Bab 37

1.5K 97 13
                                    

PERLAHAN-LAHAN pintu bilik dibuka dan Diza menjenguk ke dalam. Melihat Syahrin sedang menelentang di atas katil dengan mata tertutup, dia menarik nafas panjang. Lega! Bagus juga mamat asam paya ini sudah tidur. Mudahlah segala kerjanya. Tidak perlu berhadapan dengan muka masam lelaki itu sepanjang masa. Setakat menghadap muka mencuka Syahrin, dia masih boleh menahan.

Apa yang dia bengang, sejak akhir-akhir ini, Syahrin suka sangat tenung mukanya sampai tidak berkelip kelopak mata. Dulu, Syahrin tidak pernah buat begitu. Dulu, hendak pandang muka dia pun Syahrin menyampah. Tetapi, sekarang ini, pantang dia menoleh ke arah lain, Syahrin pantas mencuri pandang ke arahnya. Bila dia berpaling pula, Syahrin terus buat muka seposen, macam tiada apa-apa. Syahrin seperti mahu menyembunyikan perangainya yang suka mengintai muka orang. Eleh....macamlah dia tidak nampak kelakuan buruk Syahrin itu.

Tanpa membuang masa, Diza melangkah masuk dan pintu bilik dirapatkan. Perlahan saja bunyinya. Kemudian dia terjingkit-jingkit menuju ke almari pakaian yang terletak di penjuru bilik.

Pintunya ditarik. Berlapis dahi Diza bila mendengar bunyi berkeriut. Kuat pula tu! Sepantas kilat kepalanya terpusing memandang Syahrin di atas katil. Takut benar dia jika Syahrin terjaga. Apabila melihat Syahrin masih tidak bergerak-gerak, dia mengeluh lega. Sejurus kemudian dia mencemik muka. Huh! Tidur matilah tu. Memang dasar kaki tidur, detiknya mencemuh Syahrin.

Sehabis makan malam tadi, Diza sengaja buat-buat sibuk menolong mama mengemas dapur. Puas mama dan Kak Maizura menyuruhnya menemani Syahrin di ruang tamu, tetapi dia mengelak dengan memberi mereka pelbagai alasan. Selepas itu dia sambung pula bersembang lama-lama dengan Batrisyia. Sengaja dia buat begitu kerana tidak mahu melayan Syahrin.

Mengingatkan kejadian siang tadi, hati Diza bagai dicubit-cubit. Sakit! Agaknya Syahrin memang jenis lelaki tidak tahu malu. Kalau Syahrin kenal erti malu, takkan dibiarkan bekas teman wanitanya yang seksi bergaun ketat itu menarik-narik tangannya di tengah-tengah majlis. Kalau dia pun turut sama tidak tahu malu, sudah lama muka perempuan itu ditinjunya. Dan kalaulah dia tidak menahan sabar, dengan muka Syahrin turut lebam-lebam dikerjakannya. Tahulah dia ini bukan pengantin perempuan pilihan Syahrin, tetapi janganlah buat dia sama terpalit malu. Eeeiii.....geramnya dia!

Baju tidur labuh berlengan panjang dikeluarkan dan diletakkan di ruang kosong, di birai katil. Selepas itu ditanggalkannya pula tudung di kepalanya dan disangkutkan penuh hati-hati di tempat penyidai. Diza terfikir ingin menyalin baju kurung yang dipakainya di dalam bilik, namun bimbang jika Syahrin tiba-tiba membuka mata. Mamat itu bukan boleh dipercayai. Mata saja nampak tertutup tetapi entah-entah sedang mengintai dia di sebalik lengan sasanya itu. Bukan ke mamat itu sekarang ada hobi baru? Hobi merenung muka bininya yang tidak berapa cantik ini.

Sudahnya, Diza capai baju tidur dan dibawa ke bilik air. Hendak selamat, tukar saja baju di bilik air. Beberapa minit kemudian, dia keluar dari bilik air dengan pakaian yang sudah bertukar. Rambutnya yang ikal berombak diuraikan dari ikatan dan disisir kemas-kemas. Kemudian dia berpaling ke arah katil.

Di mana dia hendak tidur malam ini? Di atas lantai lagi ke? Diza mengeluh dalam hati. Sudah seminggu berturut-turut dia tidur di atas lantai beralaskan selimut. Sampaikan sakit-sakit seluruh badannya. Nampak gayanya, jika berterusan begini, belum sampai umur setengah abad, dia sudah berjalan pakai tongkat.

Malam tadi adalah malam pertama Diza tidur di rumah besar mentuanya ini. Malam tadi juga dia tidur di atas lantai, sama macam malam-malam sebelumnya. Syahrin yang melihat dia mengangkat bantal dan selimut hanya menjeling dan buat muka selamba badaknya itu. Bukannya Syahrin hendak bagi dia tidur di atas katil malah menganggap katil itu hak milik mutlaknya dengan tidur di tengah-tengah ruang macam orang masih bujang. Tahulah ini bilik awak, tetapi takkanlah sampai bertindak membuli isteri sampai macam ini? Di mana letaknya keperihatinan Syahrin sebagai seorang suami?

SEPASANG KURUNG PINK (TERBIT)Where stories live. Discover now