Bab 17

1.1K 68 0
                                    

"SERONOK pergi makan angin?" Pulang saja Daim dari dihantar Remy dan belum sempat si adik duduk, Diza tidak membuang masa, terus mengorek rahsia.

"Seronok. Abang Remy bawa Im lawat banyak tempat di JB. Memang betul-betul seronok," jawab Daim gembira.

Abang Remy? Terangkat kening Diza mendengar jawapan adiknya. Bila pula panggilan cikgu sudah bertukar abang? Berkerut dahi Diza dengan mata tajam merenung Daim. "Kenapa pulak panggil Cikgu Remy macam tu?" Diza mahu memastikan.

"Cikgu Remy yang suruh Im panggil dia abang. Lebih mesra katanya. Secara tak rasminya, Im dah jadi adik Cikgu Remy." Daim tersengih-sengih penuh bangga.

Hampir bercantum kening Diza mendengar lawak tidak berapa kelakar Daim. Tidak berkenan mendengarnya. Kalau ya pun hubungan mereka rapat, apa perlunya sampai bertukar-tukar panggilan dari cikgu kepada abang? Kalau diketahui warga sekolah bagaimana? Tidak ke pelik mereka nanti? "Kalau kawan-kawan Im dapat tahu macam mana? Tak malu?" Diza menduga.

"Nak malu apa, along? Im bangga lagi!" Daim ketawa. "Tapi, kalau kat sekolah, Abang Remy suruh panggil dia cikgu. Kalau panggil abang kat sekolah, dia kata takut along malu. Nanti orang gosipkan along dengan dia."

"Im jangan nak memandai!" marah Diza. Terjerit sedikit.

"Abang Remy cakap panggilan abang tu sebenarnya untuk biasakan Im. Manalah tahu ada jodoh along dengan Abang Remy, taklah susah nanti." Daim menambah rencah dengan ketawa semakin galak.

"Dia cakap macam tu? Hisy...memandai aje!"

"Along tak suka Abang Remy? Rugilah kalau along tak suka dia. Dia tu bukan setakat handsome, tapi anak orang kaya. Rumah dia kat JB sana besar sangat. Ayah dan mak dia ada tiga kereta. Semuanya kereta mewah." Beria-ia Daim bercerita sampai terbeliak-beliak biji mata.

Diza hanya mendengar. Tidaklah teruja sangat mendengarnya. Setakat mendengar cerita tentang kemewahan orang lain, apalah yang dihairankan sangat? Sebelum ini pun dia sudah dapat mengagak bagaimana latar-belakang keluarga Remy. Melihat dari gaya hidupnya saja, dia tahu keluarga Remy bukan calang-calang orang. Kalau tidak, takkanlah baru-baru mengajar Remy sudah mampu memiliki kereta Toyota Prius sedangkan dia yang sudah empat tahun bekerja masih dengan Vivanya. Belum mampu menukar kereta yang lebih mahal dek tuntutan hidup yang terlalu tinggi. Lebih-lebih lagi apabila tinggal di Bandar Baru Bangi ini.

Remy bukannya suka bercerita hal-hal dirinya kepada teman-teman, tetapi sekali-sekala ada juga dia bersembang kisah dirinya dengan Hairul, teman yang agak rapat dengannya. Dari mulut Hairul, Diza mendapat tahu ayah Remy merupakan ahli perniagaan terkenal di Johor Bahru. Percutian Daim ke rumahnya hujung minggu lalu sudah mengesahkan cerita-cerita tentang Remy dan kemewahan hidupnya.

Diza tidak hairan mendengarnya. Pun hati tidak teringin untuk lebih merapati Remy. Kemewahan Remy bukan suatu pendorong untuknya mengenali pemuda itu secara berlebih-lebihan. Dan dia pun tidak berminat menambah calon jodohnya dengan seorang lagi anak orang kaya. Cukup-cukuplah dia pening kepala memikirkan fasal Syahrin Haiqal dan kesombongannya. Tidak tahu di mana bahagian otaknya mahu disumbat kisah Remy Nuqman pula.

"Ni Im pulangkan balik duit along." Daim letakkan dua keping not RM100 ke atas meja.

"Kenapa Im tak guna duit tu?" tanya Diza pelik. Orang lain kalau dapat duit banyak, tidak sabar-sabar mahu menghabiskannya. Adiknya yang seorang ini pula tidak sabar-sabar memulangkannya semula.

"Im tak tahu nak beli apa dengan duit along tu. Abang Remy support semua perbelanjaan Im masa kat JB. Baju ni pun dia siap belikan untuk Im," jawab Daim sambil memegang sedikit T-shirt hitam berbelang biru di badannya.

Diza cuma memandang. Apa yang patut dikata? Daim nampaknya gembira sungguh dapat ber'abang'kan Remy. Dia pula tidak rela merenggut kegembiraan itu hanya kerana tidak suka Daim rapat dengan Remy. Selagi Remy belum membuka mulut meluahkan apa juga perasaannya, dia tidak kisah Daim ber'abang'kan Remy.

Biarlah begitu jika itu dapat membuatkan adiknya yang cuma seorang ini bahagia. 

SEPASANG KURUNG PINK (TERBIT)Where stories live. Discover now