kerana dia bertalu-talu bertanya, aku membuat keputusan untuk pulang dan selepas menukar pakaian ternyata kawasan itu diserbu pihak berkuasa. Ramai pengemis dan peniaga haram ditangkap.

     "Dah tak meniaga ke?" sapa Mar ketika aku baru menghirup teh tarik. Malam itu malam kelima Syawal. Deretan warung di kaki rumah pangsa penuh dengan pekerja-pekerja dari kompleks beli-belah berdekatan yang baru pulang kerja. Kebanyakannya warga Indonesia dan Bangladesh.

     "Ha? Siapa kau?" jawabku berpura-pura tidak kenal.

     Tanpa dipelawa Mar terus duduk setentang denganku. Dia memakai t-shirt hitam dan berseluar jeans biru muda. Sebuah buku tipis dikeluarkan dari tote bag dan diletak ke atas meja sebelum memesan kopi o.

     "Jangan berpura tak kenal aku ya," katanya tersenyum. Ah, betapa menenangkan senyuman itu. Hatiku seperti kelopak bunga berkembang melihatnya.

    "Ya, ya. Aku ingat."

     "Kau kerja apa sekarang?"

     "Kenapa nak tahu?"

     "Saja nak tahu. Kalau-kalau kau mengemis di tempat lain pula ke?"

    "Huh, tak baik menuduh."

     "Habis tu? Dah lama tak nampak kau pegang tabung kat kaki lima tu. Aku tertanya-tanya juga," katanya sambil membelek halaman buku tipisnya. Aku meneliti tajuk buku itu. Buku puisi karya Karim Mohd. Aku tidak kenal.

     Aku menghela nafas. "Aku dah tak buat kerja tu lagi." Memang sudah kutinggalkan kerja itu. Sekarang aku menganggur. Duit sudah tidak ada. Mujurlah abang aku tidak berkira meminjamkan duitnya untukku.

     "Kau tak kerja ya?" aku mengangguk lemah. Sudah beberapa pekerjaan kupohon tetapi ditolak. Sekeping diploma seperti tidak bernilai langsung.

     "Kafe Rahsia ada jawatan kosong. Tak nak mohon?" tiba-tiba Mar mempelawa.

     "Nanti aku fikir dulu."

Lelaki Perpustakaan dan Cerita-cerita LainnyaOnde histórias criam vida. Descubra agora