Bab 38

1.4K 77 8
                                    


"TIDUR nyenyak malam tadi?" tanya Puan Lisa sebaik saja melihat anak dan menantunya berjalan beriringan turun dari tingkat atas. Tersenyum lebar dia melihat pasangan pengantin baru itu.

Puan Lisa baru saja selesai menyiapkan sarapan pagi. Dibantu anak keduanya Maizura. Pagi tadi, Diza ada juga turun ke dapur menawarkan diri hendak menyediakan sarapan pagi tetapi sudah 'dihalau'nya semula ke bilik. Tidak sedap hatinya mahu membiarkan Diza bersusah-payah membuat kerja-kerja dapur sementelah menantu barunya ini masih kepenatan.

Syahrin tidak menjawab sebaliknya membuang pandang ke arah lain. Tidak tahu jawapan apa yang patut diberinya kepada mama. Tidurnya malam tadi memang lena kerana dia tidur di atas tilam empuk setebal sepuluh inci. Sepatutnya soalan itu mama tanyakan kepada Diza kerana menantu kesayangan mama itu yang mungkin tidak lena kerana tidur di atas karpet beralaskan selimut.

Bukan Syahrin tidak mengajak Diza tidur bersama di atas katil, tetapi perempuan itu yang berkeras tidak mahu. Entah apa yang ditakutkannya. Macamlah dia hendak buat apa-apa. Eleh...kalau orang tidak rela, dia pun tidak mahu memaksa. Hendak suruh dia pula tidur di atas karpet? Minta maaf! Sedari kecil dia sudah biasa tidur di atas tilam empuk. Memang mustahil kalau ingin tengok dia tidur di atas karpet.

Semua ahli keluarga sudah berkumpul di meja makan besar yang muat sepuluh orang. Diza duduk di sebelah Syahrin. Di sebelah kirinya, Batrisyia. Daim duduk di seberang sana bersama-sama Afiq. Maizura dan suaminya, Nik Akmal duduk di hujung meja. Sibuk melayan si kembar berdua itu makan.

Daim dan Afiq nampak gayanya sudah boleh jadi kawan baik. Sejak sampai ke rumah Puan Lisa dua hari lepas, sudah kerapkali juga Daim bersembang dengan Afiq. Baru Daim tahu yang Afiq ini tidaklah sesombong mana. Cuma agak pendiam sedikit dengan orang yang dia tidak kenal. Bila sudah kenal, memang boleh jadi teman 'satu kepala'.

"Cuti Syah sampai bila?" tanya Puan Lisa sambil menyendukkan nasi lemak ke dalam pinggan suaminya.

"Lusa," jawab Syahrin sepatah. Teringatkan malam tadi, dia masih berat mulut hendak menjawab panjang-panjang. Masih geramkan Diza.

"Sekejapnya?" Puan Lisa sudah angkat kening. "Tak sempatlah pergi honeymoon," ulasnya kemudian.

Syahrin tidak menjawab. Sekejap apanya? Hatinya bertingkah. Jika diikutkan sudah seminggu lebih dia bercuti, sejak majlis kahwin di rumah mak ngah lagi. Jurutera yang bekerja di syarikat ternama macam dia, mana boleh ambil cuti panjang-panjang? Jawabnya memang kena bebel dengan bos. Lainlah jika dia punya syarikat sendiri, boleh memanjang bercuti. Pun begitu, hatinya berdesir mendengar kata-kata mama.

Honeymoon? Dijelingnya muka Diza yang sedang menunduk. Si dia di sebelahnya ini hendak dibawa berbulan madu? Baik tidak payah. Membuang masa dan tenaga saja. Pasangan pengantin lain berbulan madu dapat 'seronok', dia pula dapat penat dan sakit hati.

"Abang dan Diz tak ada merancang nak pergi honeymoon ke?" Bertanya pula Maizura. Maizura tidak memanggil Diza kakak kerana usia kakak iparnya yang lebih muda beberapa tahun daripadanya. Terasa janggal hendak memanggil Diza, kakak. Tersenyum panjang dia memandang wajah abang sulung kemudian beralih ke muka kakak iparnya.

"Tak...tak ada. Err....belum." Jawapan Syahrin berubah-ubah. Nampak sangat tidak tetap pendirian.

"Kalau nak pergi mana-mana, papa dan mama boleh sponsor. Fikirkan ke mana nak pergi dan cari tarikh yang sesuai, nanti papa boleh book tiket." Encik Sharifudin pula menawarkan hadiah lumayan bersempena perkahwinan anak sulungnya. Tawaran yang tidak mampu ditolak mana-mana pasangan pengantin baru.

"Nantilah kami fikirkan," jawab Syahrin. Dia pandang muka Diza. Bila sedar dirinya direnung, Diza balas pandangan Syahrin. Akhirnya, mereka saling pandang memandang.

SEPASANG KURUNG PINK (TERBIT)Where stories live. Discover now