Bab 14

1.2K 80 1
                                    

"KAT mana kedainya?" tanya Diza. Dia sudah letih mengikut langkah Firsya. Sudahlah Firsya berjalan macam lipas kudung, bila dia lambat sedikit, Firsya membebel mengutuk cara dia berjalan macam siput. Hampir semua kedai komputer di Plaza Low Yat ini sudah dijenguknya, namun satu pun tidak menarik minat Firsya. Hendak membeli laptop canggih yang bagaimana lagi agaknya teman yang seorang ini.

"Kat tingkat atas kot. I pun tak pasti. I cuma dengar dari Azhar. Azhar yang kata ada kedai kat sini bagi diskaun hebat untuk semua jenis laptop," beritahu Firsya, mengambil kira kata-kata Azhar, teman seperguruan. Tangan Diza ditariknya pantas menaiki eskalator ke tingkat atas.

"Lain kali tanyalah Azhar betul-betul kat mana kedainya. Tak adalah penat kita tawaf satu Low Yat ni," rungut Diza. Serik dia mahu menemani Firsya membeli-belah lagi. Sikap cerewet Firsya dalam memilih barang, memang tidak boleh lawan dengan sesiapa pun.

"Azhar kata kedai tu kat atas," tambah Firsya tanpa menoleh memandang Diza.

"Dah tahu kat atas, yang you ajak I pusing satu Low Yat ni, kenapa?" rungut Diza geram.

Firsya ketawa. "Saja nak suruh you exercise. Tak lama lagi sekolah kita kan buat hari sukan, ada acara guru. Nanti taklah semput you berlari satu pusingan padang," ujarnya, melawak.

Diza menjuih bibir. Siapa entah yang nak berlari satu pusingan padang, fikirnya. Awal-awal lagi dia sudah menarik diri dari menyertai acara popular hari sukan sekolah itu. Ketika Remy yang menjadi setiausaha Hari Sukan mengambil nama guru-guru yang mahu menyertai acara itu, dia cepat-cepat menyembunyikan diri. Takut benar jika namanya naik dan dia terpaksa berlari keliling padang macam orang bodoh.

Remy pun tidak memaksa Diza menyertainya. Agaknya Remy memang sudah tahu dia tidak suka acara yang meletihkan begitu.

"Remy letakkan nama you di bahagian penyampaian hadiah. Untunglah you, tak payah nak berpanas terik tengah padang tu." Sambil berjalan, sempat lagi Firsya merungut tidak puas hati.

Diza tersengih. Itulah untungnya Remy menjadi setiausaha Hari Sukan. Remy punya kuasa mutlak menentukan tugas guru-guru ketika acara besar itu berlangsung. Dan sejak Remy memegang jawatan itu tiga tahun berturut-turut, namanya diletakkan di bahagian penyampaian hadiah. Bila disuruh pinda kepada tugasan lain, alasan Remy, tidak mahu Diza berpanas di tengah padang. Takut kulit putihnya jadi hangus. Dia malas hendak membantah lebih-lebih. Membantah pun untuk apa? Remy bukan mahu mendengar, hanya buat-buat pekak telinga.

"Dia nampak dah angau dengan you."

Walaupun perlahan, suara Firsya dapat ditangkap gegendang telinga Diza. "Siapa?" tanya Diza, buat-buat tidak faham.

"Siapa lagi? Remy Ishak tulah. Dia betul-betul dah angau dengan you," kata Firsya lebih spesifik.

"You ni suka merepek," marah Diza dengan mata bulat geramkan Firsya. Suka sangat bercakap perkara yang tidak sedap didengar telinganya.

"I tak merepeklah. Memang itu kenyataannya kan? Semua orang sekarang tengah bercakap fasal you dengan Remy. Bila nak makan nasi minyak?" usik Firsya. Lebar senyumannya melihat pipi putih Diza sudah bertukar merah jambu.

"I tak ada apa-apalah dengan dia. You all semua yang memandai padan-padankan I dengan dia." Diza merengus.

"Marah pulak? Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang? Kalau tak bersungguh orang tak kata," sambung Firsya.

Huh! Pandai-pandai saja si Firsya ni, hati Diza merungut. Bercakap siap dengan peribahasanya sekali. Malas dia mahu membantah telahan Firsya yang jauh menyimpang dari landasan.

Laju saja Diza berjalan meninggalkan Firsya di belakang. Ke mana? Dia sendiri tidak pasti. Dibiarkan langkah menentukan arahnya. Tiba di sebuah kedai komputer, langkahnya terhenti. Tajam matanya menalakan pandangan ke sesusuk tubuh pemuda yang sedang berdiri di muka pintu kedai. Pemuda itu pun kelihatan kaget melihatnya. Terpaku dan berdiri tegak macam patung sambil menjinjit sebuah beg. Rasanya berisi laptop.

