Bab 9

1.2K 84 0
                                    

BERANGKAT sahaja Daim dan Remy, Diza Irdina terus bersiap. Dia tidak sabar-sabar hendak ke Penjara Kajang, melawat emak. Rindunya terhadap emak bukan kepalang.

"Mak sihat?" tanyanya bila emak sudah berada di hadapan mata. Ditenungnya muka emak lama-lama. Muka emak kelihatan cengkung. Kulit emak nampak pucat. Tubuh emak semakin kurus melidi. Sebak dadanya melihat keadaan emak yang kian hari kian susut tubuhnya menahan derita emosi.

"Sihat, along." Salimah lekapkan kuat-kuat gagang telefon yang menjadi talian penghubung dengan anak perempuannya. Matanya menatap wajah Diza tanpa berkedip. Bagaikan bimbang tatkala kelopak matanya berkelip, wajah itu akan lenyap dari pandangan. "Along pulak?" soal Salimah pula.

"Along pun sihat." Diza anggukkan kepala, menahan sebak yang tiba-tiba membuak-buak memukul dinding sanubari.

"Im tak datang?" tanya Salimah dengan mata berkaca. Rindunya kepada Daim, anak bungsunya itu terasa tidak tertampung.

Diza menggeleng. Tidak sanggup dia memandang muka emak. Dia tahu emak kecewa kerana tidak dapat bertemu Daim. Namun, apa dayanya? Sudah puas dia memujuk Daim bertemu emak tetapi nampaknya belum ada rezeki emak dapat menatap muka adiknya itu.

"Hari ni Im ada tuisyen," terang Diza lembut biarpun dia tahu emak sudah tidak kisah mendengarnya. Telinga emak sudah lali dengan pelbagai alasan yang diberinya fasal Daim. Melihat muka emak tambah sayu dengan air jernih bertakung di tubir mata, hatinya tersentap. Melihat airmata emak menjejeh di pipi, dia juga terasa mahu menangis. Sudahnya, kedua-dua mereka terdiam melayan perasaan pilu masing-masing.

"Im tuisyen apa?" tanya Salimah setelah badai di hatinya beransur reda.

"Tuisyen Bahasa Inggeris. Im ambil tuisyen dengan cikgu dia sendiri. Im kan lemah Bahasa Inggeris. Harap-harap lepas ambil tuisyen ni ada peningkatan sikit. Lagi lima bulan Im nak ambil UPSR." Tanpa ditanya, Diza menjelaskan kepada emak perihal Daim. Dia tahu emak gembira mendengar apa saja cerita tentang adiknya.

Salimah menganguk-angguk. "Jaga Im baik-baik, along. Suruh dia rajin-rajin belajar. Cakap pada Im, mak sayangkan dia," pesannya, entah yang ke berapa ratus kali. Setiap kali bertemu Diza, itu juga yang dititipkannya buat Daim.

Salimah ingat-ingat lupa bagaimana rupa Daim kerana sudah cukup lama dia tidak menatap wajah itu. Rasa-rasanya hampir tiga tahun dia tidak bertemu anak lelakinya itu. Entahkan sudah tinggi menggalah Daim sekarang.

Sewaktu peristiwa hitam itu terjadi 9 tahun lalu, Daim baru berumur tiga tahun. Waktu itu Daim terlalu muda dan tidak tahu apa-apa. Oleh itu cukup payah untuk menjelaskan kepada Daim bagaimana emaknya boleh terhumban ke neraka dunia ini. Biarpun letih dia dan Diza menjelaskan, Daim tetap tidak mahu faham. Daim tetap menganggap emaknya bersalah kerana mahkamah sendiri sudah memutuskan dia bersalah. Namun, apa puncanya dan bagaimana boleh terjadi begitu, Daim tidak mahu ambil tahu. Hakikat itulah yang menyiksa jiwa raganya dan membuatkan dirinya terlontar semakin jauh daripada Daim.

Rentetan peristiwa pahit sembilan tahun lalu kembali mengetuk benteng ingatannya. Biarpun puas ditepis dan dikibas, tetap juga bilah-bilah memori pedih itu memintas ruang benaknya. Seriau dadanya tatkala fikiran melayang menjengah ke masa lampau.

Waktu itu, Diza baru menginjak umur enam belas tahun. Kecantikan rupa parasnya membuatkan ramai lelaki terliur memandangnya termasuklah Hamid, arwah suami keduanya dan merupakan bapa tiri Diza. Harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah yang berlaku kepada Diza. Hamid yang diharapkan menjadi dahan tempat bergantung rupa-rupanya syaitan bertopengkan manusia.

Pada pagi hari kejadian, Hamid cuba merogol anak gadisnya itu. Mujur ketika itu dia pulang kerja awal dan sempat melihat Hamid sedang cuba melakukan perkara tidak senonoh terhadap Diza. Kalau tidak, entah apa nasib Diza agaknya. Bila perasaan marah sudah mengamuk minda, dia langsung tidak ingat apa-apa. Pantas dicapainya sebilau pisau dari dapur dan ditikamnya dada Hamid berkali-kali. Sudahnya Hamid rebah dan akhirnya dia dituduh membunuh suaminya sendiri.

SEPASANG KURUNG PINK (TERBIT)Where stories live. Discover now