Bab 16

1.2K 70 0
                                    

TERNAMPAK kelibat Diza di kaki lima tingkat 3 Blok A, Remy tidak bertangguh, pantas mengejar dari belakang. Tercungap-cungap nafasnya sebaik saja berjaya menyaingi langkah Diza menuruni tangga menuju ke tingkat bawah.

"Boleh I jumpa you kejap?" mula Remy setelah tarikan nafasnya yang laju kembali normal.

"Apa halnya?" tanya Diza sambil menghentikan langkah. Dia sudah dapat mengagak apa yang akan ditanya Remy. Sudah pastilah tentang kemunculan Hazif di sekolah dua hari lepas. Sejak semalam lagi, dia perasan Remy kelihatan gelisah setiap kali terjemuh muka dengannya. Seperti ada sesuatu yang menghambat fikiran Remy dan membuatkannya gelisah dan tidak boleh duduk diam.

Remy menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan serangan hendapnya."Siapa pemuda yang jumpa you hari tu?" cungkilnya dengan mata tajam menjeling muka gadis di samping. Sejak dua hari lepas, hatinya bergalau resah terkenangkan pertemuan Diza dengan pemuda berkaca mata itu. Selagi tidak dapat mengoreknya dari mulut Diza, hatinya tidak puas. Dia bimbang gadis di hadapannya ini sudah berpunya. Punahlah impiannya mahu mendirikan mahligai bahagia bersama gadis idaman.

Diza balas pandangan Remy dengan riak wajah bosan. "Kawan," balasnya malas.

Remy diam. Jauh pandangannya menembusi dinding bangunan sekolah. Entah apa yang difikirkannya.

"Kalau tak ada apa-apa lagi, I nak ke staff room." Tanpa menanti jawapan Remy, Diza mulakan langkah ke bilik guru. Belum jauh dia melangkah, hujung lengan baju kurungnya tiba-tiba ditarik Remy.

"Nantilah dulu, I belum habis cakap lagi." Remy ketawa kecil. Melihat Diza berpaling menghadapnya, barulah pegangan di lengan baju gadis itu dilepaskan.

"Cakaplah," kata Diza dengan mata merenung tenang ke wajah Remy.

"You ada apa-apa ke dengan dia?" tanya Remy lagi.

"Ada apa-apa yang macam mana maksud you?"Diza sengaja mahu menguji hati Remy.

"Tak adalah.... Maksud I, you nampak rapat dengan dia. Dia boy friend you ke, Diz? I tengok orangnya tak sesuai untuk youlah, Diz. Memanglah orangnya kacak, tapi I rasa dia memang tak sesuai untuk you," ulang Remy berkali-kali. Risau sungguh gadis idaman sudah memberi hatinya untuk pemuda berkaca mata tempoh hari. Berputih matalah dia kelak.

"I tengok orangnya okey aje...." Diza masih mahu mengusik Remy.

"Dah lama ke you kenal dia? You kena kenal dia betul-betul, Diz. Orang tu nampak lain macam aje," cantas Remy. Kelam-kabut dia mencelah bicara Diza. Bimbang jika tidak dicantas, Diza akan melalut memuji pemuda itu berlebih-lebihan. Bernanah telinganya mendengar kelak.

"Hebatlah you ni. Baru pertama kali nampak muka, you dah tahu perangai orang tu tak elok?" Sengaja Diza permainkan Remy. Dia gelak-gelak nakal mengusik pemuda itu.

"Err....tak adalah macam tu. I agak-agak aje. Tapi, I cakap betullah, Diz, dia bukan lelaki yang sesuai untuk you." Itu saja yang dapat disampaikan Remy. Mukanya sendiri sudah panas menahan malu. Apa tidaknya, terpaksa menebalkan muka menyergah Diza dengan soalan-soalan memalukan begitu. Nampak sangat dia menaruh hati terhadap Diza.

"I tahu, Remy. I pun rasa dia bukannya lelaki yang sesuai untuk I. Awal-awal I dah reject dia dari list calon suami I," gurau Diza sambil ketawa. Sengaja berjenaka bila melihat wajah Remy tegang dan merah. Kasihan pula dia melihatnya.

"Dah reject dia dari list? Betul ke?" Remy gelak-gelak kecil. Terbang semua rasa resah, takut dan bimbang kalau-kalau Diza hilang dari hidupnya. Wajah yang tadinya berkerut-kerut dan tegang, berubah tenang. Senyumannya pula manis bagaikan madu disaring. "Hmm....nama I.....nama I ada dalam list you tak?" Dalam malu-malu begitu, dia beranikan diri untuk bertanya Diza.

Diza ketawa sambil jungkit bahu. Dia tidak mahu menjawab soalan sensitif begitu. Takkan mahu dijawab dengan jawapan negatif? Pastilah Remy nanti berkecil hati. Bukan wujud pun list calon jodohnya itu. Dia sengaja menciptanya untuk menyakat Remy. Mahu melihat Remy senyum semula.

"Tak ada ya? Tak apalah, I tak marah. I akan tunggu sampai nama I ada dalam list you tu," sakat Remy diiringi senyuman manis dan renungan yang penuh mengharap.

Diza menyambung tawanya. Tanpa membalas kata-kata Remy, dia berpaling mahu melangkah meninggalkan anak muda itu. Tidak mahu lagi melayan cakap Remy yang mula mengarut entah apa-apa.

"Nak ke mana?" Remy tarik lagi hujung lengan baju kurung Diza. Belum mahu melepaskan Diza pergi. Belum puas menatap wajah manis dan merenung mata kuyu gadis itu.

"Nak balik staff room. Banyak kerja nak buat ni," jawab Diza. Perlahan-lahan ditarik hujung lengan bajunya dari pegangan Remy. Sebelum orang lain melihat dia bersembang dengan Remy sampai bertarik-tarik baju, baik cepat-cepat dilepaskan. Mati kalau ada orang lain nampak, bisiknya kecut perut. Tidak habis setahun orang mengumpat nanti.

"Weekend ni I nak balik JB. I ingat nak ajak Daim sekali. Kalau sempat I nak bawa dia pergi Legoland." Remy memohon izin Diza.

"Legoland?" Bulat anak mata Diza mendengarnya. Cukup teruja. Sudah lama dia teringin melawat Legoland yang terletak di Nusajaya, Johor Bahru tetapi kekangan masa selalu membatasi dirinya.

"Hmm....nampak excited sangat tu, you nak pergi sekali ke? Kalau nak, jom ikut I balik kampung. Boleh kenal-kenal sekali dengan famili I. Nanti I bawa you dan Daim ke Legoland. Bukan situ aje, banyak lagi tempat-tempat menarik di JB tu I akan bawa you lawat." Jelas suara Remy begitu teruja mengutarakan cadangannya.

"Err....nantilah dulu." Diza menolak lembut. Hendak mengikut Remy pulang ke kampung dan diperkenalkan kepada ahli keluarganya? Hisy! Mengarut Remy ini!

"Alah....jomlah, Diz!" Remy buat perangai kebudak-budakan dengan mendesak Diza.

Tergelak besar Diza melihat perangai Remy. Merengek bagaikan kanak-kanak berumur lima tahun! Nampak sangat Remy ini anak manja dalam keluarganya.

"I ada hallah weekend ni. You ajak Daim ajelah," putus Diza sebelum pantas berlalu meninggalkan Remy. Lambat melangkah nanti, dibimbangi lengan bajunya ditarik Remy lagi.

SEPASANG KURUNG PINK (TERBIT)Where stories live. Discover now