"Diz!" sapa pemuda itu dengan wajah yang belum hilang rasa terkejut.

"Err...Hazif," balas Diza. Terkedu. Dia terkejut bercampur menggelabah terjemuh muka dengan Hazif di sini.

Dua tahun Diza tidak bertemu Hazif, sejak tali pertunangan mereka terputus dulu. Sejak itu dia tidak pernah lagi merisik khabar Hazif dan pemuda itu juga senyap sunyi. Di mana Hazif bertugas sekarang dan entahkan sudah berkeluarga atau masih membujang, dia langsung tidak tahu.

"Nak beli komputer ke?" Hazif pecahkan kebisuan di antara mereka dengan sebuah pertanyaan lurus tanpa belok-belok.

"Tak. Temankan kawan," jawab Diza sambil menoleh memandang Firsya yang berada tidak jauh di belakangnya.

"Ooh...." Hazif mengangguk dengan mata memandang ke arah Firsya. Sedetik kemudian, pandangannya kembali menjamah wajah Diza. Tetapi dia tidak berkata apa-apa. Hanya matanya sahaja memaku wajah manis di hadapannya. Bagaikan mahu melepas rindu yang berkurun menyesak dada.

"I rasa kat sinilah kedai yang Azhar cakapkan tu." Melihat tag harga runtuh yang bergantungan di seluruh kedai, Firsya tidak menunggu untuk diperkenalkan dengan Hazif, pantas meluru masuk meninggalkan Diza terpinga-pinga sendiri bersama fikiran yang kacau-bilau.

Serba-salah Diza jadinya. Hendak melangkah meninggalkan Hazif, terasa tidak patut biarpun sememangnya itulah niat di hatinya. Berdiri berhadapan dengan Hazif, hati rasa janggal dan serba tidak kena. Ketidakselesaan itu jelas terpancar di wajahnya dan dia tahu Hazif juga rasa begitu.

"Diz lama lagi ke kat sini?" tanya Hazif, memecah kebisuan.

"Tak tahu lagi. Kenapa?" Hairan Diza mendengar soalan Hazif.

"Haz nak ajak Diz pergi minum." Teragak-agak sedikit Hazif mahu mengekalkan ganti nama diri yang selalu diguna bila bercakap dengan Diza.

Diza tidak terus menjawab. Dia melirik ke arah Firsya yang sedang tekun membelek laptop yang terpamer di ruang pameran. Firsya kalau sudah bertemu apa yang dicari terus tidak sedar diri. Langsung tidak mempedulikan kawan lagi. "Diz tengah tunggu kawan ni." Diza memberikan alasan.

"Tak jauh, Diz, kat kafe depan tu aje. Sementara tunggu kawan Diz pilih mana yang nak dibeli, apa salahnya kita minum dulu," desak Hazif. Berkurun tidak menatap wajah Diza, dia benar-benar rindu. Terlalu banyak perkara ingin diluahkannya kepada Diza dan banyak persoalan juga hendak ditanyanya kepada bekas tunangnya itu.

"Err...lain kalilah. Diz rasa kawan Diz tu nak tanya juga pendapat Diz tentang laptop yang dia nak beli tu. Nanti dia bising bila Diz tinggalkan dia," balas Diza. Tanpa menunggu jawapan Hazif, dia melangkah pantas ke sisi Firsya, meninggalkan Hazif tercengang-cengang sendiri.

Bila Diza tidak menoleh lagi ke arahnya, Hazif berlalu meninggalkan ruang kedai tanpa sepatah kata.

"Siapa tu?" risik Firsya sambil menyiku sedikit pinggang Diza. Dia tidak pernah mengenali Hazif, bekas tunang Diza walaupun kisah temannya yang pernah putus tunang dulu pernah menjadi berita hangat di sekolah.

"Kawan." Diza malas menjelaskan hakikat sebenarnya. Takut heboh ceritanya bila Firsya yang terkenal bermulut becok menjadi tukang hebahnya.

Kelibat Hazif yang kian menjauh, dipandangnya sekilas. Debar di dada akibat terserempak dengan Hazif masih belum hilang, masih bergentayangan memukul dinding dada. Macam manalah dia boleh bertemu dengan Hazif di sini? Keluh Diza kesal sambil menarik nafas panjang.

SEPASANG KURUNG PINK (TERBIT)Where stories live. Discover now