Bab 18

1.2K 72 3
                                    

"MALAM ni Diz sibuk ke?" tanya Puan Lisa di dalam telefon.

"Tak. Kenapa, puan?" Diza sedang memasak sambal tumis ikan bilis bila Puan Lisa menelefonnya. Terus diletakkan sudip di tangan ke dalam kuali dan api dapur memasak dikecilkannya sedikit. Risau masakannya hangit ketika sedang bersembang dengan Puan Lisa.

"Auntie nak jumpa Diz. Kita jumpa kat restoran hari tu ya?" Diza belum memberi persetujuan, tetapi Puan Lisa sudah membuat keputusan sendiri.

Diza berfikir sejenak. Seketika kemudian dia membalas."Baiklah, puan. Pukul berapa?" tanyanya pula.

"Pukul lapan auntie tunggu Diz kat sana."

"Okey." Diza bersetuju. Pukul 8.00 malam nanti setelah menghantar Daim ke kelas malam, dia akan terus ke restoran Papa Chop Mama Grill yang terletak di Seksyen 8 untuk bertemu Puan Lisa.

Talian telefon dimatikan dan diletakkan semula ke atas almari dapur. Kemudian dia menyambung semula tugasnya yang tergendala sebentar tadi. Api dapur dibesarkan semula. Ketika mengacau sambal tumis yang hampir kering, fikirannya merayau teringatkan Puan Lisa.

Apa agaknya yang ingin dikatakan Puan Lisa? Otaknya berlegar-legar. Selepas peristiwa dia dihina Syahrin tempoh hari, hampir dua minggu dia tidak bertemu Puan Lisa. Di sekolah pun dia tidak melihat Puan Lisa menghantar dan menjemput Afiq Husaini. Anak saudara Syahrin itu dihantar dan dijemput Abang Kamal.

Puan Lisa tidak jadi mengambilnya sebagai menantu? Hanya telahan itu yang bertandang ke mindanya. Baguslah. Jika itu keputusan muktamad Puan Lisa, dia turut bersetuju. Tidaklah penat lagi otaknya memikirkan perangai bongkak Syahrin. Ini pun tentu Syahrin yang berkeras menolak hajat mamanya untuk disatukan dengannya. Sejak malam itu lagi Syahrin sudah menyatakan pendiriannya. Sekurang-kurangnya dia tabik hormat kepada Syahrin Haiqal kerana bersikap jujur dan tidak berdolak-dalik biarpun caranya itu cukup menyakitkan hati.

"Kau jangan berharap sangat nak jadi isteri aku! Takut frust berguling-guling nanti! Perempuan macam kau ni bukan taste aku!" Diza terkenangkan bait-bait kata Syahrin yang bisa menikam kalbu.

Angkuh! Hati Diza menjerit mencemuh Syahrin. Siapa entah yang berharap sangat hendak jadi isteri dia. Lelaki angkuh begitu selayaknya dengan perempuan yang angkuh juga. Biar bertemu buku dengan ruas. Biar porak-peranda rumahtangganya bila 'api' berlawan dengan 'api'. Jika dijodohkan dengan dia yang gemar mengalah ini alamatnya habis dibuli Syahrin saja nanti.

Puan Lisa kata Diza ini 'air' yang mampu menyejukkan kehangatan Syahrin yang bagaikan 'api'. Hah....mengarut saja Puan Lisa. Anaknya itu memang diumpamakan seperti api. Api marak menyala yang mampu membakar seluruh kehidupannya. Setakat air sungai kecil macam dia ini memang tidak mampu memadamkan kepanasan sikap ber'api' Syahrin. Sebab itu awal-awal dia mengalah dan menarik diri dari percaturan hidup yang mahu ditentukan Puan Lisa. Tidak mahu dia menjadi mangsa sikap bongkak dan ego Syahrin. Merana hidupnya nanti.

Dalam hatinya yang sakit mengingatkan Syahrin, Diza tersenyum lapang. Malam ini akan ternoktahlah hajat Puan Lisa yang tidak masuk akal itu. Tetapi, macam mana kalau Puan Lisa berkeras juga mahu menjodohkannya dengan anak bujangnya yang angkuh, bongkak dan sombong itu? Entah! Dia pening kepala memikirkannya.

Hmm...jalankan saja pelan B iaitu berterus-terang tentang kehidupan keluarganya yang tidak seperti orang lain. Ceritakan saja tentang emak yang kini meringkuk di Penjara Kajang, dihukum maksima 20 tahun penjara atas kesalahan membunuh suaminya sendiri.

Puan Lisa terkejut? Biarkan! Biarkan Puan Lisa terkejut sampai pengsan. Biarkan Puan Lisa ludah mukanya seperti yang dibuat Hazif dulu. Dia tidak kisah lagi tentang semua itu. Daripada dipaksa-paksa kahwin dengan Syahrin tanpa rela hati, lebih baik dia berterus-terang. Aman damai hidupnya nanti dari desakan Puan Lisa yang tidak masuk akal.

SEPASANG KURUNG PINK (TERBIT)Where stories live. Discover now