Bab 20

1.4K 79 19
                                    

PULANG sahaja Syahrin ke rumahnya di Petaling Jaya, Puan Lisa duduk termenung di Pergola. Fikirannya ligat memikirkan kata-kata Syahrin tadi.

"Syah nak mama pergi pinang perempuan tu untuk Syah! Syah nak terus kahwin. Syah tak nak bertunang dua tiga tahun dan tak nak berkawan dulu. Syah nak terus nikah dengan dia!"

Patah-patah kata Syahrin tadi kembali mengisi ruang-ruang benaknya. Mengapa fikiran Syahrin berubah tiba-tiba? Fikirnya pelik. Mula-mula Syahrin enggan menerima Diza. Bila mendapat tahu Diza menolaknya, anaknya itu terus mendesak agar disatukan segera dengan Diza. Mengapa agaknya Syahrin tiba-tiba bertukar fikiran? Puan Lisa buntu dalam mengupas persoalan yang satu itu.

Sepatutnya bukan begitu reaksi yang dipamerkan Syahrin. Syahrin sepatutnya ketawa pecah perut. Kalau tidak pun tersengih lebar sampai ke telinga. Apa puncanya Syahrin sampai bertindak di luar jangkauan pemikiran? Puan Lisa benar-benar tidak faham.

Hendak dikatakan Syahrin dipaksa, dia tidak lagi memaksa anaknya itu. Dia memberi pilihan untuk Syahrin menolak. Sekarang, Syahrin bukan saja menerima cadangan yang pada mulanya dikatakan mengarut itu malah menggesa untuk berkahwin cepat-cepat. Agenda apa agaknya yang sedang disusun Syahrin dalam kepalanya?

Apapun puncanya yang membuatkan anaknya bertukar fikiran, Puan Lisa enggan memikirkannya dalam-dalam. Buat permulaan ini, persetujuan Syahrin sudah cukup membuatkan hatinya mekar semekar bunga-bunga di taman. Hasratnya mahu bermenantukan Diza bakal kesampaian.

Apa yang penting, selepas ini dia perlu menyusun strategi. Halangan paling besar dalam usahanya untuk menyatukan kedua teruna dan dara itu sudah rebah di tengah jalan. Dan sekarang, dia hanya perlu menambahkan usaha memujuk Diza. Rasa-rasanya dapat ke dia melembutkan hati Diza yang sekeras waja? Entah! Dia tidak pasti. Apa yang dia yakini, selagi ada usaha dan kesabaran, ALLAH pasti mengurniakannya ganjaran yang paling manis.

Namun....ada sesuatu masih berlegar-legar dan tidak mahu terlontar dari ruang fikiran Puan Lisa. Syahrin tidak tahu siapa Diza sebenarnya. Syahrin tidak tahu Diza anak seorang banduan. Itulah yang menjadi masalah besar sekarang.

Perlu ke diceritakan semua kisah Diza dari awal hingga keakhir kepada Syahrin? Tidak terkejut ke Syahrin nanti? Ah! Mahunya Syahrin tidak terkejut. Sedangkan dia yang mendengarnya rasa mahu pengsan, inikan pula Syahrin yang sememangnya sedari awal bersikap prejudis terhadap Diza.

Entah-entah cerita belum tamat, Syahrin sudah membentak marah. Maklumlah, anak bujangnya itu bukan sedikit-sedikit tahap sombong dan bongkaknya. Suka juga bertindak ikut hati dan langsung tidak mahu mendengar nasihat. Tidak ke sia-sia usaha yang dipertaruhkan selama berbulan-bulan ini?

Kalau susah sangat, lebih baik kisah hidup Diza itu dipendamkan saja buat sementara waktu. Sebelum Syahrin dan Diza selamat bernikah, dia akan rahsiakan semua itu dari pengetahuan anak terunanya itu. Bukanlah tujuannya mahu berahsia selama-lamanya. Tiba saat dan ketika yang sesuai nanti, akan diluahkannya juga kepada Syahrin. Harap-harap ketika itu Syahrin sudah boleh menerima hakikat yang cukup menyentap perasaan itu.

Apa-apa pun mereka berdua tetap akan bersatu. Hanya itulah yang menjadi matlamat Puan Lisa sekarang ini.

SELEPAS makan malam, Puan Lisa mendekati suaminya yang sedang duduk membaca akhbar di ruang tamu. Dia mahu menyampaikan kepada suaminya tentang keputusan Syahrin menerima Diza sebagai suri hidupnya. Sebelum ini dia sudah menceritakan kepada Encik Sharifudin tentang hajatnya yang mahu mengambil Diza Irdina menjadi menantunya. Ketika majlis makan-makan dua minggu lalu, dia telah memperkenalkan Diza sebagai gadis yang bakal diangkat sebagai menantunya.

Suaminya tidak membantah malah nampak berkenan sangat dengan Diza. Cuma....dia belum menceritakan kisah Diza sepenuhnya kepada Encik Sharifudin. Apa yang suaminya tahu, Diza itu anak yatim piatu tetapi kisah di sebalik 'yatim piatu' itu belum lagi dihamparkan kepada sesiapa pun. Apa agaknya reaksi suaminya mendengar kisah mengejutkan begitu? Jangan suaminya pengsan, sudah!

SEPASANG KURUNG PINK (TERBIT)Where stories live. Discover now